suria

Cadangan Tun Ariffin Berhubung SPPK Wajar Diberi Perhatian Serius

Tun Ariffin Zakaria (kiri) dan Tan Sri Mohd Apandi Ali.

CADANGAN Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria agar Peguam Negara tidak lagi mengetuai Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman (SPPK) amat positif dalam usaha mengelakkan sebarang persepsi bahawa badan kehakiman tidak benar-benar bebas.

Dalam sistem demokrasi seperti di Malaysia, tiga cabang kuasa iaitu Perundangan, Eksekutif dan Kehakiman (Legislative, Excecutive, Judiciary) adalah bebas daripada satu sama lain. 

Dalam hubungan inilah Tun Ariffin menegaskan perlunya Peguam Negara tidak lagi mengetuai SPPK untuk menghindar unsur ‘pertentangan kepentingan’ (conflict of interest).

Ini kerana, Peguam Negara adalah anggota eksekutif manakala pegawai-pegawai kehakiman, termasuk hakim mahkamah sesyen dan majistret, terletak di bawah bidang kuasa badan kehakiman.

Tetapi kerana Peguam Negara mengetuai SPPK, maka beliau mempunyai bidang kuasa terhadap hakim-hakim mahkamah sesyen dan majistret termasuk dalam urusan pelantikan, kenaikan pangkat, perpindahan dan isu-isu disiplin.

Keadaan ini sememangnya boleh mewujudkan persepsi mengenai kebebasan mahkamah-mahkamah berkenaan. Kerana hakim-hakim mahkamah seyen dan majistret adalah di bawah Peguam Negara yang juga berfungsi sebagai Pendakwa Raya, akan wujud andaian mereka akan ‘akur’ kepada ketua mereka.

Apa yang ditegaskan oleh Tun Arifin pada Persidangan Pegawai-Pegawai Kehakiman di Kuala Lumpur baru-baru ini bukan perkara baru. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim pernah berkata pada 2006 bahawa pihak kehakiman berhasrat mencadangkan kepada kerajaan untuk memansuhkan SPPK.

Menurut beliau, hakim mahkamah sesyen dan majistret mesti diserapkan ke dalam sistem badan kehakiman kerana bimbang akan wujud gangguan ‘tangan ghaib’ jika mereka kekal sebagai kakitangan kerajaan.

Sehingga kini, ia belum menjadi kenyataan. Oleh itu penegasan semula oleh Tun Arifin menampakkan bahawa isu ini amat penting dan perlu diberi perhatian segera oleh kerajaan.

Matlamatnya murni iaitu untuk memastikan badan kehakiman dilihat sebagai benar-benar bebas dan tidak dipengaruhi oleh cabang lain dalam kerajaan atau mereka yang mempunyai kepentingan tertentu. 

Secara mudahnya, pendakwaan di mahkamah dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Jabatan Peguam Negara dan hakim mahkamah sesyen serta majistret adalah daripada perkhidmatan yang sama. Sehubungan itu mungkin wujud persepsi tertentu terhadap penghakiman oleh hakim mahkamah sesyen atau majistret walaupun realitinya mungkin tidak begitu.

Inilah yang cuba ditekankan oleh Tun Arifin mengenai betapa perlunya hakim mahkamah sesyen dan majistret tidak lagi berada di bawah bayang-bayang Peguam Negara. Ini agar sebarang syak wasangka  dapat dihapuskan dan mahkamah sesyen atau mahkamah majistret tidak dilihat sebagai dibayangi oleh Jabatan Peguam Negara. 

Tun Arifin memberikan gambaran jelas berhubung senario ini. Menurutnya, apabila pegawai kanan daripada Jabatan Peguam Negara, apatah lagi jika Peguam Negara itu sendiri menjalankan pendakwaan, maka lagi ‘menggeletar’ hakim mahkamah sesyen dan majistret mengendalikan kes. Ini kerana di hadapan mereka adalah pegawai berpangkat lebih tinggi dan ketua mereka.

Bagaimanapun, itu bukan bermakna penghakiman mereka dalam satu-satu perbicaraan akan memihak kepada ‘tuan’ mereka. Apa juga keputusan mereka pastinya berdasarkan pertimbangan teliti berdasarkan fakta dan bukti yang ada di hadapan mereka.

Tetapi yang  penting ialah bagaimana kita dapat memadam terus sebarang persepsi negatif bahawa hakim mahkamah sesyen atau majistret tidak bebas melaksanakan tugas. Jangan diberi ruang walau sekecil mana pun untuk persepi ini wujud. 

Justeru, cara terbaik ialah dengan pengasingan perkhidmatan kehakiman secara ‘total’ daripada badan eksekutif dan Peguam Negara hanya mengetuai perkhidmatan perundangan sementara perkhidmatan kehakiman diterajui oleh badan kehakiman itu sendiri.  

Dalam hal ini, Tun Arifin menyarankan, perkhidmatan kehakiman diketuai oleh seseorang yang berada di dalam perkhidmatan tersebut. Ini kerana tokoh berkenaan lebih sesuai dan mahir bagi mengendalikan perkhidmatan kehakiman. 

Dalam hubungan ini, beliau mencadangkan Ketua Pendaftar Mahkamah mengetuai perkhidmatan kehakiman. Cadangan ini dilihat sangat munasabah kerana ia meletakkan garis pemisah yang nyata antara perkhidmatan perundangan dan kehakiman.   

Pada masa yang sama, ia membolehkan kedua-dua perkhidmatan tersebut ditadbir dengan lebih lancar dan sistematik. Ini kerana, kedua-dua perkhidmatan itu semakin berkembang dan jumlah mereka yang terlibat dalam kedua-dua perkhidmatan semakin bertambah.

Menurut Tun Arifin lagi, ketika SPPK diwujudkan dahulu, jumlah kakitangan kedua-dua badan perundangan dan kehakiman itu tidak ramai. Namun kini terdapat 636 kakitangan perkhidmatan perundangan dan 4,787 dalam perkhidmatan kehakiman sehingga April 2016. 

Oleh yang demikian, saranan Tun Arifin adalah wajar diberi perhatian yang serius oleh kerajaan. Peguam Negara, Tan Sri Mohd Apandi Ali juga mengesahkan telah menerima kertas cadangan pemisahan badan perundangan dan kehakiman ini dan sedang mengkaji mengenainya.

Diharapkan ada sesuatu keputusan yang positif akan lahir daripada cadangan dan kajian ini. Cadangan yang bernas dan membawa kebaikan tidak harus dibiarkan tersimpan sebegitu lama.

Cadangan asal oleh Tun Ahmad Fairuz dibuat pada 2006. Dalam tempoh itu sehingga kini tiada apa yang terhasil. Sedekad kemudian, Tun Arifin mengulangi cadangan yang sama.

Kali ini, umum ingin melihat ia benar-benar menjadi kenyataan.

Tun Ariffin Zakaria, SPPK, Apandi Ali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain