suria

Tinggal kerjaya dalam bidang minyak dan gas di KL, Pak Teh balik kampung jadi tukang besi di pesisir Sungai Pahang

Wan Islahuddin Ali atau Pak Teh meneliti keris yang telah siap di bengkelnya. Foto BERNAMA

PERNAH terkena percikan api di mata ketika proses menempa besi pada awal penglibatannya sebagai tukang besi, Wan Islahuddin Ali, tidak patah semangat dan kini sudah lali demi minatnya terhadap nilai estetika pembuatan senjata tradisional Melayu terutamanya keris.

Lebih dikenali dengan nama Pak Teh dalam kalangan penduduk setempat dan berasal dari Kampung Salong, Chini, sebuah perkampungan tradisi di pesisir Sungai Pahang, dia bukanlah individu asing dalam kalangan tukang besi terutama di daerah Pekan.

Sebelum mengambil keputusan terbabit dalam seni pertukangan itu, Wan Islahuddin pernah bekerja sebagai jurukimpal hampir 10 tahun di sebuah syarikat minyak dan gas (O&G).

ARTIKEL BERKAITAN: Dari seluar bell-bottom Jamal Abdillah ke sut Muhyiddin Yassin, kenali tukang jahit VVIP ini

Seni pertukangan senjata memang diminatinya sejak kecil lagi, namun bapa kepada tiga anak ini mula serius menceburkan diri dalam bidang itu tujuh tahun lalu setelah tekad pulang dari ibu kota pada 2013 untuk berbakti menjaga ibunya di kampung halaman.

Pak Teh memotong besi untuk permulaan pembuatan senjata.

Pada mulanya dengan masa terluang, dia menghidupkan kembali minatnya dengan berguru daripada seorang pakar pembuat senjata tradisional di Kuantan, dan tidak menyangka seni berkenaan boleh bertukar kepada perniagaan komersial.

“Mempelajarinya perlu seiring dengan minat mendalam dan menuntut kesabaran yang cukup tinggi, barulah hasil kerja kita akan kemas dan sempurna,” katanya kepada Bernama.

Hasil kerjanya mendapat permintaan ramai serta mempunyai keunikan tersendiri memandangkan dia antara pembuat senjata yang masih menggunakan kaedah tradisional dalam menghasilkan senjata yang melambangkan kekuatan orang Melayu zaman dahulu kala.

Harga sebilah keris tanpa sarung dijual antara RM350 hingga RM2,000, bergantung pada jenis, besi, saiz serta ukiran seninya.



Kesabaran amat penting dalam menghasilkan sendiri senjata, terutamanya keris.

Wan Islahuddin, 41, berkata proses membuat keris melibatkan proses menempa, membentuk, mengikir, menyepuh dan mengukir pada keris, dan untuk membuat sebilah keris yang berkualiti, prosesnya memakan masa bergantung kepada saiz, keluk dan pamor.

“Minimum anggaran masa dalam dua minggu menyiapkan satu bilah keris yang mudah, tapi ada jenis keris, orang Pahang kata ‘cendeng’ (sukar dan bermasalah) kadang-kadang boleh sampai tujuh bulan nak siapkan sebilah keris sahaja.

“Senjata lain seperti pisau dan parang lebih mudah untuk dihasilkan kerana ia adalah bagi kegunaan harian, yang lazimnya memadai dengan reka bentuk asas, ” katanya, yang sedikit kabur sebelah mata gara-gara percikan api sekitar tahun 2015.

Wan Islahuddin berkata keris yang sering dihasilkannya adalah jenis keris Melayu terdiri daripada Keris Lurah, Sepukal Lurut, Tulang Bulat dan Sepukal Tulang, yang mempunyai perbezaan dari segi saiz, keluk dan pamor.



Pak Teh menempa besi untuk pembuatan keris.

Selain pembuatan keris, dia juga membuat bilah lelawi ayam, badik, pedang, kerambit serta tumbuk lada dan turut menerima tempahan dalam talian menerusi Instagram dan Facebook.

Dia mahu mewariskan seni pembuatan keris kepada generasi seterusnya agar pembuatan keris yang dipercayai telah wujud lebih 700 tahun lalu tidak ditelan zaman.

Di samping itu, dia yang masih menggunakan cara tradisional menempa besi turut memohon pihak tertentu membantunya mendapatkan mesin menempa yang dianggarkan berharga RM70,000, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan setempat.

"Memang boleh jadi sumber pendapatan, contoh dengan penambahan mesin boleh digajikan dua tiga orang membantu. Kemungkinan mereka ini boleh jadi pelapis tukang keris sebab setakat ini tukang mahir cuma ada tiga empat orang sahaja di Pahang, ” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
keris, budaya, warisan, figura, tukang besi

Artikel Lain