suria

Siapa sangka pemuda yang pernah cari rezeki di tempat buang sampah mampu bangkit dan kini bergelar ahli geobiologi - "Seumur hidup terhutang budi..."

Kasdi melanjutkan pengajiannya di Universiti of Colorado Boulder.

MENJEJAK kembali liku-liku kehidupan semasa kecil yang dihimpit kemiskinan dan hari-hari yang dihabiskan menemani orang tuanya mencari rezeki di tempat pembuangan sampah, sememangnya semuanya itu memberi pengajaran besar buat Kasdi Nata Sujono.

Ayahnya, Sujono Suhanda, 65, bekerja sebagai buruh di sebuah ladang ayam sementara ibunya, Faimah Abdullah, suri rumah.

Sedar akan keperitan hidup keluarganya, Kasdi yang kini berusia 23 tahun tahu, satu-satunya cara untuk mengeluarkan keluarganya dari kepompong kemiskinan ialah untuk cemerlang dalam bidang pelajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Tinggal kerjaya dalam bidang minyak dan gas di KL, Pak Teh balik kampung jadi tukang besi di pesisir Sungai Pahang

"Hidup kami amat susah. Ayah dan emak akan keluar ke tempat pembuangan sampah, mencari kerusi patah dan apa sahaja yang boleh dibaiki dan dijual.

"Saya pula mencari barang-barang permainan untuk bermain kerana emak dan ayah tak mampu untuk membelikan saya barang permainan yang baharu," kongsi Kasdi yang mempunyai empat beradik.

Belajar bertemankan lilin dan lampu suluh

Hasil kecemerlangan dalam bidang akademik membolehkan dia memperolehi biasasiwa di bawah Program Tajaan Pendidikan Petronas (PESP).



Kasdi tidak pernah berputus ada untuk mengubah hidup keluarganya. Foto: Bernama

Dengan biasiswa itu, anak kelahiran sebuah kampung di Balai Ringin, Serian yang terletak kira-kira 100 kilometer dari bandar Kuching ini melanjutkan pengajian dalam bidang geologi di Amerika Syarikat.

Kasdi yang telah menamatkan pengajiannya di University of Colorado Boulder, Amerika Syarikat kira-kira tujuh bulan lalu, kini menyandang jawatan Eksekutif Model Operasi di Unit Digital Perniagaan Petronas di Kuala Lumpur.

Dengan pekerjaan yang disandang Kasdi sekarang, ditambah dengan dua abangnya juga sudah bekerja, kehidupan keluarganya sudah jauh berbeza berbanding semasa mereka kecil.

Namun, perjalanan kehidupan Kasdi untuk sampai kepada tahap kehidupan sekarang, bukanlah mudah.

Menurut Kasdi, kepayahan hidup keluarganya mendorong dia untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga larut malam bertemankan cahaya api lilin atau lampu suluh, kerana rumah keluarganya tidak mempunyai bekalan elektrik mahupun air bersih.

Di sebalik kehidupan yang serba-serbi kekurangan, rumah yang sempit, yang didiami bersama emak dan ayahnya serta empat beradik yang lain, dua lelaki dan dua perempuan, Kasdi cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperolehi A untuk semua mata pelajaran.

Kasdi kemudiannya menerima tawaran untuk persekolahan menengah di Sekolah Menengah Sains Kuching tetapi ibunya memujuk beliau supaya menolak tawaran tersebut kerana bimbang anaknya akan menjadi mangsa buli kerana tubuhnya yang kecil.

Untuk mengambil hati ibunya, Kasdi meneruskan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Ringin dan mendapat biasiswa kerajaan untuk menampung perbelanjaan sekolah.

Malahan, dia turut bekerja di kedai koperasi sekolah sebagai juruwang sambilan untuk mencari wang tambahan.

"Saya bekerja sambilan dengan satu matlamat untuk menyimpan wang untuk masa depan saya, kerana menjadi impian saya untuk memberi kehidupan yang lebih baik untuk keluarga saya," kata Kasdi yang juga gemar membaca, terapi dirinya untuk melupakan keperitan hidupnya.

Kasdi sekali lagi menunjukkan kecemerlangan apabila memperolehi 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Masalah kewangan meruncing

Pada tahun 2013, dia ditawarkan tempat dalam Kolej elit PERMATApintar di Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor yang kini dikenali sebagai Genius@Pintar Centre.

Bagaimanapun, ada kekangan kerana Kasdi tidak ditawarkan biasiswa untuk belajar di kolej itu.

"Saya pergi juga dengan menggunakan simpanan wang biasiswa yang saya dapat sebelum itu. Saya gunakan RM350 daripada simpanan untuk tiket penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur.



Kasdi (kanan) kini menyandang jawatan Eksekutif Model Operasi di Unit Digital Perniagaan Petronas di Kuala Lumpur. Foto: Bernama

"Saya perlu membayar RM1,000 untuk yuran sekolah. Memandangkan saya tidak mempunyai wang yang mencukupi, saya merayu kepada pihak kolej untuk menangguhkan bayaran tersebut," katanya.

Masalah kewangan Kasdi meruncing apabila ayahnya ditimpa kemalangan dan terpaksa berhenti kerja kerana kecederaan pada kaki yang menyukarkan untuk beliau berjalan.

"Emak terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk menyara kehidupan keluarga kami. Salah seorang kakak saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ayah yang sakit.

"Keluarga saya tidak mampu lagi untuk mengirimkan wang kepada saya kerana hidup mereka pun bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sesekali kakak saya yang seorang lagi, masa itu guru pelatih, akan mengirim RM50 untuk saya daripada elaun bulanan yang tidaklah seberapa untuk membantu saya," tambah Kasdi.

Di sebalik masalah kewangan yang dihadapinya, anak muda ini tidak pernah berhasrat berhenti belajar dan pulang ke kampung halaman.

"Saya bernasib baik kerana sewaktu saya di tahun dua di Kolej PERMATAPintar, salah seorang guru saya membantu memohon bantuan wang zakat dari UKM. Wang yang saya perolehi membantu saya membayar yuran tuisyen," katanya.

Semasa cuti semester, Kasdi tinggal di kolej kerana tidak mampu untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Sarawak.

"Apabila guru dan kawan-kawan saya dapat tahu keadaan saya ini, ada beberapa kali mereka membantu membiayai tiket penerbangan untuk saya balik ke Sarawak. Seumur hidup saya terhutang budi kepada mereka," tambahnya.

Ke luar negara

Berkat usaha gigihnya, Kasdi sekali lagi cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dengan mendapat 7A dan 2B. Tidak lama selepas itu, dia memperolehi biasiswa PESP untuk pengajian ijazah dalam bidang geologi di University of Colorado Boulder, Amerika Syarikat.

“Bagai mimpi menjadi kenyataan dan saya sungguh tidak menjangkakannya.

"Saya memang berminat dalam bidang geologi sejak mula belajar mata pelajaran ini dalam kelas geografi di tingkatan satu," katanya, sambil menambah, semasa belajar di Kolej PERMATAPintar, dia membuat penyelidikan mengenai perlombongan bijih besi dengan seorang profesor geologi.

Semasa belajar di University of Colorado Boulder, Kasdi tidak membazirkan masa dan bekerja secara sambilan mencuci pinggan, pembantu meja depan dan pengajar untuk mencari wang.

"Kerja yang saya lakukan ini menjadikan saya lebih matang dan dapat berdikari daripada segi kewangan. Ia juga membantu membangunkan kemahiran insani saya," katanya.

Di samping itu, Kasdi juga melakukan banyak lagi kerja sambilan termasuk penolong penyelidikan sambilan di makmal-makmal vertebrate zoology, invertebrate paleontology dan geomicrobial physiology.

Pulang dengan kepujian

Kasdi menamatkan progran ijazah empat tahun itu pada 2019 dengan memperolehi magna cum laude dalam geologi. Dia juga mengambil bidang perniagaan dan angkasa.

Sebagai salah seorang daripada sembilan pelajar kelas geologi 2019 yang lulus dengan kepujian, Kasdi berkata dia berasa amat bangga kerana di majlis konvokesyen ditempatkan di barisan hadapan yang dikhaskan untuk pelajar yang mendapat kepujian.

Kasdi juga mendapat pengiktirafan untuk penyelidikan dalam geobiology di mana dia membangunkan kaedah baru menghitung bakteria pada peringkat mikroskopik berdasarkan imej yang dibangunkan daripada Scanning Electron Microscopy.

Ditanya tentang rancangan masa hadapannya, Kasdi berharap dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran.

Dia turut berharap dapat meneruskan karier penyelidikannya atau membangunkan kariernya dengan Petronas.

"Biasiswa yang Petronas berikan kepada saya bukan sahaja membantu saya melanjutkan pengajian tetapi juga membina kemahiran kepimpinan dan menyediakan saya memasuki dunia pekerjaan menerusi pelbagai program pembangunan," kata Kasdi.

Sejak diperkenalkan pada tahun 1975 sebagi langkah membantu pembangunan modal insan negara, biasiswa PESP telah memberi manfaat kepada ribuan pelajar cemerlang seperti Kasdi. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain