suria

Indonesia wajib pelawat pakai topeng tutup mulut

JAKARTA: Indonesia mewajibkan semua pelawat dari negara yang dilanda wabak influenza A(H1N1) memakai topeng penutup mulut sebaik tiba di pintupintu masuk utama seluruh negara dalam usaha membendung penularan wabak itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Sjafii Ahmad berkata semua pengunjung termasuk rakyat tempatan wajib melalui proses saringan dengan menggunakan alat pengimbas suhu sebelum keluar dari lapangan terbang dan pelabuhan.

Kami menyediakan topeng mulut berukuran 'millimicron' sesuai dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) secara percuma di semua pintu masuk negara, katanya seperti dipetik dalam laman web Kementerian Komunikasi dan Informasi Indonesia hari ini.

Kata semua pengunjung juga wajib mengisi borang perakuan kesihatan dan mereka akan dipantau di alamat tempat tinggal sepanjang tempoh inkubasi virus itu antara tiga hingga tujuh hari dan selama berada di negara itu.

Menurutnya pengunjung yang memasuki negara melalui darat seperti dari sempadan Sarawak dan Batam juga wajib mengisi kad perakuan tersebut.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Dr Siti Fadilah Supari berkata Indonesia sehingga ini mengesahkan lapan kes influenza A(H1N1) membabitkan empat warga tempatan, tiga warga Australia dan seorang rakyat Britain.

Katanya kesemua mangsa dijangkiti wabak itu selepas melawat Australia dan Singapura.

Menurutnya daripada jumlah lapan kes itu, seorang sudah sembuh dan tujuh orang masih menerima rawatan iaitu empat di hospital di Jakarta dan tiga di Bali. BERNAMA

Artikel Lain