suria

Sejak sekolah suka bela ikan arowana, siapa sangka kini bukan sahaja pelanggan seluruh negara tapi siap rancang nak eksport!

Aiman membuktikan hobi boleh bertukar menjadi sebuah kerjaya. Foto Instagram @aiman_azmiii

HOBI memelihara ikan hiasan bukan sesuatu yang asing, malah jika bijak mencari peluang ia mampu menghasilkan pendapatan lumayan.

Berdasarkan daya tarikan pada ikan hiasan itu juga telah mendorong Aiman Azmi, 25, untuk meneroka lebih jauh dalam industri berkenaan dan memilih menjual ikan arowana yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penggemarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Usia 25 tahun sudah terajui syarikat milik bapa, pemuda ini mahu bawa jenama mewah jam tangan ke mata dunia!

Apatah lagi ikan arowana atau scleropages formousus adalah sejenis ikan hiasan yang sangat popular selain tinggi harganya.

Selain itu, ia mempunyai nilai komersial dan peningkatan harganya sangat tinggi bagi setiap inci saiz ikan tersebut terutamanya bagi baka berkualiti. Jadi ia bukan sekadar hobi, malah lubuk yang dapat memberi pulangan besar.



Aiman bersama pelanggan yang membeli ikan hiasan di kedainya sebelum PKP.

Menurut Aiman yang berasal dari Jitra, Kedah, sejak dibangku sekolah lagi dia sudah berminat dengan keunikan ikan arowana malah turut membela beberapa ekor 'Raja Ikan Hiasan' itu.

Minatnya tidak terhenti di situ, katanya, ketika itu dia juga aktif menjual ikan arowana peliharaannya kepada pelanggan di seluruh negara.

"Masa zaman persekolahan lagi saya memang berminat dengan ikan hiasan dan ikan arowana adalah salah satunya. Ia bukan sahaja unik tetapi memilik tekstur dan warna yang menarik.

"Meskipun harganya agak mahal tetapi pada saya ia bukan sahaja hobi tetapi satu pelaburan yang cukup baik dan mempunyai permintaan tinggi," katanya kepada mStar.



Suasana kedai sebelum PKP yang didatangi ramai peminaat ikan hiasan.

Berhijrah ke Kuala Lumpur buka perniagaan

Sejak itu juga kata Aiman, semakin ramai menghubunginya untuk membeli ikan arowana daripadanya hasil daripada hebahan mulut ke mulut pelanggannya sebelum ini.

Itu juga membuatkan dia tidak menang tangan kerana tempahan diterimanya semakin banyak dari seluruh Malaysia dan mula berfikir untuk terlibat secara serius dalam perniagaan ikan hiasan.

"Pada awalnya saya memang tak sangka sebab asalnya saya hanya buat sekadar suka-suka sebagai mengisi masa lapang tetapi perminataan pelanggan semakin banyak.

"Saya melihat ini adalah peluang untuk saya kembangkan perniagaan dan melibatkan diri secara serius menjual ikan arowana," katanya.



Aiman turut mendapatkan bekalan ikan dari luar negara.

Atas dasar itu juga, Aiman memberitahu sejak Januari lalu dia mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur dan membuka kedai ikan hiasannya iaitu Equine Aquatics di Seri Kembangan, Selangor.

Katanya, dia memilih untuk beroperasi di Lembah Klang kerana ia lebih memudahkan urusan membawa masuk ikan arowana yang diimport dari luar negara selain menjadikan ia pusat kepada pelanggan dari seluruh negara.

"Alhamdulillah, enam bulan beroperasi Equine Aquatics mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan terutamanya dalam kalangan penggemar dan pencinta ikan arowana.

"Di kedai ini juga turut menempatkan pelbagai jenis ikan arowana dan kebanyakannya yang diimport dan hendak membawanya masuk bukan mudah malah ramai pernah ditipu.



Ikan arowana mendapat permintaan tinggi pelanggan.

"Jadi apabila saya buka kedai ini, ia jadi memudahkan urusan menghantar ke seluruh negara dan merancang untuk eksport," katanya.

Harga ikan arowana boleh cecah enam angka!

Bercakap lanjut mengenai ikan arowana, Aiman memberitahu antara yang mendapat permintaan tinggi adalah dari jenis Super Red dari Kalimantan Barat, Indonesia dan Betta Fish dari Thailand.

Jelas Aiman, harga setiap ikan arowana boleh menjadi berbeza-beza dan kebiasaannya ia ditentukan daripada jenis dan ciri-cirinya seperti sisik, ekor, mata, mulut dan warna.

Malah jelasnya, ukuran panjang dayung dan jenis sayapnya ikan arowana biasanya lebih mahal dan menjadi rebutan penggemar ikan hiasan ini.



Aiman sanggup berpindah dari Kedah ke Kuala Lumpur demi mengejar impiannya.

"Biasanya ikan arowana bersaiz tujuh ini dijual pada harga RM2,000 ke atas malah harganya boleh mencecah ratusan ribu ringgit!," jelasnya.

Aiman berkata, ramai menggemari ikan ini kerana sifatnya yang tidak ditelan oleh zaman selain keunikannya yang menambat hati sesiapa yang melihat.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Membela ikan ini seperti terapi minda apatah lagi ketika situasi sukar ketika ini. Melihat ikan arowana berenang dan mengamati kecantikannya dalam akuarium memang boleh mendatangkan ketenangan," katanya.

Aiman juga memberitahu ia semakin mendapat perhatian ramai kerana ia bukan sahaja cantik sebagai ikan perhiasan malah penjagaannya juga tidak sukar.

"Nak jaga ikan arwana tidak susah... paling penting kena jaga kualiti air akuariumnya dan pemakanan, InsyaAllah ia boleh hidup sehingga usianya 20 tahun," jelasnya.



Meskipun kini PKP dilaksanakan, Aiman tetap menghantar tempahan menerusi perkidmatan kurier.

Cabaran berhadapan pandemik

Aiman mengakui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada perniagaannya yang baharu sahaja mencecah usia enam bulan.

Bagaimanapun katanya, dia melihat perkara itu dari sudut positif dan mula mengubah pelan perniagaan dan pemasarannya sesuai dengan situasi semasa ketika ini.

"Sejak awal menceburi bidang perniagaan ini saya sendiri sudah bersedia dan ambil maklum tentang situasi tidak menentu ketika ini dan perlu bersedia terhadap sebarang kemungkinan.

"Alhamdulillah, dengan kecanggihan teknologi hari ini perniagaan masih dapat diteruskan malah saya menggunakan medium media sosial sebaik-baiknya dalam mempromosikan perniagaan," jelasnya.

Tambah Aiman, meskipun negara sedang dilanda pandemik namun masih ada pelanggan yang ingin membeli ikan arwana untuk dijadikan hobi sebagai aktiviti berada di rumah.

Malah katanya, sejak PKP 3.0 berlangsung dia mendapat pelbagai tempahan daripada pelanggan termasuk di luar Lembah Klang.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain