Penang Sentral Dijangka Siap Hujung Tahun Ini

Diterbitkan: Rabu, 24 Mei 2017 1:38 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Projek Penang Sentral, hab pengangkutan bersepadu, yang dibangunkan di tapak terminal feri Butterworth dijangka siap hujung tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang diberitahu pada Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom), Pengangkutan (Udara, Laut, Kereta Api) Lim Hock Seng berkata kerajaan negeri memberi sokongan penuh terhadap projek itu terutamanya membabitkan pemberian tanah dan pengurusan merancang.

"Projek ini juga adalah selaras dengan rancangan tempatan dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang di bawah kerajaan negeri. Projek ini merupakan inisiatif pihak swasta iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) melalui kerajaan persekutuan. Tiada sumbangan kewangan daripada kerajaan negeri.

"Tanah projek Penang Sentral yang melibatkan 28 bidang tanah di kawasan seksyen bandar Butterworth telah diberikan kepada Penang Sentral Sdn Bhd iaitu anak syarikat milik penuh MRCB," katanya ketika menjawab soalan Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua) yang meminta penjelasan mengenai status projek itu pada persidangan DUN di sini.

Beliau berkata Penang Sentral akan berperanan sebagai hab pengangkutan awam untuk koridor utara yang menggabungkan kesemua jenis pengangkutan awam seperti bas, teksi, feri, kereta api dan Penang Sky Cab (kereta kabel) bagi menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar.

"Kesemua pengangkutan ini diletakkan di bawah satu bumbung yang menawarkan satu sistem pengangkutan awam yang komprehensif. Selain itu, ia adalah pemangkin kepada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang dapat merealisasikan rancangan di dalam pelan tersebut," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Muhamad Yusoff berhubung penempatan penjaja yang terjejas dengan projek berkenaan, Lim berkata pihak MRCB telah menyediakan satu kompleks berbumbung untuk penjaja yang terjejas, namun kompleks berkenaan ditutup untuk memberi laluan kepada penyuraian trafik.

Namun, beliau berkata semua penjaja yang terjejas telah diberikan pampasan oleh pihak terbabit bagi membolehkan mereka mencari penempatan sementara yang baharu.

"Buat masa ini mereka (penjaja) masih menjaja di sekeliling kawasan itu. Cuma apa yang menjadi kebimbangan saya selepas Penang Sentral siap, saya khuatir mereka tidak mampu membayar kadar sewa di dalam Penang Sentral itu. Penang Sentral akan menjadi satu kompleks moden berhawa dingin seperti Puduraya dan sudah pasti kadar sewanya tinggi," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Penang Sentral

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan