suria

Bisnes ayam panggang menjadi! Tiba masa 2 abang gemuk bantu tambah rezeki orang lain

Bob membuka francais untuk memberi peluang menambah pendapatan kepada orang lain.

TIDAK kira pangkat atau pekerjaan, tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) sejak Mac lalu memberi kesan terhadap pendapatan kepada kita semua.

Rata-rata terkesan daripada segi pendapatan sejak pelaksanaan PKP berikutan penularan pandemik Covid-19.

Sektor pelancongan antara yang turut terkesan sehingga ada segelintir pekerja yang terpaksa direhatkan kerana tidak boleh beroperasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka pemuda yang pernah cari rezeki di tempat buang sampah mampu bangkit dan kini bergelar ahli geobiologi - "Seumur hidup terhutang budi..."

Antaranya Khairul Azhar atau dikenali Bob yang mengakui sumber pendapatannya 'mati' akibat tidak boleh bekerja.

Malah kita semua amat yakin situasi yang dialami itu bukan kepada Bob seorang, malahan ramai lagi yang 'terjatuh'.



Ayam dipanggang menggunakan kayu arang yang dibeli khas dari Kuala Sepetang.

Bagi Bob yang sebelum ini bekerja sebagai pengurus, dia perlu bangkit kerana tidak boleh terus merintih kesedihan memandangkan 'banyak mulut' yang perlu dijaga.

Timbul idea berniaga

Bob memberitahu, dia tidak boleh 'duduk diam' dan menunggu rezeki tiba dengan sendiri.

"Satu hari saya ada lepak dengan teman serumah ketika bujang dulu yang kini sudah bergelar cef (Nur Muhammad).

"Sambil berborak-borak timbul idea untuk menjual ayam panggang. Kami terus buat penyelidikan lokasi dan di area sini (Bandar Tasik Selatan) rupanya tidak ada ayam panggang dijual seperti resepi yang kami rancangkan



Bob (kanan) dan Along bersama pelanggannya, Amrand dari kumpulan nasyid Raihan (tengah).

"Tanpa berfikir panjang saya dan kawan cef ini atau Along terus cuba menjual ayam panggang yang dibakar menggunakan arang.

"Alhamdulillah pada hari pertama, 20 ekor ayam habis dijual," katanya kepada mStar.

Bantu orang lain

Menurut Bob, sehingga hari ini, ayam panggang yang digelar 'Ayam Panggang Dua Abang Gemuk' kini sudah dikenali ramai.

"Setiap hari kami sediakan lebih kurang 50 ekor ayam dan ia habis dijual. Syukur dengan rezeki ini.

"Chef Along 'master' dalam menyiapkan rempah istimewa untuk memerap ayam ini dan setiap hidangan dilengkapkan bersama sos lada hitam dan coslow. Lebih kelainan, ia dibakar menggunakan arang yang ditempah khas dari Kuala Sepetang memandangkan arang-arang lain tidak tidak sesuai dengan ayam panggang ini.

"Saya cuba idea menggunakan Apollo Stove ini daripada konsep BBQ Taiwan Street.



Ayam panggang 2 Abang Gemuk kini makin dikenali.

"Memandangkan perniagaan semakin baik, kami kini dalam proses membuka francais khas untuk orang-orang yang tidak mempunyai kerja dan mahu mendapat pendapatan lebih.

"Saya faham pada masa sekarang amat susah untuk mencari pekerjaan dan mengambil keadaan itu, kami bersedia membantu," jelasnya yang kini beberapa orang sudah menghubungi untuk membuka francais itu.

Jangan putus asa

Bagi Bob, setiap masalah ada jalannya sendiri dan jangan mudah berputus asa.

"Jangan malu dan perlu yakin dengan usaha yang kita buat. Kalau kita terus duduk termenung, tidak ada sesiapa yang datang bantu.

"Kita perlu bantu diri kita dulu dan selepas itu bantu orang lain," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain