suria

Boleh rakam audio guna aplikasi Grab! Ciri baharu bakal diperkenal untuk keselamatan penumpang, pemandu

Grab bakal merintis ciri keselamatan baharu buat penggunanya. Foto: Rawpixel.com on Freepik.

GRAB Malaysia mengumumkan bahawa syarikat itu bakal merintis AudioProtect (beta), ciri keselamatan baharu untuk pengguna terpilih di Pulau Pinang dan Johor mulai bulan depan.

Ciri ini akan memberi pilihan kepada pemandu dan penumpang untuk merakam audio semasa perjalanan sebaik sahaja ia diaktifkan dalam Tetapan Keselamatan.

Grab dalam satu kenyataan berkata ciri itu akan membantu mempercepatkan dan menyelesaikan sebarang insiden yang dilaporkan kepada syarikat.

Pengguna akan digesa untuk menggunakan ciri tersebut apabila mereka menempah perjalanan. Mereka juga boleh mengaktifkan ciri dalam Tetapan Keselamatan di bawah Akaun Saya (My Account).

Dalam halaman Bantuan (Help), Grab menjelaskan bahawa perjalanan hanya akan direkodkan apabila kedua-dua pihak iaitu pemandu dan penumpang telah mengaktifkan ciri tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Anda jenis kelam kabut? Ini tip elak tertinggal barang dalam kenderaan e-hailing

Rakaman akan bermula dari saat pemandu tiba untuk mengambil penumpang dan tamat apabila perjalanan selesai.

Fail rakaman akan disimpan dalam peranti pengguna sehingga 10 hari dan akan dipadamkan untuk mengosongkan ruang storan jika tiada insiden keselamatan dilaporkan oleh mana-mana pihak.

Walau bagaimanapun, pengguna tidak boleh mendengar atau mengakses rakaman pada peranti mereka atas sebab privasi.

Grab berkata fail itu akan disulitkan dan hanya boleh diakses oleh kakitangan yang diberi kuasa Grab, pegawai penguatkuasa undang-undang dan pihak berkuasa kerajaan untuk tujuan penyiasatan keselamatan sekiranya insiden keselamatan dilaporkan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain