Keranamu Ahmad Muhammad

Diterbitkan: Isnin, 9 Februari 2015 8:00 AM

(Ubah saiz teks)

SETIAP ibu bapa pastinya mengimpikan anak yang berjaya melakar kejayaan dalam pelajaran dan seterusnya menjejakkan kaki ke menara gading.

Tetapi lain pula kisahnya dengan Rosli Abdul Rahim, bapa pasangan kembar siam Ahmad dan Muhammad. Menatang kedua anak lelakinya yang kini berusia 17 tahun itu bagai minyak yang penuh, lelaki ini juga yang akan membawa mereka ke mana sahaja, menukar lampin pakai buang dan beg najis anaknya setiap hari, malahan mendukung kedua-dua beradik itu ke kelas di aras satu Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23 di Subang Jaya.

Kepayahan kedua anak istimewa itu mengharungi kehidupan selepas berjaya dipisahkan menerusi pembedahan bersejarah yang berlangsung 13 tahun lalu di Riyadh, Arab Saudi itu nyata memberi kesan mendalam buat dirinya.

Kesempatan menemui bapa kepada enam cahaya mata itu baru-baru ini, Rosli, secara terbuka mengakui, beliau sebenarnya masih berat hati untuk melepaskan kedua-dua anaknya itu melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kerana memikirkan mengenai keadaan mereka.

"Bukan saya tak nak mereka belajar tinggi tapi saya fikirkan mengenai keadaan mereka. Siapa yang akan pakaikan pampers mereka nanti? Mereka bukannya boleh pakai sendiri, kena ada orang yang bantu," kata pengusaha bengkel pertukangan besi itu kepada mStar Online.

Tambah lelaki berusia 44 tahun itu lagi, beliau tidak mahu kedua-dua anaknya itu berdepan sebarang kesulitan untuk pergi dan balik ke kuliah nanti.

"Sekarang pun saya masih dukung mereka untuk ke naik ke kelas di tingkat satu. Kalau mereka dapat tawaran belajar jauh dari rumah, siapa nak bantu mereka? Daripada berlaku perkara tidak diingin, lebih baik mereka ada dekat dengan saya," katanya yang mempunyai perancangan lain untuk dua anak istimewanya itu.

Dalam diam Rosli memasang impian untuk membuka kedai percetakan untuk Ahmad dan Muhammad bagi memastikan masa depan mereka lebih terjamin selepas tamat tingkatan lima hujung tahun ini.

Malah, katanya, hasrat tersebut turut mendapat sokongan ibu tiri pasangan kembar siam itu, Junaidah Awang, 39, yang mempunyai pengalaman dalam bidang tersebut sebelum ini.

"Saya ada memasang niat untuk membuka kedai percetakan untuk diusahakan along (Ahmad) dan angah (Muhammad) selepas mereka habis belajar nanti.

"Lagipun ummi mereka sokong dan dia boleh bantu mereka kerana pernah bekerja dalam bidang tersebut sebelum ini," katanya.


Rosli menyayangi dua anak istimewanya bagai menantang minyak yang penuh.

Yakin impiannya untuk membuka kedai percetakan itu akan menjadi kenyataan suatu hari nanti, Rosli berkata, segalanya dirancang apabila mengesan bakat kedua-dua anaknya yang kreatif  dan mampu menghasilkan lukisan menarik.

"Along dan angah memang kreatif, mereka suka melukis. Lagipun angah mahir menggunakan komputer. Saya yakin dengan kebolehan yang mereka ada, rancangan tersebut pasti menjadi kenyataan suatu hari nanti," katanya.

Ketika ditanya sekiranya Ahmad dan Muhammad ditawarkan tempat di IPT nanti, Rosli berkata, beliau tetap memberi sokongan kepada mereka sekiranya ingin terus belajar tetapi biarlah ianya dilakukan secara dalam talian.

"Sekarang dunia dah moden, semuanya di hujung jari. Jika mereka nak sambung belajar, mereka boleh lakukan secara dalam talian. Ia lebih mudah bagi mereka. Mereka hanya perlu duduk di depan komputer dan mengikuti kelas dari rumah sahaja," katanya.

Pasangan kembar itu yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini berhasrat untuk menghadiahkan keputusan cemerlang bagi menghargai pengorbanan bapa mereka selama ini.

"Kami tak nak tetapkan sebarang sasaran... takut nanti kecewa. Tapi kami mahu hadiahkan keputusan cemerlang untuk ayah," kata mereka.

Sebagai persediaan untuk menghadapi peperiksaan itu, adik-beradik tersebut mula mengikuti kelas tuisyen bersama rakan-rakan lain sejak Jumaat lalu.

"Walaupun SPM masih lama lagi, tapi kami perlu buat persediaan awal. Lagipun peperiksaan ini akan menentukan masa depan kami berdua," kata Muhammad yang dilihat lebih cool.

Ahmad (kiri) beriadah menggunakan tongkat pada waktu petang. - foto ART CHEN/THE STAR.

Ahmad yang menggemari subjek matematik berkata, pengorbanan bapa yang bersusah payah menjaga mereka selama ini menjadi pembakar semangat mereka untuk berusaha seupaya mungkin pada peperiksaan itu nanti.

"Ayah banyak bersusah payah demi kami selama ini. Kami akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat bantu dia mengubah nasib keluarga suatu hari nanti," kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Mengimbau saat selepas pemergian ibu kandung mereka, Asiah Kanda akibat kanser payu dara pada November 2011, Muhammad berkata, terselit kisah lucu mengenai bapa mereka semasa mengambil alih tugas yang ditinggalkan ibu mereka.

"Saya masih ingat lagi waktu kami mahu masuk tingkatan dua, ayah jahit tanda nama kami terbalik. Dia jahit dalam keadaan mengantuk, baru lepas habis kerja. Kami pakai juga ke sekolah tapi kawan-kawan tak perasaan," katanya sambil tertawa kecil.

Pasangan kembar ini melihat gambar kenangan bersama Raja Abdullah.

Pada September 17 tahun lalu, Ahmad dan Muhammad dilahirkan sebagai pasangan kembar Siam, bercantum dari bahagian dada hingga ke punggung.

Mereka mendapat perhatian dunia terutama daripada Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz, Putera Mahkota Arab Saudi pada waktu itu bersetuju menanggung semua perbelanjaan pembedahan bagi memisahkan mereka.

Tarikh 17 September 2002 menjadi tarikh keramat apabila pasangan kembar itu apabila mereka berjaya dipisahkan ketika berusia empat tahun.

Pembedahan itu dilakukan di King Fahad National Guard Hospital, Riyadh, Arab Saudi.

Ia mengambil masa selama 22 jam 45 minit dengan diketuai oleh Dr Abdullah Abdulaziz Al-Rabeeah yang sekarang merupakan Menteri Kesihatan negara Arab itu.

Pembedahan pemisahan itu menelan belanja sebanyak RM1.7 juta.

Pada hari ini, pasangan tersebut yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23 mampu menjalani kehidupan biasa seperti remaja seusia mereka.

Tags / Kata Kunci: kembar siam , Ahmad , Muhammad

iklan

Video

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Kolumnis

iklan

Iklan