suria

Merekalah satu-satunya....

Datuk Seri Wong Chun Wai (tiga dari kiri) menemuramah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Ghafar Baba (kiri). Di belakang beliau adalah Kuik Cheng Kang, Ketua Editor Sin Chew Daily pada pada hari ini. Di belakang beliau (berdiri) adalah Pengarang Eksekutif The Star, Rozaid Abdul Rahman.

PADA akhir 1970-an dan awal 1980-an, empat wartawan baharu menyertai The Star. Pada usia yang masih muda dan penuh bersemangat, mereka melakar banyak pencapaian baharu dalam tempoh beberapa tahun sehingga berjaya melangkah ke peringkat yang lebih tinggi dalam syarikat. Kini, mereka memegang beberapa jawatan tertinggi dalam Kumpulan Media Star.

KUALA LUMPUR: Bayangkan jika anda mencari pekerjaan yang sangat sempurna buat diri sendiri sehinggakan anda tahu akan kekal dengan kerjaya itu.

Bagi empat "tonggak" yang setia bersama The Star sehingga ke hari ini, itulah situasi yang berlaku kepada mereka. Sama ada tertarik dengan tugas mencari berita atau menulis dengan penuh bermakna, mereka juga menyedari kerjaya wartawan ini merupakan rumah bagi mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Datuk Seri Wong Chun Wai

Ketika bergelar sebagai pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Xavier di Pulau Pinang, Wong sudah mula menunjukkan minat yang mendalam dalam hal ehwal semasa.

"Saya menyumbang banyak artikel kepada berita sekolah, sama seperti yang disumbangkan oleh bekas staf The Star.

"Saya juga menulis banyak artikel atau surat kepada editor The Star," katanya.

Selesai sahaja pengajian Tingkatan Enam, Wong tidak menunggu lama menyertai syarikat akhbar ini pada 1981 sebagai kadet dengan gaji RM300.

"Ketua editor pada masa itu adalah H'ng Hung Yong. Beliau mendapat pendidikan undang-undang di Kolej King London dan mendalami jurusan kerajaan di Harvard.

"Beliau merupakan satu contoh terbaik yang wajar diikuti. Beliau sendiri menemuramah saya.

"Saya masih ingat beliau berkata, "kamu rupanya yang menulis surat kepada kami (The Star)," kata Wong.

Wong kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sarjana Muda Sains Politik dan Sejarah sebelum menyertai semula The Star pada 1984 sebaik-baik sahaja tamat belajar.

"Saya menduduki kertas peperiksaan terakhir di universiti dan kembali semula bekerja di The Star pada hari berikutnya.

"Sebagai wartawan baharu, saya sering ditugaskan membuat liputan Pengerusi The Star, Tunku Abdul Rahman. Pengalaman itu memberi peluang kepada saya untuk merapati beliau sehingga beberapa tahun terakhir hidupnya," kata Wong.

Pada 1987, disebabkan artikel kontroversi Tunku selain isu yang dibangkitkan The Star, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggantung lesen syarikat di bawah Operasi Lalang.

"Saya dan rakan-rakan kehilangan kerja selama lima bulan akibat penggantungan lesen. Tetapi menariknya, The Star masih mampu bangkit walaupun mengalami kerugian akibat penutupan sementara itu.

"Malah kami menerima pampasan penuh sepanjang penggantungan itu," katanya.

Bermula di Pulau Pinang, Wong tidak hanya menulis isu-isu yang terdapat di negeri itu, sebaliknya menjadikan isu negara sebagai isi penulisannya, menyebabkan beliau mendapat perhatian pengarang di Kuala Lumpur.

"Saya hanya perlu membuat panggilan dan melaporkan tentang isu negara.

"Pada 1989, Pengarang Berita, Nizam Mohamed meminta saya untuk membantu membuat liputan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Negara Komanwel di ibu negara.

"Apabila saya melapor diri di Kuala Lumpur, beliau memberikan saya surat pindah pada ketika itu juga," kata Wong.

Wong dan rakan-rakannya merupakan wartawan yang tegar kerana mereka sering balik lewat malam dan "berkampung" di pejabat.

"Kami akan bekerja sehingga lewat malam supaya berita yang disiarkan yang terbaik dan terkini.

"Tugas ini telah memberi peluang kepada saya ke tempat yang tidak pernah terfikir untuk pergi iaitu Zambia, Senegal, Sudan, Chile, Botswana, Cuba dan Bosnia.

"Saya sudah bersama The Star selama 32 tahun dan syarikat ini sentiasa memberikan yang terbaik buat setiap staf walaupun pada waktu-waktu sukar," ujarnya.

Dengan pengalaman membina kerjaya pada era pencetakan, Wong berbangga dengan kemajuan yang dicapai oleh pihak syarikat dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat.

"The Star Online kekal sebagai portal berita di tangga teratas manakala rangkaian televisyen di dalam telefon bimbit merupakan satu lagi langkah besar.

"Syarikat ini juga mempelbagaikan kepentingannya dengan menjadi pemegang saham dalam syarikat hiburan Victory Hill Exhibition yang memegang hak untuk mempromosikan karakter Marvel dan Transformers.

"Peluang ini membawa nama syarikat ke Las Vegas dan Paris, serta China pada hujung tahun ini seperti yang dijadualkan," katanya.

Wong kini memainkan peranan untuk mengimbangi nalurinya sebagai wartawan dan sebagai seorang ahli perniagaan.

Ketua Editor, Datuk Leanne Goh

Ketika itu tahun 1984 dan Goh baru menamatkan pengajian dalam Sarjana Muda Kesasteraan Inggeris. Beliau merancang untuk menjadi seorang cikgu tetapi keadaan ekonomi yang tidak menentu dan seorang kawannya yang mendapat kerja di The Star, ternyata mengubah laluan hidupnya.

"Bapa saya merupakan seorang guru dan dia tidak mahu saya menjadi wartawan kerana mungkin baginya kerjaya itu kurang berprestij.

"Tetapi apabila nama saya tertera pada muka depan akhbar, dia berasa bangga." katanya.

"Pada masa itu, (Tan Sri) Michael Chen meninggalkan MCA untuk menyertai Gerakan, tetapi terdapat spekulasi beliau akan kembali ke parti asal.

"Saya mendapat maklumat tentang perkara itu dan berjaya membuat berita eksklusif untuk dipaparkan di muka hadapan buat kali pertama.

"Saya ketika itu baru sebulan bekerja dan mendapati ia perkara yang paling menggembirakan. Malah sehingga hari ini saya masih terkenang keseronokan tersebut," katanya.

Kemudian pada 1986, Goh berpindah ke edisi Sunday Star untuk membuat penulisan gaya hidup tetapi apabila syarikat The Star kembali beroperasi pada 1987, pengarang ketika itu, Nizam memaklumkan kepada beliau untuk memberi tumpuan kepada penulisan pendidikan.

"Apabila saya diberi peluang tersebut, saya menjadikan Kementerian Pendidikan sebagai rumah kedua dengan membina rangkaian hubungan dan mencari berita eksklusif.

"Saya masih ingat peristiwa menerima panggilan telefon daripada seorang guru yang memaklumkan tentang kebocoran soalan peperiksaan dan saya terus memandu ke Kajang untuk bertemunya untuk mendapatkan kertas soalan Sains yang sepatutnya dikeluarkan keesokkan hari.

"Kemudian saya pergi ke kementerian untuk memaklumkan hal tersebut dan mereka mengesahkannya," kata Goh.

"Pendidikan merupakan peluang untuk melakukan perubahan besar.

"Setiap isu atau berita utama akan memberi kesan kepada lima juta pelajar dan ibu bapa mereka," katanya.

Namun di sebalik itu, Goh terpaksa menahan telinga untuk mendengar keluhan pakcik dan makciknya yang merupakan cikgu, mengadu tentang kelemahan sistem persekolahan.

Di bawah pengurusan beliau, unit pendidikan di The Star menjadi akhbar sisipan dan syarikat The Star memulakan projek anugerah Star-NiE (Newspaper-In-Education) yang menerapkan konsep pengisian isu tempatan.

Beliau kemudiannya dijemput untuk berkongsi kejayaan projek Star-NiE pada persidangan akhbar peringkat global dan membantu Thailand dan Indonesia mewujudkan usaha NiE mereka sendiri.

"Hari ini, saya masih teruja tentang perkara yang dilalui dalam dunia kewartawanan, menjadi sebahagian daripadanya dan melakar sejarah.

"Industri media berkembang dengan pesat tetapi kewartawanan masih merupakan landasan terbaik dan asas latihan sebagai kerjaya pertama.

"Anda akan belajar untuk membuat analisis, bertanyakan soalan dan melihat perkara kecil dalam gambaran yang lebih luas.

"Saya fikir setiap kali The Star memainkan satu-satu isu, ia akan membawa perubahan. Kami akan terus menulis tentang isu penting untuk kebaikan semua rakyat Malaysia dan menempuh cabaran bagi menghasilkan penulisan yang terbaik," katanya.

Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Pengisian, June H.L. Wong

"Saya bukan pelajar yang bijak tetapi saya boleh menulis, seperti ayah," kata June.

Kisah hidup June di The Star terukir dengan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang anak perempuan kepada bapanya, pesara polis, Wong Heck Ming yang meninggal dunia pada bulan lalu.

Sebagai seorang wartawan kadet berusia 18 tahun, beliau menyertai The Star pada 1977 apabila syarikat ini baru berpindah dari Pulau Pinang ke Jalan Traversdi Kuala Lumpur (kini KL Sentral).

"Selepas saya tamat Sijil Tinggi Persekolahan (STP), bapa saya menyarankan agar memohon kerja di The Star," kata June.

Beliau ditemu duga oleh Pengurus Besar Ho Sai Kong yang merupakan kawan kepada ayahnya.

"Saya merasakan sebab itu saya diberi peluang," jelasnya.

Gaji yang diterima kurang daripada RM200, dan benda pertama yang dibawa ke tempat kerja adalah mesin taip miliknya sendiri, seperti yang dilakukan oleh wartawan lain.

Syarikat akan menyediakan kertas A4 dan kertas karbon, dan semua artikel perlu ditaip sebanyak tiga salinan.

Benda kedua yang dibawanya adalah topi keledar. Ketika itu, wartawan akan menumpang motosikal jurugambar untuk pergi ke tempat tugasan kerana kebanyakan wartawan baharu tidak memiliki kereta sendiri.

Selepas enam bulan bertugas, June menyambung pengajian di Universiti Malaya, tetapi kembali bekerja selama tiga bulan pada cuti semester.

Pada 1982, June sekali lagi kembali menyertai The Star selepas menamatkan pengajian.

Pada masa itu, syarikat telah berpindah ke Seksyen 13 di Petaling Jaya dan penggunaan mesin taip berubah kepada komputer tidak lama kemudian.

"Kepakaran saya meliputi isu penganngkutan, perumahan, MCA, Gerakan dan Parlimen," kata June yang secara keseluruhannya menghabiskan masa selama 10 tahun di meja berita am.

Bagi menambahkan minat dalam dunia pemberitaan, beliau sering menulis rencana, termasuk artikel berkenaan profil personaliti dan isu wanita yang akhirnya, menjadi kepakarannya.

June kemudiannya dipindahkan ke seksyen gaya hidup.

Beliau berehat seketika daripada kerjayanya apabila berpindah ke Australia bersama keluarga pada 1993, dan apabila beliau kembali, akhbar pesaing menawarkan peluang pekerjaan.

Namun Ketua Pengarang Kumpulan ketika itu, Datuk Ng Poh Tip memintanya untuk kembali ke The Star.

"Sekali lagi, ayah saya memberi nasihat. Beliau menyarankan saya kembali ke The Star, di mana kerjaya saya pernah dibina," katanya.

Sepanjang bertugas di syarikat akhbar ini, June pernah berkhidmat sebagai Pengarang Eksekutif, Pengarang Pengurusan dan Ketua Pengarang Kumpulan.

"Perjalanan kerjaya saya sangat menarik dan banyak yang telah saya pelajari," katanya.

Beliau telah mengembara seluruh dunia dan bertemu dengan pemimpin terkemuka termasuk Raja Hussein dan Permaisuri Noor dari Jordan selain bersemuka dengan pelakon terkenal seperti Tom Hanks dan Kevin Bacon.

Malah beliau berkesempatan bertemu pereka fesyen terkenal, Michael Kors dan bintang tenis, Andre Agassi.

"Atas sebab kesetiaan, sentiasa berada pada tertinggi dan dahagakan pencapaian yang membuatkan saya kekal di sini.

"Saya berpeluang untuk meneroka dan meningkatkan tahap penulisan, mendalami diri sendiri sebagai wartawan dan insan.

"Daripada seorang yang pemalu dan anak kepada anggota polis, saya menjadikan diri sebagai seorang yang berdiri di atas kaki sendiri.

"Hari ini, The Star melangkau batasan dunia akhbar.Cabarannya adalah untuk menyediakan pengisian, keseimbangan dan mengekalkan etika kewartawanan.

"Kita membangun dan membina di atas asas yang kuat dan perlu terus bergerak ke hadapan sehingga mencapai matlamat yang diingini," katanya.


Pengarang Eksekutif,Dorairaj Nadason

Dorairaj Nadason atau lebih dikenali sebagai Raj, telah bersama The Star sejak 1980 apabila beliau tamat pengajian di Universiti Pertanian.

"Saya bagus dalam dua subjek iaitu Bahasa Inggeris dan Matematik," katanya. 

Tugas sebagai seorang wartawan ternyata sesuai dengan diri beliau.

Mula menyertai sebagai wartawan kadet pada usia 21 tahun, Raj sedar beliau telah menemukan kerjaya yang paling hebat.

"The Star merupakan platform terbaik untuk mendalami dunia etika kewartawanan yang sebenar ketika itu. Syarikat ini dibimbing oleh sekumpulan individu yang mahu mengamalkan kewartawanan sebagai aktivisme seperti K. Sugumaran, P.K. Katharason, Gobind Rudra," katanya.

Raj masih mengingati seksyen yang paling gemar dibaca dalam akhbar pada ketika itu, ruangan surat pembaca yang membolehkan orang ramai berbincang tentang isu semasa selain menyampaikan cadangan serta penyelesaian.

Ruangan ini sentiasa membuka peluang kepada penulisan siasatan atau laporan khas.

Semasa penggantungan The Star, Raj menjadi perantis tukang kayu.

"Apabila kembali beroperasi, kami menjadi akhbar nombor satu dan penerimaan daripada pembaca sangat menakjubkan," jelasnya.

Kehidupan beliau berkait rapat dengan The Star apabila bertemu dengan isterinya, Nirmala Devi Subramaniam yang bertugas di Jabatan Telex sebelum berpindah ke bahagian pengiklanan.

Bagi Raj, The Star sentiasa memandang ke hadapan dan berkembang mengikut peredaran masa. Tetapi situasi itu tidak bermakna era pencetakan akhbar sudah berakhir.

"Keputusan mempelbagaikan industri menerusi pelbagai platform ternyata bertepatan. Sebagai contoh, The Star Online yang berkembang daripada sebuah akhbar sehingga menjadi satu identiti sendiri.

"Tetapi saya percaya bahawa masih ramai orang bergantung kepada akhbar bercetak. Di kebanyakan tempat di dunia, pasti ada orang mengenepikan gajet yang canggih untuk membaca buku dan akhbar.

"Terpulang kepada kita untuk memastikan orang terus membaca dan menyiarkan kandungan yang mereka ingini.

Ini termasuk menyediakan peluang untuk melihat kedua-dua sudut sesebuah berita atau penulisan, dengan menghormati pembaca sudah cukup membuatkan mereka membuat keputusan sendiri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

'Rope Walk' Penyeri Pulau Mutiara

Artikel Lain