suria

Mewah dan sentimental sebagai hadiah... usahawan ini jual mangkuk tingkat ‘decoupage’ rekaan eksklusif berserta juadah tradisional

Mangkuk tingkat yang cukup cantik dan eksklusif sesuai dijadikan hadiah kepada keluarga dan orang tersayang.

WALAUPUN pada zaman kini mangkuk tingkat masih diguna pakai, namun kewujudan ‘tiffin’ ini masih samar dan ada antara kita yang masih tidak tahu kegunaannya.

Ia sering dikaitkan dengan warisan klasik yang hanya digunakan golongan berumur untuk menyimpan makanan agar kekal panas dan mudah untuk dibawa ke mana-mana.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia 25 tahun sudah terajui syarikat milik bapa, pemuda ini mahu bawa jenama mewah jam tangan ke mata dunia!

Bagi Nor Aini Kamaruddin atau lebih mesra dengan sapaan NK yang berasal dari Johor Bahru dia membawa semula revolusi mangkut tingkat ‘decoupage’ yang mana ia didatangkan dengan pelbagai rekaan bunga istimewa dan boleh dijadikan sebagai hadiah.

Pernah menyambung pengajian di Universiti Toledo Amerika Syarikat, Nor Aini, 58, memulakan kerjaya sebagai usahawan pada tahun 2016 setelah meninggalkan kerjaya daripada dunia korporat.



Nur Aini (dua dari kanan) bersama rakan-rakan ketika menyertai kelas seni mangkuk tingkat.

Bermula sebagai pengusaha restoran makanan tradisional yang bertempat di Taman Tun Dr Ismail, Nor Aini akur dengan situasi pandemik di mana hasil jualan tidak memberangsangkan apatah lagi ketika ini negara diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Waktu PKP mengajar saya untuk membuat jualan secara online, jadi saya masukkan menu-menu yang ada di Teratak Restoran ke dalam Facebook.

"Saya penggemar seni, suka buat ‘art’ jadi saya terfikir apa lagi yang boleh maju ke depan dari segi konsep tradisi tapi memenuhi keperluan semasa," katanya kepada mStar.

Nor Aini memberitahu idea menggabungkan juadah resepi keluarga dan mangkuk tingkat hasil rekaannya sendiri tidak akan berjaya sekiranya dia tidak mendalami ilmu pemasaran dan perniagaan.

Atas sebab itu, dia mula mendalami selok-belok perniagaan dan pemasaran bersama rakan kongsinya termasuk menghasilkan seni rekaan bunga pada mangkuk tingkat agar tampak lebih cantik dan eksklusif.



Pelanggan juga boleh membuat tempahan khas mangkuk tingkat mereka.

“Kadang-kadang ada juga pelanggan yang nak rekaan lain contohnya ikan, jadi saya akan buat mengikut kemampuan dan citarasa pelanggan. Pada saya konsep mangkuk tingkat itu bukan sahaja untuk makanan tapi ia boleh dijadikan sebagai hadiah," jelasnya yang memberitahu mangkuk tingkat dan napkin tisu diilhamkan rekaan dari Holland, United Kingdom dan Jerman.

Nor Aini memberitahu dengan situasi pandemik ketika ini, sememangnya membuatkan ramai yang sedih kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga dan orang tersayang tetapi dengan adanya mangkuk tingkat serta makanan tradisi Melayu ia sedikit sebanyak mengubat kerinduan sekali gus memberi kelainan buat si penerima.

Apa yang lebih menarik, mangkuk tingkat ini juga didatangkan set khas iaitu ‘birthday set’ di mana di dalamnya pelanggan boleh minta untuk diletakkan kek atau pai.

"Hadiah lain seperti bunga segar akan layu, jadi kenapa tidak hadiahkan orang tersayang dengan bekas yang cantik dan boleh digunakan untuk tempoh yang lama," katanya.



Selain juadah tradisional, pelanggan boleh membuat tempahan untuk hari jadi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Nor Aini juga memberitahu dia tidak menyangka idea itu menampakkan hasil apabila dia mendapat tempahan luar biasa daripada pelanggan.

Malah ketika sambutan hari raya Aidilfitri yang lalu, dia mendapat tempahan tertinggi bagi mangkuk tingkat 'custome made stickers' sebanyak 370 tempahan selain enam jenis mangkut tingkat dengan saiz berbeza.

“Bagi saya tiffin ni boleh digunakan dengan banyak cara dan digunakan sepanjang masa. Jika diberi peluang dan keadaan semakin baik, saya ingin membuat mangkuk tingkat untuk kanak-kanak.

"Dengan cara ni juga boleh membantu alam sekitar untuk kita mengelak daripada penggunaan plastik, ” ujarnya yang menerima tempahan menerusi laman Facebook Tiffins Made With Luv.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain