Awas, ada yang perhati! NOF7 di Sunway Lagoon kembali menghantui anda - I-suke | mStar

Awas, ada yang perhati! NOF7 di Sunway Lagoon kembali menghantui anda

Hiburan Nights of Fright kembali buat kali ketujuh.

JAGA-jaga, ada yang sedang memerhati!

Festival paling seram dan terbesar di Malaysia kembali mencabar keberanian anda dalam mengharungi kegelapan dan ketakutan di luar jangka.

Hiburan bertemakan Nights of Fright 7 (NOF7) di taman tema Sunway Lagoon menghantui anda dengan persekitaran yang seram tapi menyeronokkan.

Bukan setakat hantu yang menakutkan, lembaga hodoh, makhluk aneh malah ikan jerung mengganas juga akan mengubah suasana malam yang menjadi igauan anda.

Berikut adalah antara tarikan Nights of Fright 7:

Tarikan Sharknado Alive!

1. Sharknado Alive!

Jika sebelum ini anda cemas menonton filem serangan ikan jerung di pawagam, kali ini adegan-adegan mendebarkan itu ‘dihidupkan’ untuk anda merasai sendiri pengalaman itu.

Awas! Bukan setakat ikan jerung muncul di mana-mana, tapi setiap langkah akan dikejutkan dengan mangsa-mangsa yang ‘maut’ diserang dan dibaham ikan yang mengganas itu.

2. Horrorjuku dalam 3D

Menerusi pengalaman tiga dimensi, kunjungan anda ke rumah fesyen Angoscia yang menjadi lokasi kejadian model-model, keganasan dan pembunuhan.

Paling mencemaskan apabila patung-patung cantik yang sering kali menjadi tumpuan di butik-butik buat pelanggan bakal mengubah persepsi anda.

Patung-patung cantik tapi menakutkan dalam Horrorjuku.

3. Horrorwood Studios

Anda sukakan filem-filem seram dan mengerikan, inilah masanya untuk anda menyelami dan berdepan sendiri dengan watak-watak itu.

Setiap laluan akan muncul kelibat yang tidak disangka-sangka, sebut saja siapa yang pernah anda tontoni sehingga tak senang duduk – Freddy, Alien, Ghostface, Ghostbusters, Jason semua ada! Jangan terkejut kalau terjumpa badut Pennywise yang boleh muncul bila-bila masa tanpa diduga.

4. Animalium

Jangan disangka haiwan yang comel hanya nampak tenang sahaja. Kalau sudah bertaring atau muncul hanya untuk menakutkan anda, bukan lagi comel namanya.

Nah, Animalium membuatkan anda seperti tidak percaya binatang-binatang yang selama ini jinak tapi muncul ‘mengganas’ seperti zombie.

Bukan comel, tapi menyeramkan.

5. Hotel dEVILle

Pernahkah anda membayangkan untuk memasuki hotel yang terbiar dan usang? Di Hotel dEVILle, anda dapat merasai suasana hotel yang menyeramkan.

Bukan setakat pekerja-pekerja hotel, malahan tetamu-tetamu pelbagai rupa dan bentuk akan mengalu-alukan kedatangan anda.

Lapan rumah hantu, dua zon seram

Debaran malam anda di NOF7 turut dicemaskan lagi dengan hiburan bertemakan rumah-rumah hantu lain seperti House of Voodoo, Blood.Shed dan Scarytales Theatre.

Sebanyak lapan rumah hantu menguji keberanian anda sepanjang malam, termasuk satu pawagam, dua pertunjukan pentas dan dua zon menakutkan.

Ghostface mengawasi gerak-geri anda.

Hati-hati setiap langkah anda kerana bukan sahaja ada yang memerhati, tetapi akan berdepan ada lembaga-lembaga yang menakutkan dan watak-watak daripada filem-filem seram.

Cemas, mendebarkan, tetapi menyeronokkan anda dalam NOF7 di Sunway Lagoon di Bandar Sunway di Petaling Jaya, Selangor dari pukul 7.30 malam sehingga 11.30 malam, bermula 4 Oktober 2019 sehingga 3 November 2019, setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Maklumat lanjut boleh layari https://sunwaylagoon.com/nof7/.

NOF7 , Sunway Lagoon , Pennywise , hantu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain