suria

Mahu maklumat tepat kesihatan reproduktif dan seksual? Jom sembang-sembang dengan ANA

Golongan muda boleh mendapatkan maklumat yang tepat mengenai hak dan kesihatan reproduktif seksual menerusi Chatbot ANA.

ISU berkaitan seksual bukanlah perkara baharu, namun masih ada masyarakat terutama anak muda tidak mendapat maklumat yang tepat mengenainya.

Menyedari perkara itu, Persekutuan Persatuan Kesihatan Reproduktif Malaysia (FRHAM), pasukan kewartanan penyiasatan dan berimpak R.AGE dan Unicef melancarkan ANA, sebuah chatbot di platform WhatsApp untuk golongan muda mendapatkan maklumat yang tepat mengenai hak dan kesihatan reproduktif dan seksual.

Ia bersempena kempen 'Chup! Jom Sembang Seks' yang dilancarkan pada Rabu.

Chatbot ANA boleh menjawab 260 soalan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Topik perbincangan di dalam ANA merangkumi Pendidikan Kesihatan Reproduktif Seksual, Persetujuan, Penderaan Kanak-Kanak dan Seksual, Seksualiti dan Identiti Jantina, Kehamilan Remaja dan Pengantunan Seksual.

Chatbot ini turut berkongsi cara-cara untuk membuat laporan polis dan menghubungkan mangsa ke talian bantuan yang berkaitan seperti Talian Kasih dan Befrienders.

chatbot ana 2

Kempen 'Chup! Jom Sembang Seks'.

Wakil Unicef di Malaysia dan Wakil Khas ke Negara Brunei Darussalam, Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata, golongan muda menggesa supaya keganasan seksual dapat dihentikan.

"Kita perlu memperkasakan golongan ini dengan pengetahuan dan kelengkapan yang dapat melindungi kesihatan, kesejahteraan dan maruah mereka.

"Ini adalah tanggungjawab kita untuk mencari pendekatan lain dalam mendekati anak-anak ini, secara bersemuka dan maya, dengan pendidikan seksualiti yang komprehensif berkualiti tinggi agar tiada siapa yang ketinggalan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif (FRHAM), Nora Murat berkata, pendidikan seksualiti komprehensif memainkan peranan utama untuk memastikan golongan muda boleh berdepan risiko dan agar mereka bersedia menjalani kehidupan yang selamat dan produktif.

"FRHAM sedar mengenai kekurangan maklumat reproduktif dan seksualiti yang tepat, yang tidak berat sebelah dan yang bersangka baik, sama ada dalam atau luar talian.

"Dalam dunia moden kini, teknologi digital menjadi salah satu sumber maklumat mengenai seksualiti walaupun maklumat tersebut tidak tepat. FRHAM akan menjadi sumber maklumat tepat yang diperlukan," ujarnya.

chatbot ana 3

Ciri dan kemudahan dalam Chatbot ANA.

Pendidikan kesihatan dan hak reproduktif seksual adalah komponen utama dalam menangani masalah sosial, termasuk kehamilan remaja, pembuangan bayi dan perkahwinan awal.

Chatbot ANA merupakan instrumen yang akan memastikan remaja perempuan dan lelaki mendapat akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif seksual.

'National Strategy Plan in Handling the Causes of Child Marriage' di bawah kendalian Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menekankan pendidikan seksualiti yang komprehensif sebagai faktor penyumbang untuk mengakhiri kehamilan remaja, yang dikenal pasti sebagai salah satu penyebab perkahwinan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam pada itu, Chatbot ANA menyediakan ruang yang selamat dan membantu kepada golongan muda untuk bertanya dan mendapatkan maklumat perkhidmatan dan kesihatan reproduktif.

Ia berfungsi sebagai satu platform untuk mereka berhubung dan berkongsi pengalaman, kebimbangan dan cadangan mengenai kesihatan reproduktif.

Chatbot ANA mempromosi keperluan pendidikan kesihatan reproduktif untuk usia yang bersesuaian iaitu peringkat sekolah untuk golongan muda dan kanak-kanak.

Selain itu, Chatbot ANA tidak menyimpan sebarang data dan maklumat peribadi.

chatbot ana 4

Chatbot ANA boleh menjawab 260 soalan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

ANA boleh dihubungi melalui WhatsApp di talian 03-56337514 dan di laman web FRHAM, blog Children4 Change Unicef Malaysia dan laman web R.AGE.

'Chup! Jom Sembang Seks' akan merangkumi rangkaian 'Town Hall' maya untuk memberi peluang kepada golongan muda di seluruh negara mengenai kepentingan memahami dan melaksanakan SRHR. Ana sesuai untuk golongan muda yang berusia 13 hingga 24 tahun.

Untuk maklumat lanjut mengenai 'town hall' maya boleh layari www.facebook.com/FRHAMOfficial.

Versi pertama ANA pada 2017 merupakan chatbot berasaskan web yang berfokuskan kepada pendidikan seks, dibangunkan oleh R.AGE, Zeno dan Hyperlab selepas kejayaan kempen dokumentari "Predator in My Phone" oleh R.AGE dengan yang menyumbang kepada kelulusan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 di Parlimen.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain