Akan Wujudkah Terusan Kra Suatu Hari Nanti

Diterbitkan: Ahad, 10 Julai 2016 1:19 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Sejak tahun 1677 lagi iaitu ketika era pemerintahan Raja Narai, beberapa pihak mencadangkan agar satu terusan dibina di Segenting Kra, yang terletak di selatan Thailand, tetapi langkah untuk menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan melalui terusan itu masih belum menjadi kenyataan hingga kini.

Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lepas, sekumpulan bekas jeneral Thailand dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, dengan bantuan sebuah syarikat China, menyuarakan cadangan baharu mengenai pembinaan terusan itu.

Pihak yang memperjuangkan pembinaan terusan berkenaan sering menyentuh tentang manfaatnya dari segi maritim kerana sekiranya projek itu dilaksanakan, jarak perjalanan kapal antara Lautan Hindi dan Laut China Selatan dapat dipendekkan separuh iaitu lebih 1,000km atau tiga hari pelayaran kerana ia tidak payah lagi melalui Selat Melaka yang sentiasa sibuk.

Walaupun Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-o-cha baru-baru ini mengumumkan beliau tidak berhasrat untuk meluluskan pembinaan terusan menyerupai Terusan Panama dan Terusan Suez itu, namun kumpulan berkenaan tetap berazam untuk melihat impian mereka menjadi kenyataan.

"Thailand telah memikirkan tentang Terusan Kra ini sejak lebih 300 tahun lepas dan cadangan untuk membinanya disuarakan banyak kuasa besar, tetapi kami (kumpulan itu) berpendapat ia (terusan berkenaan) adalah baik untuk masa depan Thailand," kata penasihat mengenai cadangan itu, Lt Jen Thawatchai Samutsakhon kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Selat Melaka adalah antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, digunakan kira-kira 100,000 kapal setiap tahun bagi mengangkut barang dagangan seperti minyak dan gas antara Lautan Hndi dan Laut China Selatan.

Thawatchai, bekas pemerintah tentera wilayah dua dan seorang lagi bekas orang kuat tentera Thailand, Jen Harn Leenanon mendesak kerajaan supaya membina terusan itu dengan berkata ia boleh mengubah landskap ekonomi Thailand kepada yang lebih baik.

Kumpulan itu, bersama-sama Dewan Perdagangan Thailand-China dan Longhao, sebuah syarikat swasta China yang mempunyai kepakaran dalam pembinaan terusan, berganding bahu membuat kajian tentang pembinaan Terusan Kra.

Menurut Thawatchai, sekiranya Bangkok bersetuju dengan cadangan dikenali sebagai "Laluan 9A" itu, satu terusan sepanjang 135km akan dibina menggunakan teknologi China dengan kos dianggarkan US$20 bilion, yang melibatkan tempoh kira-kira lima tahun.

Thawatchai, yang juga anggota Jawatankuasa Pemandu Pembaharuan Kebangsaan (NRSA), berkata kajian terkini pasukan itu mendapati Thailand akan mendapat pelbagai manfaat sekiranya Terusan Kra dibina.

Menurutnya, kepentingan ekonomi Thailand perlu mengatasi pertimbangan lain, termasuk kebimbangan kesan buruk yang akan menimpa ekonomi dan operasi pelabuhan negara jiran seperti Malaysia dan Singapura sekiranya terusan itu dibina.

"Setiap negara akan mengutamakan kepentingan sendiri dahulu, tiada siapa yang akan memberi keutamaan kepada kepentingan negara lain, itu perkara biasa," katanya.

Pemerhati meramalkan bahawa pelabuhan Singapura akan terjejas teruk sekiranya Terusan Kra dibina, selain pelabuhan Malaysia di Pulau Pinang, Klang dan Tanjung Pelepas.

Bagaimanapun, Thawatchai berhujah bahawa memandangkan Malaysia dan Singapura adalah lebih maju dari segi ekonomi berbanding Thailand, maka kesan daripada pembinan terusan itu terhadap mereka adalah bersifat minimal dan secara jangka pendek sahaja.

Beliau juga berkata apabila wujud Terusan Kra, kesibukan di Selat Melaka akan berkurangan dan masalah pencemaran akibat terlalu banyak kapal menggunakan selat itu akan menjadi sejarah, khususnya bagi Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Menyentuh tentang "bonanza ekonomi" yang menanti Thailand sekiranya terusan itu dibina, Thawatchai berkata wilayah selatan Thailand bukan sahaja akan muncul sebagai hab logistik terbaru di rantau ini, malah, ia akan menjadi pusat perkapalan, industri dan pelancongan bagi Asean.

"Berdasarkan hakikat itulah, kami tidak akan menyimpan sahaja cadangan pembinaan Terusan Kra ini, walaupun ia tidak dipersetujui kerajaan yang ada sekarang. Kami akan bawa perkara ini kepada kerajaan pada masa akan datang pula," katanya.

Beliau juga menangkis keraguan yang disuarakan pihak tertentu, termasuk kerajaan, bahawa tindakan memisahkan negara ini kepada dua bahagian melalui pembinaan Terusan Kra akan menggugat keselamatan Thailand.

Beliau berkata pembinaan terusan itu bukan sahaja tidak akan memberi kekuatan kepada kumpulan militan di wilayah selatan, malah ia akan mewujudkan peluang ekonomi yang boleh menambah baik kehidupan penduduk setempat.

Tambahan lagi, kata Thawatchai, China yang besar kemungkinan akan membiayai kemudahan pinjaman bagi menjayakan projek itu, sudah tentu akan memainkan peranan untuk memelihara kesejahteraannya, termasuk memastikan ia bebas daripada sebarang masalah keselamatan.

Selain itu, kata beliau, pembinaan Terusan Kra akan menjadi penghubung penting bagi inisiatif Laluan Sutera Maritim China, yang merupakan sebahagian daripada rangka tindakan negara itu, yang dikenali sebagai "One Belt One Road" (Satu Lingkaran Satu Laluan).

Tags / Kata Kunci: Terusan Kra

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan