suria

Siaran TV digital, myFreeview tawar 15 saluran percuma di seluruh negara

Ketua Pegawai Sektor Digital MCMC, Gerald Lim (kiri) menunjukkan siaran RTM Sports HD sambil diperhatikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Berhad, Johan Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif MYTV, Michael Chan pada majlis taklimat myFreeview di Cyberjaya pada Jumaat. Foto MOHD SAHAR MISNI

RAMAI masih tidak menyedari tentang kewujudan myFreeview iaitu siaran TV digital yang diwujudkan dalam usaha kerajaan Malaysia untuk memberhentikan siaran analog secara berperingkat.

Projek dikenali sebagai DTT (Televisyen Terestrial Digital) itu adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan diselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menyediakan khidmat penyiaran TV dan radio terbaik kepada rakyat.

Paling penting semua siaran menerusi myFreeview adalah percuma dan tiada bayaran bulanan.

myFreeview menyediakan 15 saluran percuma termasuk lima dalam definisi tinggi (HD).

Menerusi myFreeview, penonton dapat menyaksikan program-program terbaik penyiar TV percuma termasuklah Radia Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, TV Al Hijrah dan Bernama News Channel.

Bagi membolehkan anda mendapat akses kepada siaran TV digital ini sangat mudah dengan hanya memasang dekoder DVB-T2 dan aerial UHF kepada set TV sedia ada.

Juga melalui Televisyen Digital Bersepadu (Integrated Digital TV atau IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder serta memasang aerial UHF.

Jangan bimbang, setakat ini terdapat 13 jenama IDTV yang mendapat pengesahan Sirim telah pun berada di pasaran.

myFreeview percuma tanpa sebarang yuran langganan bulanan.

Bagaimanapun set TV sedia ada sudah mencukupi asalkan ia mempunyai sambungan masuk AV/HDMI yang boleh disambungkan kepada dekoder menggunakan kabel AV/HDMI.

Apa sebenarnya kelebihan myFreeview?

1. Percuma tanpa yuran langganan

myFreeview tidak memerlukan sebarang yuran bulanan dan ia disediakan secara percuma seperti mana siaran TV sebelum ini.

2. Imej lebih tajam dan jelas serta audio berkualiti tinggi

Siaran TV digital myFreeview menjanjikan resolusi serta kualiti gambar dan bunyi lebih jelas secara definisi standard (SD) dan definisi tinggi (HD).

Cara pemasangan dekoder myFreeview juga sangat mudah.

3. Penambahan perkhidmatan dan saluran TV

Setakat ini myFreeview mempunyai 15 saluran TV dan enam saluran radio termasuk lima saluran dalam HD (TV1, TV2, RTM Sports HD, RTM News/Bes HD dan TV3) dan lebih banyak penyiar baharu dijangka menyertai perkhidmatan ini pada masa hadapan.

4. Perkhidmatan TV Interaktif

myFreeview juga sedang dalam perancangan membangunkan televisyen interaktif seperti beli-belah atas talian, menonton video atas permintaan (on demand) menggunakan talian internet.

5. Sarikata pelbagai bahasa dan akses Panduan Program Elektronik

Walaupun percuma, myFreeview turut didatangkan dengan pelbagai kemudahan dan akses termasuk sarikata pelbagai bahasa bagi memudahkan menonton rancangan pelbagai bahasa.

myFreeview, RTM, TV3, SKMM

Artikel Lain