suria

Jom tunjuk skil fotografi... tingkatkan kesedaran uniknya hutan tropika

Pertandingan Fotografi MTCC 2021 berlangsung bermula 21 Mac hingga 30 Jun depan.

BAGI meningkatkan kesedaran awam tentang keunikan serta kelebihan hutan hujan tropika di Malaysia melalui seni fotografi, Majlis Pensijilan Malaysia (MTCC) sekali lagi menganjurkan Pertandingan Fotografi MTCC 2021.

Penganjuran pertandingan bermula 21 Mac hingga 30 Jun depan bertujuan untuk mempromosikan kepentingan menghargai nilai alam dan pengurusan hutan mampan melalui pensijilan bagi memanfaatkan generasi akan datang.

ARTIKEL BERKAITAN: Hargai nilai hutan... Pengurusan rapi dan rantaian produk kayu mampan kunci kekalnya warisan alam negara

Bertemakan 'Alami hutan, Alami MTCS-PEFC' (Experience Forest, Experience MTCS-PEFC) pertandingan tahunan ini adalah hasil usaha sama antara MTCC dan PCP Publications.

Ketua Pegawai Eksekutif MTCC, Yong Teng Koon berkata, pertandingan tahun ini membawa makna tersendiri memandangkan 21 Mac adalah sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-9 yang bertemakan “Pemulihan hutan: jalan menuju pemulihan dan kesejahteraan” (“Forest Restoration: a path to recovery and well-being”).

Tema ini sejajar dengan resolusi Sedekad Pemulihan Ekosistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2021-2030) (United Nations Decade on Ecosystem Restoration (2021-2030) yang menyeru kepada usaha-usaha pemulihan dan pengurusan hutan lestari dalam menangani kesan-kesan krisis alam sekitar dan biodiversiti.

“Hari Hutan Antarabangsa disambut oleh masyarakat dunia dengan mengadakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan hutan dan alam sekitar kepada manusia.

“Pertandingan Fotografi MTCC kali ini sangat bertepatan dengan tema Hari Hutan Antarabangsa 2021 kerana ia adalah inisiatif kami dalam menyahut seruan tersebut dengan meningkatkan kesedaran ramai mengenai pensijilan sebagai alat pengurusan hutan mampan yang penting. Pensijilan boleh memastikan kelestarian hutan demi masa depan yang lestari, ” ujarnya.



Pertandingan Fotografi MTCC 2021 menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Kategori baharu

Yong berkata MTCC dan PCP Publications menawarkan empat kategori baharu dalam pertandingan tahun ini yang mengambil kira pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Malaysia dalam usaha mengawal penularan wabak COVID-19.

“Empat kategori tersebut merangkumi tiga kategori foto iaitu Landskap Hutan Semulajadi (Natural Forest Landscapes), Kayu Di Dalam Kehidupan Kita (Wood in Our Life) dan Kekal Selamat, Kekal Hijau (Stay Safe, Stay Green) serta satu kategori video, Aku Bersiar-siar, Aku Membayangkan (I Wander and I Wonder).

“Kategori-kategori ini diwujudkan untuk membolehkan peserta kekal kreatif dan menghasilkan gambar yang terbaik serta menjadikan pertandingan ini lebih praktikal semasa menghadapi pelbagai cabaran dan kekangan sepanjang tempoh PKP, ” katanya.

“Seramai 166 peserta dari seluruh Malaysia telah mengambil bahagian dalam pertandingan tahun lalu dengan penyerahan sebanyak 1,384 foto dan 19 video pendek. Kami berharap akan menerima lebih banyak penyertaan yang menarik tahun ini. Namun demikian ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana sejak edisi pertama pertandingan ini dianjurkan pada tahun 2017, penyertaan-penyertaan yang kami terima tidak pernah menghampakan, ” tambah Yong lagi.

Beliau berkata kategori Kayu Di Dalam Kehidupan Kita (*Wood in Our Life*) yang bertujuan untuk merakam nilai estetika kayu dalam gaya hidup adalah bersesuaian dengan sambutan Hari Kayu Sedunia yang juga jatuh pada 21 Mac.

Acara tahunan tersebut diadakan untuk mempromosikan kayu sebagai bahan mesra alam yang berharga dan seharusnya digunakan dengan penuh tanggungjawab.

Pertandingan Fotografi MTCC 2021 merangkumi kategori-kategori berikut:

Kategori A: Landskap Hutan Semulajadi (Natural Forest Landscapes)

Kategori ini memberi peluang kepada peserta menyerlahkan bakat dalam merakam keindahan hutan dan landskap hutan di Malaysia. Imej-imej yang diambil boleh meliputi kehidupan masyarakat yang bergantung kepada sumber hutan sebagai mata pencarian, pelbagai jenis flora dan fauna dan ekosistem yang dikekalkan.

Setiap penyertaan harus menggambarkan keindahan semulajadi, kepelbagaian dan keunikan hutan dengan mengambil kira bentuk dan strukturnya. Untuk landskap hutan, imej-imej yang diambil sewajarnya menggambarkan ciri-ciri geologi atau klimatologi dan persekitaran semulajadi hutan Malaysia.

Kategori B: Kayu Di Dalam Kehidupan Kita (Wood in Our Life)

Kategori ini memerlukan imej-imej yang menggambarkan kepelbagaian penggunaan kayu sebagai mata pencarian juga kemahiran warisan masyarakat kita, dan nilai kayu terhadap manusia.

Imej-imej yang ditampilkan juga boleh menunjukkan mereka yang bekerja membuat produk daripada kayu menggunakan perkakas atau peralatan berasaskan kayu, struktur-struktur kayu atau sebarang objek berkayu yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

Kategori C: Kekal Selamat, Kekal Hijau (Media sosial - Facebook/Instagram) #staysafestaygreen (Stay Safe, Stay Green)

Memandangkan kita sedang menjalani satu kehidupan yang berbeza disebabkan oleh kesan pandemik, kategori ini diadakan khusus untuk menunjukkan bagaimana kita masih dapat memainkan peranan dalam menghijaukan alam sekeliling walaupun terdapat pelbagai kekangan.

Kategori ini mengajak para pengguna media sosial untuk memuat naik imej-imej yang menggambarkan usaha kecil tetapi bermakna mereka (seperti membuat kebun-kebun kecil atau taman-taman tergantung dll) demi menghijaukan persekitaran sambil kekal selamat di rumah.

Setiap penyertaan harus dimuat naik berserta tanda pagar berikut: #mtccphotocontest2021 #staysafestaygreen. Keputusan akan diumumkan di laman rasmi Facebook MTCC dan Facebook AdvancedImagesTravelution. Para pemenang akan dihubungi melalui laman sosial masing-masing.

Kategori D: Video – Aku Bersiar-Siar Aku Membayangkan (I Wander and I Wonder)

Kategori ini mengajak para peserta untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menikmati keindahan dan suara alam di hutan ataupun taman rekreasi di Malaysia. Video haruslah dirakam menggunakan kamera telefon pintar/tablet/dron/kamera tahan lasak (GoPro dll), atau hasil gabungan peranti mudah alih. Durasi setiap video ialah sekurang-kurangnya 30 saat dan tidak melebihi 3 minit.

Para peserta boleh menambah teks, kesan grafik atau rakaman suara mengikut kreativiti masing-masing asalkan ia mematuhi undang-undang hak cipta yang berkaitan.

Selain hadiah utama yang merupakan wang tunai RM2,000, pertandingan ini turut menawarkan satu hadiah tempat pertama iaitu wang tunai RM1,200, dua hadiah merit RM600 dan 10 hadiah saguhati RM200 untuk setiap pemenang bagi setiap kategori.

Bagi kategori media sosial pula, hadiah wang tunai RM100 ditawarkan untuk tiga penyertaan terbaik selain tujuh hadiah merit RM50. Dua video terbaik akan menerima hadiah wang tunai RM500 setiap seorang. Setiap pemenang juga akan mendapat buku/majalah ihsan PCP Publications.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai minat terhadap hutan, kayu-kayan dan fotografi. Setiap peserta boleh menghantar sehingga 10 keping foto bagi setiap kategori dan dikehendaki untuk memuat naik penyertaan ke sistem penyimpanan dalam talian dan menghantar e-mel pautan tersebut ke mtcc@pcp2u.my.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan borang penyertaan, sila layari laman-laman Facebook berikut: MTCC.Malaysia, AdvancedImagesTravelution, majalahFotografika atau PhotoCreatorTravelmate.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain