Apa Ada Dengan Bagan Datoh...

Diterbitkan: Isnin, 24 Ogos 2015 8:04 PM

Ahmad Zahid disambut meriah dengan pertunjukan pencak silat.

(Ubah saiz teks)

BAGAN DATOH, Perak,  hanyalah sebuah pekan kecil yang sunyi. Ada yang menggelarnya sebagai pekan koboi kerana hanya ada dua baris kedai di jalan utama. Ada juga yang menggelarnya `pekan mati’ kerana kedudukannya di penghujung, di tepi Sungai Perak.

Namun apabila Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilantik ke jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) dalam rombakan kabinet baru-baru ini, ia bagai satu kejutan kepada pekan sunyi ini. Mungkin tidak siapa menduga anak desa Kampung Sungai Nipah, salah sebuah kampung di Bagan Datoh,  akan menduduki kerusi TPM.

Bagi warga parlimen Bagan Datoh, pelantikan Zahid ini membawa bersamanya harapan untuk melihat pekan koboi itu menjadi lebih maju.  Sebagai Ahli Parlimen dan Menteri Dalam Negeri, Zahid memang selama ini  sentiasa berusaha membawa kemajuan di kawasan parlimen berkenaan.

Parlimen Bagan Datoh mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Rungkup dan Hutan Melintang. DUN Rungkup paling hampir dengan pekan Bagan Datoh. DUN Hutan Melintang pula bersempadan dengan parlimen Teluk Intan dan Sabak Bernam, Selangor.

Sejak zaman parti Perikatan, parlimen Bagan Datoh dikuasai oleh parti pemerintah, termasuk dua DUN. Bagaimanapun pun pada pilihan raya umum 2008, PKR berjaya merampas kerusi DUN Hutan Melintang sehingga kini.

Berbanding dengan pekan Bagan Datoh, pekan Hutan Melintang lebih meriah dan sibuk. Ini kerana kedudukan pekan tersebut yang menjadi laluan utama bagi mereka yang hendak ke utara dan sebaliknya dengan menggunakan jalan pantai (coastal roads).  Kerana itulah di Hutan Melintang ini terdapat banyak bank, restoran makanan segera, kedai-kedai IT  dan supermarket selain kedai-kedai pakaian.

Pekan Bagan Datoh sunyi kerana ia di penghujung. Kedudukannya di tebing Sungai Perak yang terbentang luas. Dahulu dalam tahun 60an dan 70-an ada  juga perkhidmtan bot tambang dari jeti Bagan Datoh ke Pangkor dan  Sitiawan. Tetapi sejak dibina jalan raya ke Sitiawan dan utara melalui jalan utama Bagan Datoh-Hutan Melintang-Teluk Intan, perkhidmatan bot menjadi malap. Jetinya kini hanya sebagai tempat memancing atau tempat libur anak kota yang pulang ke desa.

Cuma Bagan Datoh akan menjadi cukup meriah setiap kali pertabalan Sultan Perak. Ini kerana rombongan baginda pasti akan menggunakan jeti Bagan Datoh untuk ke Beting Beras Basah, yang merupakan salah satu acara tradisi pertabalan setiap Sultan Perak.

Dengan pelantikan Zahid sebagai TPM, harapan baru bagai terserlah untuk melihat lebih banyak pembangunan dibawa ke pekan Bagan Datoh.  Ketika menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional, Zahid telah membawa cawangan bank itu ke Bagan Datoh.

Kini juga sudah ada Sekolah Menengah Sains berasrama penuh di Bagan Datoh. Malah ada cadangan membina kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Tapak sudah dikenal pasti tetapi pembinaan belum bermula sehingga kini.

Warga Bagan Datoh bukan sahaja mengharapkan kampus UiTM ini menjadi kenyataan malah mengharapkan lebih banyak projek dijalankan bagi memastikan pekan Bagan Datoh tidak lagi sunyi. Ada yang mahu agar dibina juga sebuah maktab perguruan atau pusat latihan polis.

Tentunya kalau dibina jambatan merentasi Sungai Perak dari Bagan Datoh ke Sitiawan,  pekan sunyi ini akan sentiasa menjadi tumpuan ramai kerana ia boleh menjadi jalan pintas. Namun tentunya projek ini bukan mudah untuk menjadi kenyataan.

Barangkali usaha memajukan Bagan Datoh ini lebih mudah memandangkan ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya adalah juga EXCO kerajaan negeri Perak.

Harapan tinggi diletakkan di bahu Zahid agar Bagan Datoh bukan sahaja lebih maju malah boleh menyediakan peluang pekerjaan. Pertanian kini masih menjadi teras utama kegiatan ekonomi. Suatu ketika Bagan Datoh adalah kawasan tanaman kelapa terbesar di Malaysia. Tetapi dengan tarikan kepada kelapa sawit yang lebih mahal harganya menyaksikan tanaman kelapa baik di estet atau kebun kecil, diganti dengan kelapa sawit.

Justeru harapan kini ialah  teras ekonomi dipelbagaikan. Misalnya mewujudkan industri walaupun pada skala kecil. Selain menyediakan peluang pekerjaan ia boleh menjadi faktor penarik kepada warga kawasan tersebut untuk tidak berhijrah ke bandar-bandar besar mencari rezki.

Bagan Datoh sememangnya mempunyai sejarah politik berwarna warni. Sudah beberapa orang Ahli Parlimen Bagan Datoh sebelum ini berkhidmat di peringkat pusat.

Pada tahun 60-an, Allahyarham Sulaiman Bulon (Perikatan) dilantik menjadi Menteri Muda (atau kini Timbalan Menteri) Pembangunan Negara dan Luar Bandar dalam kabinet Tunku Abdul Rahman. Datuk Mohamad Jamrah pula dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Bandar pada awal 90-an.

Sewaktu Pas dalam Barisan Nasional, Timbalan Yang Dipertua Agung Pas, Allahyarham Datuk Hassan Adli dilantik sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat dan kemudiannya Menteri Kerajaan Tempatan dan Wilayah Persekutuan. Apabila Pas keluar BN, Hassan Adli menjadi duta Malaysia ke Mesir.

Namun pelantikan Zahid sebagai TPM adalah yang paling menyinar sehingga kini. Harapan rakyat dan warga Bagan Datoh khususnya, amat tinggi . Mereka tidak mahu Bagan Datoh terus menjadi pekan koboi yang sunyi.

Tags / Kata Kunci: Bagan Datoh , Hutan Melintang , Umno , PKR

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan