suria

Malaysia, Indonesia dan Filipina luas kerjasama Zon Maritim

MELAKA: Malaysia, Indonesia dan Filipina akan memperluaskan skop kerjasama bagi Zon Maritim yang turut melibatkan ruang udara dengan pemantauan yang lebih tersusun dan teratur untuk membanteras aktiviti haram penyeludupan dan perlanunan.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Laksamana Datuk Mohd Amdan Kurish berkata pada masa kini tiada jalinan koordinasi pemantauan yang tersusun agensi maritim antara tiga negara yang berkongsi persempadanan perairan.

"Kita merancang untuk mengadakan kerjasama erat dengan fokus kepada kawasan keselamatan yang diberi tumpuan di perairan masingmasing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar antarabangsa "Aspek Perundangan Keselamatan Sempadan dalam Persekitaran Maritim" di sebuah hotel di sini hari ini.

Seminar julung kali selama empat hari bermula hari ini dianjurkan oleh Maritim Malaysia yang dihadiri oleh pegawaipegawai kanan Malaysia, Indonesia dan Filipina daripada organisasi separa tentera dan tentera serta pegawaipegawai awam daripada organisasi keselamatan maritim yang bertanggung jawab terhadap keselamatan sempadan maritim negara.

Amerika Syarikat turut menyertai seminar dengan negara kuasa besar itu bertindak sebagai moderator dan berkongsi pengalaman.

Antara tumpuan seminar ialah cabarancabaran kepada keselamatan persempadanan, isu perundangan maritim dan memerangi jenayah merentasi negara.

Mohd Amdan berkata perairan rantau ini dikelilingi sempadan, justeru ia memerlukan kerjasama, gabungan, perkongsian maklumat dan pendekatan bersama untuk menangani jenayah merentasi negara serta ancaman-ancaman lain.

Beliau berkata sebagai contoh Zon Maritim Malaysia merangkumi perairan pedalaman, laut wilayah, pelantar benua, zon ekonomi eksklusif dan perairan perikanan termasuk ruang udara di zon berkenaan.

Mengenai isu keselamatan kapalkapal yang menggunakan Selat Melaka yang sering dikaitkan dengan aktiviti perlanunan sebelum ini, beliau berkata hanya satu kes yang dilaporkan berlaku pada tahun ini berbanding keseluruhan tiga kes pada tahun lepas dan 12 kes pada 2007.

"Kerjasama dalam isu keselamatan Selat Melaka ini telah ditingkatkan menerusi kerjasama ketenteraan Rondaan Laut Selat Melaka (MSSP) oleh pelbagai negara, menyebabkan pengurangan ancaman lanun sekarang," katanya. BERNAMA

Artikel Lain