suria

Sesak dada, sukar bernafas... Rupanya ini yang berlaku pada tubuh orang patah hati dan stres

Rasa sesak nafas boleh berlaku disebabkan kekecewaan.

PERNAH atau tidak anda berasa sesak di dada selepas mengalami kekecewaan atau kesedihan?

Dalam bahasa moden, kita sering menyebutnya perkara itu sebagai 'patah hati' sekiranya mendapat perkhabaran duka atau mengecewakan.

Seorang saintis, Riza Putranto mengulas mengenai apa yang berlaku kepada tubuh ketika kita mengalami perasaan seperti ini.

1. Proses emosi dalam otak

Menurut kajian yang diterbitkan dalam Journal of Affective Disorders pada tahun 2000, emosi seperti kesedihan dan kekecewaan diproses di otak (khususnya dalam sistem limbik) yang melibatkan amigdala dan hipotalamus.

Apabila kita berasa sedih atau kecewa, sistem saraf otonom (ANS) akan terangsang.

Ini menyebabkan berlakunya peningkatan dalam kadar denyutan jantung dan perubahan dalam pola pernafasan.

Keresahan dan stres sering dihadapi manusia dalam kehidupan seharian.

2. Peranan hormon kortisol

Robert Sapolsky dalam kajiannya pada tahun 2004 menjelaskan bahawa ketika otak memproses emosi negatif, ia memberi arahan kepada kelenjar adrenal di ginjal untuk menghasilkan hormon kortisol.

Hormon ini bertindak sebagai persediaan untuk keadaan 'fight or flight' apabila kita menghadapi stres.

Dalam jumlah yang besar, kortisol dapat menyebabkan ketegangan otot dan perubahan dalam sistem peredaran darah sehingga boleh mengakibatkan rasa sesak atau ketidakselesaan di dada.

3. Kesan ketegangan otot

Ketegangan otot yang berlaku disebabkan oleh tindak balas hormon ini juga boleh menyumbang kepada rasa sesak di dada.

Pelbagai lapisan otot di kawasan dada ini boleh menekan bahagian tersebut jika terdapat ketegangan sehingga menyebabkan rasa tidak selesa.

Sebenarnya, ada cara untuk mengatasi stres dan keresahan yang sering dihadapi oleh ramai orang dalam kehidupan seharian.

Dalam usaha untuk mengatasi masalah ini, terdapat beberapa pendekatan yang boleh diambil untuk meredakannya.

Tiga kaedah yang berkesan termasuklah menggunakan teknik kawal pernafasan, duduk dan cuba untuk tenangkan diri serta mencuba alihkan perhatian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain