suria

Bosan makan mi segera berkuah atau goreng... Tak sangka rupanya boleh dibuat donut, mudah sangat!

Donut mi segera ini sedap dimakan sebagai kudapan petang.

KADANGKALA tekak terasa nak makan makanan yang unik dan viral tapi selalunya tak sempat ditempah, sudah kehabisan.

Nak keluar makan pula terasa malas, tambahan sekarang musim hujan dan kebanyakan laluan akan sesak dengan kenderaan.

Bagi anda yang masih mencari idea untuk kudapan petang yang dapat mengenyangkan sehingga malam, apa kata mencuba resipi donut mi segera yang dikongsikan Edaman Kitchen.

Hanya menggunakan sebungkus mi segera sebagai bahan utama, ia kemudian diolah sehingga menjadi bentuk kuih donut.

Bahan-bahan:

1 paket mi segera perisa kari

2 biji telur

2 batang sosej

1 sudu besar sos cili

1 sudu besar tepung jagung

Sedikit keju

Serbuk roti

Donut

Cara penyediaan:

1. Celur mi segera ke dalam air mendidih seketika dan angkat selepas lembut.

2. Pecahkan dua biji telur dan kacau sehingga sebati.

3. Potong sosej berbentuk dadu dan tambah ke dalam adunan tadi.

4. Tambahkan serbuk perencah kari, sos cili, tepung jagung dan keju.

5. Kacau adunan sehingga sekata.

6. Kemudian masukkan adunan ke dalam bekas bulat yang telah disapu marjerin. Boleh juga guna mug yang besar ya.

7. Kukus adunan sehingga masak kira-kira 10 minit.

8. Sejukkan terlebih dahulu dan keluarkan daripada bekas.

9. Potong kepada dua bahagian dan lubangkan bahagian tengah seperti membuat donut.

10. Celupkan ke dalam telur dan serbuk roti. Kemudian goreng apabila minyak sudah panas.

11. Angkat selepas warnanya keperangan dan siap untuk dimakan!

Makan ketika masih panas pasti anda akan terasa kerangupan donut mi segera ini.

Paling penting, anak-anak pun suka dan pastinya tidak cukup jika dibuat sedikit. Selamat mencuba!

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain