suria

Ada 7 tabiat perbelanjaan yang boleh menyebabkan anda pokai... jom ubah cara berbelanja mulai sekarang!

Pembelian impuls banyak berlaku dan ia boleh menjadi masalah tanpa disedari.

BESAR atau kecil gaji, perancangan kewangan sebenarnya sangat penting dalam memastikan kita tidak terjerumus dalam kancah hutang sehingga menyebabkan diri berada dalam kesempitan.

Tambahan pula dengan situasi tidak menentu ketika ini akibat pandemik Covid-19, pelbagai kemungkinan boleh berlaku sekiranya kita tidak berhati-hati dan merancang kewangan dengan bijak.

ARTIKEL BERKAITAN: Detox media sosial, bagaimana caranya?

Ramai tidak sedar tabiat pembelian tanpa merancang boleh menjerat diri dan berikut adalah beberapa contoh terbaik;

1. Pembelian impuls

Menambah sepaket cokelat ke dalam troli ketika menunggu giliran untuk membuat pembayaran mungkin bukan masalah besar tetapi kebiasaan itu yang mendatangkan masalah.

Pembelian impuls banyak berlaku termasuk secara dalam talian apabila penjual cuba menarik perhatian anda dengan menghantar emel tentang promosi yang dalam fikiran kita adalah tawaran menarik.

Perbelanjaan yang tidak dirancang dapat merosakkan belanjawan yang dirancang apatah lagi bagi mereka yang tidak pernah menyimpan untuk waktu kecemasan.

2. Kopi berjenama

Kebanyakan daripada kita lebih tertarik dengan jenama serta lambang kemewahan berbanding memikirkan bahawa ia hanya segelas kopi. Bayangkan jika anda membelanjakan RM20 untuk secawan kopi setiap hari dan berapa pula jumlahnya dalam tempoh sebulan? Anda lakukanlah kira-kiranya!

3. Tiada simpanan kecemasan

Tanpa simpanan kecemasan, kita lebih terdedah untuk berhutang menggunakan kad kredit atau meminjam daripada kawan apabila berlaku situasi yang memerlukan wang yang banyak seperti kereta rosak.

Apa kata mulai hari ini cuba buka sebuah akaun yang mempunyai simpanan untuk tiga ke enam bulan - mana tahu suatu hari anda memerlukannya!

4. Membeli barangan tanpa senarai

Berapa ramai daripada kita yang ke pasar raya sambil membawa senarai barang yang perlu dibeli? Jika tidak, berapa banyak barangan tidak diperlukan yang anda beli?

Itulah gunanya senarai sebelum ke pasar raya, ia dapat membantu anda mengawal perbelanjaaan tanpa membazirkannya untuk perkara tidak penting.

5. Perkhidmatan langganan bulanan

Pelbagai perkhidmatan penstriman yang menawarkan pelbagai kandungan hiburan yang cukup berbaloi. Tetapi cuba tanya pada diri, adakah anda menonton semuanya? Adakah berbaloi membazirkan wang membayar sesuatu perkhidmatan yang tidak anda guna?

Sebaik-baiknya, batalkan atau minimumkan langganan anda dan gunakan lebihan wang untuk dimasukkan ke dalam tabung kecemasan. lagi berfaedah, kan?

6. Merokok

Sekotak rokok berharga RM15-RM20 bergantung kepada jenis dan jenamanya. Jika setahun anda telah membelanjakan ribuan ringgit untuk perkara sia-sia dan menyebabkan masalah kesihatan seperti kanser paru-paru.

Apa tunggu lagi? Berhenti merokok kerana ia bukan sahaja menyihatkan tetapi menjimatkan.

7. Makan luar

Sudah menjadi kebiasaan kita lebih gemar makan tengah hari di restoran berbanding membawa bekalan dari rumah. Dalam situasi sekarang, apa kata ubah cara itu dengan mula membawa bekalan agar wang anda lebih jimat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain