suria

Sedap tidur dalam kereta dengan pendingin hawa terpasang... Tapi awas nyawa terancam, kenderaan cepat rosak!

Jangan melepak dalam kereta tidak bergerak dalam tempoh lama. -Gambar hiasan

TIDUR atau sekadar duduk dalam kereta dengan pendingin hawa (aircond) terpasang memberikan keselesaan terutama dalam cuaca panas.

Namun, tabiat ini boleh mendatangkan pelbagai keburukan dan risiko yang berbahaya kepada kesihatan serta sistem kenderaan.

Kesan terhadap sistem aircond dan komponen kereta

Apabila enjin dibiarkan hidup dalam keadaan statik dengan pendingin hawa terpasang, sistem aircond terpaksa bekerja lebih keras untuk menyejukkan ruang kabin.

Jika kereta sedang bergerak, sistem ini mendapat bantuan daripada aliran udara luar yang membantu penyejukan.

Elakkan berada dalam kereta terlalu lama sekiranya tiada keperluan.

Elakkan berada dalam kereta terlalu lama sekiranya tiada keperluan. -Gambar hiasan

Sebaliknya, apabila kenderaan tidak bergerak, sistem ini hanya bergantung kepada kipas kondensor dan kipas radiator.

Situasi ini menyebabkan beberapa komponen mengalami kehausan lebih cepat, antaranya:

1. Cooling coil dan condenser - berisiko mengalami kerosakan akibat beban kerja yang tinggi.

2. Sistem hos - kurang aliran udara menyebabkan komponen ini terdedah kepada kepanasan yang berlebihan.

3. Gas pendingin hawa - boleh berkurang lebih cepat kerana sistem perlu bekerja lebih tanpa bantuan aliran udara luar.

Risiko terhadap kesihatan

Daripada aspek keselamatan, duduk terlalu lama dalam kereta dengan pendingin hawa terpasang boleh meningkatkan risiko lemas akibat pengumpulan gas karbon monoksida (CO).

Jika terdapat kebocoran pada sistem ekzos, gas ini boleh memasuki ruang kabin tanpa disedari sekali gus mendatangkan bahaya kepada pemandu dan penumpang.

Buka tingkap atau pintu sekiranya berada dalam kereta statik terlalu lama. -Gambar hiasan

Langkah pencegahan

Bagi mengurangkan risiko, anda boleh mengamalkan langkah-langkah berikut:

1. Buka sedikit tingkap bagi memastikan pengudaraan yang baik.

2. Matikan enjin jika perlu menunggu lama seperti ketika menanti anak pulang dari sekolah.

3. Elakkan duduk dalam kereta dalam ruang tertutup seperti di dalam garaj dengan enjin masih hidup.

Gunakan pendingin hawa secara berkala dan elakkan berada di dalam kenderaan yang statik (tidak bergerak) untuk tempoh terlalu lama.

Kesimpulannya, walaupun berasa selesa namun tabiat ini perlu dikawal agar tidak memudaratkan diri sendiri dan kenderaan.

Artikel Lain