suria

Ayam Cemani, Kentang La Bonnotte antara 8 makanan termahal dunia... anda mungkin ternganga lihat harganya!

Ayam Cemani boleh ditemui di Indonesia dan berharga AS$400 (RM1,600) setiap ekor.

SEPINGGAN stik di restoran mewah yang berharga RM150 barangkali sudah cukup mahal bagi kita, itu pun dimakan sekali-sekala bagi memanjakan diri.

Tetapi sebenarnya terdapat banyak lagi makanan lain yang harganya boleh mencecah puluhan ribu ringgit dan membuatkan kita hanya mampu ternganga.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketahui 8 perkara pelik yang anda hanya akan temui di Korea Selatan!

Apakah makanan mahal tersebut dan sebab harganya mahal?

1. Cendawan Matsutake

Harga: AS$55 (RM220) untuk setiap 450 gram

Cendawan termahal di dunia, matsutake banyak ditemui di Amerika Utara, Korea Selatan, Kanada, Finland dan Sweden tetapi kebanyakannya dieskport ke Jepun kerana mendapat permintaan tinggi.

Matsutake mempunyai kepentingan dalam budaya di Jepun, ia melambangkan kesuburan dan kebahagiaan. Makanan simbolik lain yang terkenal termasuklah sashimi daging kuda (kekuatan) dan kantung sperma ikan kod (kejantanan).

2. Kentang La Bonnotte

Harga: AS$300 (RM1,200) untuk setiap 450 gram

Nampak sama dengan kentang biasa tetapi kentang ini berbeza kerana ia hanya tumbuh di pantai barat Perancis.

Kulitnya lebih cerah dan berasa masin kesan daripada resapan air laut ke dalam tanah dan isinya pula rasa seperti kacang badam yang cukup berlemak selain kaya dengan kanji, fiber, potassium dan vitamin C.

Harganya memang boleh buat kita pengsan tetapi jika anda ingin merasai keenakan kentang La Bonotte, boleh cuba kentang merah atau ungu dan merendamnya dalam air garam.

3. Ayam Cemani

Harga: AS$400 (RM1,600) untuk seekor

Ayam Cemani boleh ditemui di Indonesia dan ia mungkin membuatkan anda kagum kerana daging, paruh, bulu dan kulitnya berwarna hitam berkilat kecuali telurnya.

Ia mungkin tidak begitu terkenal di seluruh dunia tetapi banyak diburu di Indonesia kerana dipercayai mempunyai elemen mistik dan mampu menyembuhkan penyakit menggunakan darahnya.

4. Kopi Black Ivory

Harga: AS$1,000 (RM4,000) untuk setiap 450 gram

Anda mungkin pernah dengar mengenai kopi luwak yang diperoleh daripada najis musang kelapa atau 'luwak. Luwak akan makan biji kopi dan menghadamnya sebelum mengeluarkannya semula dalam bentuk najis.

Kopi Black Ivory mempunyai konsep sama tetapi daripada haiwan lain - tahi gajah. Semasa proses pencernaan, enzim memecah bahan kimia yang menyebabkan kepahitan pada biji kopi, menghasilkan rasa lebih lembut dan kurang berasid.

5. Daging Kobe

Harga: AS$1,475 (RM5,900) untuk setiap dua kilogram

Rasa daging lembu yang kuat dan kelembutannya dalam setiap potongan menjadikan ia pilihan eksklusif penggemarnya.

Daging lembu kobe harus mematuhi kriteria tertentu. Paling utama, ia mesti mendapat skor antara 10 dan 12 pada skala marbling Jepun dan 100 peratus lembu Tajima yang dilahirkan di Prefektur Hyogo, Jepun.

Di Amerika, hanya terdapat sembilan restoran yang menyajikan daging lembu kobe yang sebenar.

6. Tembikai Hitam Densuke

Harga: AS$6,100 (RM24,400) sebiji

Ia pernah dijual pada harga AS$8,000 (RM32,000) sebiji pada 2011. Apa istimewanya buah ini selain daripada warnanya?

Densuke dikatakan mempunyai isi yang lebih rangup, berjus dan manis berbanding tembikai biasa.

7. Anggur Ruby Roman

Harga: AS$11,000 (RM44,000) untuk setiap ikat

Siapa yang sanggup membayar RM44,000 hanya semata-mata untuk makan seikat anggur? Kita mungkin tak sanggup tetapi pembeli buah-buahan premium, Takamaru Konishi adalah pelanggan tetap.

Anggur itu sebesar bola ping-pong dikatakan lebih manis dan rangup. Di Jepun, ia cukup terkenal dan menjadi rebutan dalam kalangan penggemar buah-buahan premium.

Takamaru biasanya akan membeli buah tersebut dan memberi peluang kepada pelanggan untuk merasai keenakannya secara percuma.

8. Yubari King Melon

Harga: AS$12,000 (RM48,000) sebiji

Harganya cukup mahal kerana hanya boleh diperolehi di Pulau Hokkaido, Jepun. Ia cukup digemari kerana rasanya yang cukup enak dan berlemak.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain