suria

Sidang Kemuncak ASEAN ditangguh, PM Thai isytihar darurat

PATTAYA: Sidang Kemuncak ASEAN dengan enam rakan dialognya ditangguhkan pagi ini selepas penunjuk perasaan antikerajaan menghalang semua laluan ke tempat mesyuarat dan bertempur dengan penyokong prokerajaan.

Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva mengisytiharkan perintah darurat di Pattaya dan Wilayah Chonburi selepas penunjuk perasaan mengepung lokasi Sidang Kemuncak itu diadakan.

Berikutan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlepas pulang dari Pattaya, kira-kira pukul 3.30 petang, waktu Thailand.

Jurucakap Kerajaan Thai Panithan Watanayagorn berkata beberapa orang cedera apabila kumpulan berbaju merah yang menyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra bertempur dengan kumpulan berbaju biru yang dikatakan mempunyai hubungan dengan kerajaan.

Sidang kemuncak, yang dijadual bermula pagi ini dengan Sidang kemuncak ASEAN + China, telah ditangguhkan apabila Perdana Menteri China Wen Jiabao tidak dapat memasuki tempat mesyuarat di Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya (Peach) di sini.

Adalah difahamkan bahawa anggota delegasi China, yang tinggal di hotel Dusit Thani beberapa kilometer dari situ, enggan bergerak ke tempat mesyuarat walaupun pegawai kerajaan Thailand termasuk Datuk Bandar Pattaya Ittipol Kumpleum, yang menawarkan untuk membawa mereka dengan helikopter atau dengan bot di pusat peranginan tepi pantai itu.

Penangguhan Sidang Kemuncak ASEAN-China itu juga bermakna bahawa penunjuk perasaan telah menggagalkan Perjanjian Dagangan Bebas ASEAN-China ditandatangani.

Mesyuarat dua hala antara Wen dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dijadual pagi ini, juga dibatalkan, kata seorang anggota delegasi Malaysia.

Bagaimanapun, Najib mengadakan mesyuarat dua hala dengan perdana menteri Thai Abhisit Vejjajiva.

Seorang pembantu kepada Najib berkata perdana menteri mengikuti perkembangan yang berlaku dari tempat tinggalnya di Royal Cliff Grand Hotel dan Spa.

Penganjur juga telah membatalkan program isteri-isteri pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak, yang disusun sepanjang sidang kemuncak itu berlangsung.

"Kami tidak pasti apa yang akan berlaku kepada sidang kemuncak. Kami hanya menunggu di hotel," katanya.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN + China, 10 anggota kumpulan ASEAN juga dijadual menghadiri sidang kemuncak dengan Korea Selatan, Jepun dan India, Sabtu manakala Sidang Kemuncak Asia Timur Keempat, yang juga termasuk Australia dan New Zealand, telah dijadualkan pada Ahad.

Kesemua 10 pemimpin ASEAN, termasuk Perdana Menteri Thai Abhisit tinggal di Royal Cliff Grand Hotel & Spa dan Royal Cliff Beach Hotel, yang terletak dalam lingkungan laman PEACH manakala rakan dialog mereka tinggal di luar.

Jurucakap kumpulan berbaju merah Sean Boongracong menyalahkan kerajaan berkaitan peristiwa kepungan terbaru ke atas sidang kemuncak itu, dengan berkata mereka bersedia menamatkan ketegangan itu semalam selepas menyerahkan petisyen kepada Sekretariat ASEAN semalam.

"Tetapi dalam perjalanan pulang, kami diserang oleh ramai orang yang berpakaian biru, yang kami syaki adalah penyokong kerajaan.

"Jadi, penyokong kami kembali ke tempat itu pagi ini dan sekali lagi kami diserang," katanya ketika dihubungi.

Suasana di luar PEACH merupakan ulangan kejadian semalam dengan para pemimpin kumpulan "Baju Merah" melaunglaungkan slogan di atas lori dan dikelilingi ratusan penyokong mereka.

Pada kali ini, mereka turut disertai oleh sekumpulan besar pemandu teksi yang menghalang lalu lintas menghala ke PEACH dengan kenderaan mereka. BERNAMA

Artikel Lain