suria

Program Agropreneur Mardi Lahir 3,521 Usahawan Muda

Pengerusi Lembaga Pengelola Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Datuk Mohd Fadil Osman (tengah) bersama pegawai dan peserta selepas merasmikan majlis penutup Agora Agropreneur Muda Mardi Zon Timur di Taman Agro Teknologi MARDI Cherating pada Selasa.

KUANTAN: Program Agroprenuer Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) melahirkan 3,521 usahawan muda berdaftar, sejak mula dilaksanakan pada 2014.

Pengerusi Lembaga Pengelola Mardi Datuk Mohd Fadil Osman berkata daripada jumlah itu, 280 usahawan berasal dari negeri di pantai timur, dan semua mereka telah berjaya meningkatkan taraf perniagaan masing-masing.

Katanya, program Agroprenuer itu juga berjaya membantu 60 peratus pesertanya keluar daripada garisan kemiskinan, selari dengan matlamatnya iaitu supaya generasi muda menjana pendapatan melebihi RM5,000 sebulan menerusi industri pertanian.

"Sehubungan itu, kami menyasarkan lebih ramai generasi muda untuk melibatkan diri dalam bidang pertanian dan penternakan dan tahun ini, kami menyasarkan penglibatan 300 usahawan muda berusia antara 18 hingga 40 tahun.

"Buat masa ini, seramai 119 usahawan telah berdaftar untuk diberi bantuan dan bimbingan," katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan AGORA Agropreneur Muda Zon Timur di Taman Agroteknologi Mardi Cherating di sini, Selasa.

Turut hadir Pengarah Mardi Pahang Zulkafli Ismail dan Pengarah Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan Mardi Hassan Said.

Mohd Fadil menambah Program Agora Agropreneur Muda yang telah dilaksanakan di Serdang, Zon Utara dan Zon Timur itu akan diperluaskan ke Sabah, Zon Selatan dan Sarawak selepas tamat Aidilfitri.

"Ini adalah sebahagian daripada promosi untuk menarik dan memaklumkan kewujudan program ini kepada generasi muda. Ada antara mereka berminat untuk mengikuti latihan seperti ini, tetapi tidak tahu bagaimana hendak bermula.

"Selain itu, kami juga menggunakan medium media sosial dan juga laman web untuk yang sinonim dengan generasi muda," katanya.

Mohd Fadil menambah pada program itu seramai 150 usahawan muda Mardi diberi pendedahan berkaitan konsep keusahawanan moden, asas perniagaan dan ceramah teknologi berkenaan tanaman, ternakan dan industri asas tani secara santai.

Program ini memberi peluang kepada usahawan muda untuk melihat dengan lebih jelas hala tuju dan cara untuk memajukan perniagaan mereka, tambahnya.

"Program ini membantu kementerian memberi pendedahan dan pengetahuan kepada golongan muda berkaitan peluang perniagaan dan fungsi agensi dalam kementerian termasuk dalam bidang teknologi supaya mereka tidak ketinggalan.

"Ini antaranya dalam bidang berkaitan perlabelan, pembungkusan, pengawetan dan pensijilan yang dapat membantu produk usahawan ini melangkah lebih hadapan berbanding produk lain," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain