suria

Tiada bukti air kelapa ubat Covid-19 tapi khasiatnya cukup banyak!

Air kelapa mungkin bukan ubat Covid-19 tetapi ia mempunyai pelbagai khasiat.

POPULARITI air kelapa sejak kebelakangan ini melonjak kerana ada dakwaan mengatakan ia mampu menjadi ubat kepada jangkitan virus Covid-19.

Bagaimanapun penyelidik menegaskan air kelapa bukan ubat Covid-19 malah sehingga kini belum ada kajian yang sahih membuktikan ia mampu bertindak sebagai ubat kepada virus itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan alpa... kanak-kanak dijangkiti Covid-19 terdedah sindrom MIS-C

Tetapi air kelapa sebenarnya mempunyai pelbagai nutrisi dan bermanfaat kepada kesihatan manusia seperti kalori (46 kalori), karbohidrat (9 gram), serat (3 gram), vitamin C (10 peratus daripada keperluan seharian) dan magnesium (15 peratus daripada keperluan seharian).

Selain itu, ia juga menyumbang 17 peratus kalium daripada keperluan seharian selain natrium sebanyak 11 peratus.

Air kelapa termasuk sebagai jenis minuman rendah kalori dan gula, namun pengambilannya juga perlu dibatas dan tidak berlebihan. Paling penting pilih air kelapa yang bersih dan tidak ditambah gula.

Kelapa

Air kelapa mempunyai vitamin C, magnesium, serat, kalori dan sebagianya yang cukup baik untuk kesihatan.

Manfaat air kelapa untuk kesihatan

Daripada pelbagai nutrisi air kelapa yang disenaraikan, terdapat beberapa manfaat kepada kesihatan termasuklah;

1. Membantu melawan radikal bebas

Radikal bebas adalah molekul tidak stabil yang dihasilkan tubuh. Penghasilan radikal bebas ini meningkat ketika tubuh mengalami tekanan atau kecederaan.

Ia boleh melonjak disebabkan tekanan oksidatif yang mampu merosakkan sel sihat dan meningkatkan risiko penyakit kronik.

Beberapa kajian terhadap haiwan juga menunjukkan, antioksidan dalam air kelapa mampu melawan radikal bebas daripada tikus yang terdedah kepada racun, mengalami kerosakan hati akibat tekanan oksidatif dan diabetes.

2. Berpotensi mengawal gula dalam darah

Kajian terhadap haiwan juga membuktikan air kelapa dapat menurunkan kadar gula dalam darah dan meningkatkan kesihatan tikus makmal dengan penyakit diabetes.

Dalam kajian tersebut, kadar hemoglobin (Hb) A1c tikus dengan penyakit diabetes yang diberi air kelapa secara rutin lebih terkawal kandungan gula dalam darahnya.

Minum Air Kelapa

Air kelapa bukan sahaja bantu mengawal gula dalam darah tetapi juga tekanan darah.

Kajian mendapati kandungan magnesium dalam air kelapa boleh meningkatkan sensitiviti insulan sehingga gula dalam darah tidak mudah melonjak.

3. Bantu mencegah masalah batu karang

Salah satu cara mencegah penyakit batu karang adalah dengan minum air yang cukup setiap hari. Namun ada kajian pada haiwan juga mendapati, air kelapa turut mampu mencegah penyakit itu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menurut kajian, air kelapa membantu mengurangkan radikal bebas sebagai respons terhadap kadar oksalat dalam air kencing. Batu karang pula boleh terbentuk ketika kalsium, oksalat dan beberapa elemen lain membentuk kristal dalam urin.

4. Berpotensi menurunkan kadar kolesterol

Kajian pada haiwan menunjukkan minum air kelapa boleh menurunkan kadar kolesterol, trigliserida dan lemak hati. Namun perlu diketahui, pemberian air kelapa pada tikus makmal adalah sebanyak 2.7 liter sehari.

5. Dapat menurunkan tekanan darah

Khasiat air kelapa yang lain adalah ia mampu membantu mengawal tekanan darah tinggi. Sebuah kajian mendapati, pesakit hipertensi yang minum air kelapa secara rutin memiliki tekanan darah lebih stabil.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain