suria

Vaksin selamat untuk ibu hamil? Ini 4 persoalan yang perlu wanita ambil tahu

Timbul persoalan sama ada ibu hamil boleh mendapatkan vaksin atau pun tidak.

KEHAMILAN adalah salah satu detik paling istimewa buat seorang wanita namun, pandemik telah membuatkan ramai ibu hamil merasakan diri mereka berada dalam situasi yang terdedah kepada bahaya.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), wanita hamil yang dijangkiti Covid-19 didapati lebih cenderung untuk mengalami komplikasi pernafasan dan memerlukan rawatan intensif.

ARTIKEL BERKAITAN: Penting untuk ibu hamil dan menyusu... Ini 5 manfaat telur yang jarang anda ketahui

Kecenderungan untuk mereka memerlukan penggunaan ventilator juga adalah tinggi. Sebuah kajian yang diterbitkan menerusi jurnal perubatan JAMA Paediatrics mendapati, wanita yang dijangkiti Covid-19 juga berisiko untuk meninggal dunia, melahirkan bayi pra-matang dan mengalami praeklampsia.

Terdapat beberapa artikel penyelidikan serupa yang mendorong pegawai kesihatan awam sedunia untuk mengesyorkan vaksin COVID-19 kepada wanita hamil bagi melindungi mereka dan bayi yang mereka kandung.

Biarpun begitu, walaupun terdedah kepada bahaya dijangkiti, ada sesetengah wanita hamil - termasuklah mereka yang merancang untuk hamil - yang berbelah-bahagi apabila berhadapan dengan persoalan tentang keperluan untuk divaksin.



Jika seseorang wanita hamil dijangkiti Covid-19 semasa kandungan mencecah trimester ketiga, risiko kematian juga sangat tinggi.

Mereka was-was kerana tidak tahu sama ada vaksin akan mendatangkan sebarang kesan kepada tahap kesuburan, kehamilan dan akhirnya, kepada bayi mereka.

Data semasa yang ada daripada vaksin mRNA mengenai vaksinasi Covid-19 ke atas wanita hamil tidak menunjukkan sebarang isu keselamatan kepada wanita yang sudah disuntik vaksin atau bayi mereka. Vaksin mRNA Covid-19 yang ada di Malaysia adalah vaksin Pfizer.

Pengarah Perubatan IMU Healthcare (IMUH) yang juga Profesor Obstetrik dan Ginekologi Fakulti Perubatan di International Medical University (IMU), Profesor Dr Nazimah Idris berkata, sekiranya seorang wanita hamil dijangkiti virus itu, terdapat kemungkinan mereka akan mengalami jangkitan lebih serius.

Malah kata Dr Nazimah, laporan turut mengatakan, jika seseorang wanita hamil dijangkiti Covid-19 semasa kandungan mencecah trimester ketiga, risiko kematian juga sangat tinggi.



Profesor Dr Nazimah Idris.

"Oleh itu, saya sangat mengesyorkan supaya anda mengambil suntikan vaksin semasa hamil, terutamanya jika anda berada dalam kumpulan berisiko tinggi.

"Ini termasuklah wanita yang berusia 35 tahun ke atas, yang mempunyai berat badan yang lebih tinggi, penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi. Sekiranya anda terdedah kepada orang ramai dalam aktiviti seharian, anda dikira sebagai golongan berisiko tinggi juga.

"Jika anda bukan dalam kategori tersebut, maka anda mempunyai pilihan untuk menangguhkan pengambilan vaksin iaitu selepas melahirkan anak dan itu bergantung kepada keputusan perbincangan penilaian risiko bersama doktor," ujarnya.

Sementara itu, Dr Nazimah turut menjawab beberapa persoalan berhubung vaksin dan wanita hamil.

1. Apakah vaksin boleh memberi kesan kepada kehamilan saya dan yang paling penting, kepada anak yang saya kandung?

Merujuk kepada kesan sampingan suntikan vaksin kepada wanita hamil, Dr Nazimah menjelaskan bahawa ia tiada bezanya dengan kesan yang dialami wanita yang tidak hamil.

"Anda akan mendapat kesan sampingan yang sama seperti wanita yang tidak hamil iaitu rasa lenguh, mual dan demam.

"Vaksin itu tidak akan menjejaskan bayi anda. Ia bukanlah satu bawaan yang boleh dipindahkan ibu kepada bayi semasa hamil. Apabila anda disuntik vaksin, ia akan memberi kesan baik kepada bayi.

"Semua vaksin berfungsi dengan cara memicu badan kita untuk menghasilkan antibodi. Antibodi ini akan dipindahkan kepada bayi dan seterusnya bayi akan mendapat juga perlindungan," katanya.

Perlu dimaklumkan bahawa antibodi yang terhasil ada di dalam susu ibu. Jadi, bayi anda mendapat kedua- dua nutrisi dan perlindungan.

Dr Nazimah menasihati mereka yang merancang untuk mendapatkan suntikan vaksin untuk berunding dengan doktor obstetrik supaya penilaian dapat dibuat terlebih dahulu.

Mereka disarankan untuk menerima vaksin semasa usia kandungan di antara minggu ke 14 hingga minggu ke 28, supaya mereka mendapat perlindungan terbaik daripada penyakit yang lebih serius semasa trimester ketiga.

Jika kandungan anda pada tahap trimester ketiga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan anda masih boleh menerima vaksin sehingga usia kandungan pada minggu ke 33.

2. Apakah garis panduan yang sama turut terpakai kepada wanita yang cuba untuk hamil?

Dr Nazimah berkata ia bergantung kepada perancangan yang teliti namun mencadangkan supaya ibu hamil melengkapkan dos vaksinasi sebelum merancang untuk mengandung.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dengan cara itu katanya, diri mereka sudah dilindungi dan sekiranya selepas dos pertama didapati hamil, para ibu tidak perlu bimbang kerana vaksin ketika trimester pertama tidak meningkatkan risiko keguguran.

"Kemampuan anda untuk hamil adalah bergantung kepada proses semula jadi kitaran hormon iaitu apabila ovari menerima isyarat dari otak. Vaksinasi Covid-19 tidak menjejaskan proses itu atau peluang untuk hamil dalam cara apa sekalipun," ujarnya.

3. Vaksin Yang Mana Sesuai Untuk Anda?

Ketika ini kata Dr Nazimah, terdapat tiga jenis vaksin di Malaysia iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca dan Pzifer diberikan kepada wanita hamil dan ibu yang menyusukan pula boleh diberikan vaksin Pfizer atau AstraZeneca.

"Pakar-pakar kesihatan sedunia mengesyorkan vaksin Pzifer untuk wanita hamil kerana banyak kajian telah dibuat ke atas mereka. Oleh itu, sudah ada data keselamatan yang membolehkan cadangan itu dibuat. Bagi dua vaksin lagi, kajian masih berjalan," jelasnya.

4. Perlukah bimbang sekiranya sudah mengambil suntikan vaksin AstraZeneca dan kemudian mendapati diri hamil?

Tidak sama sekali, kata Dr Nazimah. Ini kerana vaksin itu sendiri tidak menjejaskan kehamilan. Dunia perubatan berpengalaman luas berkaitan vaksinasi, termasuklah vaksinasi semasa kehamilan.

"Mereka ada pengetahuan mengenai bagaimana ia boleh mempengaruhi anda dan kehamilan anda. Jadi, biarpun ibu-ibu hamil menerima vaksin jenis yang lain, ia bukanlah sesuatu yang patut dibimbangi," ujarnya.

Vaksinasi adalah pilihan peribadi kata Dr Nazimah namun begitu, apabila berhadapan dengan Covid-19 dan hakikat bahawa wanita hamil diketahui mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat komplikasi berkaitan virus korona, maka isu untuk mendapatkan perlindungan secucukupnya menjadi kritikal.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain