HAKIKAT yang perlu diterima ialah generasi yang lahir di era 80an kelihatan lebih muda berbanding anak-anak tahun 90an. Apa sebenarnya faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku? Menurut Public Health Malaysia, terdapat lima punca yang menjadi alasan kepada 'fenomena' ini. 1. Gaya hidup aktif dan pasif Jika kita imbas kembali zaman kanak-kanak generasi 80an, waktu selepas sekolah biasanya dihabiskan dengan bermain di luar rumah seperti aktiviti berkejaran, panjat pokok atau main basikal keliling kampung. Sebaliknya, generasi 90an membesar dengan teknologi seperti permainan video PlayStation, komputer dan kemudiannya media sosial menjadi hiburan utama. Kurang pergerakan menyebabkan metabolisme perlahan, badan lebih cepat letih dan akhirnya, wajah lebih cepat kelihatan berusia. Pengambilan gula boleh merosakkan kolagen kulit menyebabkan kelihatan kusam. 2. Pemakanan: Lauk panas dan makanan segera Dulu, makanan di rumah lebih kepada lauk-pauk yang dimasak panas disertakan dengan air suam. Namun, trend pemakanan kini lebih menjurus kepada makanan segera dan minuman manis (kandungan gula tinggi). Pengambilan gula berlebihan serta makanan diproses boleh merosakkan kolagen, menyebabkan kulit kusam dan berat badan mudah naik. 3. Tekanan hidup seawal usia muda Generasi 90an juga lebih terdedah kepada tekanan hidup pada usia 25 tahun apabila kebanyakan mereka sudah memikirkan soal kerja, kahwin, memiliki rumah sendiri dan kestabilan kewangan. Tekanan hidup ini meningkatkan hormon kortisol dalam badan dan memberi kesan negatif kepada kulit menyebabkan jerawat muncul, rambut mudah gugur dan wajah tampak letih serta lesu. Mengubah gaya hidup lebih sihat membantu kita tampak muda. 4. Kualiti tidur yang berbeza Tidur mencukupi penting dalam mengekalkan awet muda kerana generasi 80an terbiasa tidur awal kerana siaran televisyen pun tamat pada tengah malam. Kini, dengan adanya aplikasi Netflix, TikTok dan media sosial lain, ramai yang tidur lewat kerana asyik menonton atau scroll skrin sehingga larut malam. Kekurangan tidur menghalang proses pembaikan sel kulit, menyebabkan lingkaran hitam bawah mata dan wajah tampak tidak bermaya. 5. Pencemaran dan kurangnya udara segar Dahulu, kanak-kanak banyak menghabiskan masa di luar rumah dengan menghirup udara segar. Kini, kebanyakan masa dihabiskan dalam bilik berhawa dingin menyebabkan pendedahan kepada udara yang kurang berkualiti menyebabkan kulit lebih cepat kering dan kusam. Susulan itu timbul tanda tanya sama ada boleh atau tidak kita kembalikan keremajaan dalam diri? Jawapannya, mestilah boleh dengan cara perubahan gaya hidup seperti kurangkan pengambilan gula, lebihkan aktiviti fizikal, tidur dengan cukup dan elakkan tekanan berlebihan. Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa awet muda bukan semata-mata soal usia, tetapi lebih kepada bagaimana kita menjaga diri dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.