suria

PKP bermakna duduk rumah, tapi jangan makan ikut sedap mulut... elak undang pelbagai penyakit

Penyediaan makanan seimbang amat penting bagi sesi keluarga bagi menjamin kesihatan perpanjangan.

SEJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, laman sosial seperti Facebook dan Instagram dibanjiri dengan gambar makanan bermula dari sarapan pagi, minum pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam sehinggalah ke makan tengah malam.

Lengkap jadual makan enam kali sehari! Paling tidak pun, sarapan pagi nasi lemak, makan tengah hari nasi briyani, minum petang bihun goreng dan makan malam nasi Arab.

Cukup bersemangat golongan ibu tidak kiralah sama ada suri rumah atau wanita bekerjaya yang diberi pelepasan untuk bekerja dari rumah oleh majikan, memanfaatkan peluang keemasan untuk memasak makanan kegemaran keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Kekuatan mental penting ketika hadapi Covid-19, paling utama jangan panik!

Makanan seimbang

Pemilihan pola pemakanan seimbang perlu diberi perhatian.

Ketua Program Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Roslee Rajikan berkata setiap masyarakat perlu mengamalkan pola pemakanan seimbang di samping tidak meninggalkan aktiviti bersenam meskipun perlu mengehadkan pergerakan dan hanya berada di rumah.

“Diet yang baik adalah penting untuk kesihatan. Meskipun ketika ini kebanyakan kita duduk di rumah, sentiasalah pelbagaikan nutrisi dalam setiap pengambilan makanan. Pastikan makanan tertentu diambil pada kadar yang sesuai bagi memastikan diet yang seimbang serta mencegah risiko penyakit.

“Yang menjadi kebimbangan ialah ketika kita mahu mencegah penularan wabak Covid-19, penyakit lain pula yang datang disebabkan keghairahan memasak dan memakan apa sahaja jenis makanan. Pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak dan gula serta makan tidak mengikut jadual boleh membawa kemudaratan kepada kesihatan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut Roslee berkata ibu khususnya boleh mengutamakan makanan dari sumber kabohidrat khususnya bijirin penuh dan sumber protein seperti telur, ikan, ayam dan daging yang kurang bahagian berlemak dan kulit.

Selain itu, pengambilan pelbagai jenis dan warna buah-buahan dan sayur-sayuran juga akan memberikan sumber vitamin, mineral dan serat kepada tubuh badan.

Pilih jenis sayuran atau buahan yang mempunyai khasiat baik untuk kesihatan.

“Jangan lupa masukkan sayur dalam hidangan yang dimasak kerana ia secara tidak langsung menggalakkan ahli keluarga untuk makan sayur lebih-lebih lagi anak-anak. Buah-buahan pula boleh dipotong dan disimpan di dalam peti sejuk supaya anak-anak mudah mengambilnya.

“Kaedah memasak perlu dipelbagaikan walaupun kebanyakan kita gemar makanan bergoreng. Penggunaan minyak, lemak, santan dan gula perlu dikurangkan kerana ia tinggi kalori selain bahan perasa juga wajar dihadkan dalam masakan.

“Pengambilan pencuci mulut seperti kek, kuih-muih dan pelbagai jenis minuman manis perlu dikawal termasuk bagi mengelak kenaikan berat badan lebih-lebih lagi dalam tempoh pergerakan yang agak terbatas ketika ini,” katanya sambil menambah bijirin, susu dan produk tenusu juga dapat membekalkan tenaga dan kalsium yang diperlukan tubuh badan.

Makanan dalam tin

Makanan dalam tin mengandungi kandungan gula dan garam yang tinggi.

Menyentuh mengenai makanan segera dan makanan dalam tin, Roslee berkata ia kebiasaannya mengandungi kandungan gula dan garam yang tinggi kerana bertindak sebagai pengawet bagi mengekalkan jangka hayat makanan.

Mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti hipertensi dan diabetes perlu berhati-hati sekiranya ingin mengambil makanan dalam kategori ini.

Menurut beliau, lebih baik sekiranya memasak makanan daripada bahan-bahan mentah dan segar kerana seseorang sedia maklum jenis dan jumlah bahan ramuan yang dimasukkan.

“Dalam tempoh PKP ini kebanyakan rumah mungkin sudah menyediakan stok makanan segera dan makanan dalam tin yang banyak. Ini termasuklah sewaktu pembelian panik berikutan situasi semasa Covid-19.

“Duduk di rumah mungkin akan membuatkan kita sentiasa berasa lapar tambahan pula makanan ada di depan mata. Jadi kawallah, janganlah sekejap-sekejap buat mi segera, makan makanan dalam tin atau makanan diproses yang lain. Jika mahu juga makan, mungkin kita boleh mengubah suai hidangan dengan mengurangkan perasa atau cecair di dalamnya serta menambah sayuran atau sumber protein seperti telur.

“Bekerja dari rumah tidak bermakna seseorang mempunyai lebih banyak masa untuk memasak dan makan kerana tanggungjawab mungkin bertambah untuk menjaga dan mengurus anak-anak di samping tugas hakiki yang diberikan oleh majikan, ” katanya sambil menambah pengambilan air secukupnya amat penting bagi mengelak dehidrasi selain strok haba berikutan musim panas ketika ini.

Perlu bersenam

Bekerja dari rumah dan berada dalam kawasan yang terhad juga memerlukan seseorang menjadi lebih kreatif melakukan aktiviti riadah atau senaman.

Berjalan kaki, berkebun dan membersih kawasan rumah boleh dianggap sebagai senaman ringan selain dapat mengeluarkan peluh dan membantu perjalanan darah.

“Senamrobik atau pergerakan yang tidak memerlukan peralatan seperti squats, burpees, sit up, plank, push-up boleh dilakukan bersama anak-anak dan keluarga. Ia secara tidak langsung turut mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan memberi lebih keseronokan.

“Apabila rehat seketika (bekerja dari rumah), berpindahlah ke ruang lain untuk meningkatkan pergerakan. Amalkan regangan dan diselang-selikan dengan berdiri berbanding hanya duduk di satu tempat sahaja.

Senaman ringan juga penting dilakukan sepanjang tempoh berada di rumah bagi melancarkan pergerakan darah.

“Lakukan beberapa latihan asas dan senaman ringan yang mudah. Penggunaan aplikasi yang dapat mengukur jumlah pergerakan dalam sehari juga dapat membantu memantau tahap kecergasan badan,” katanya.

Duduk rumah bukan berkurung

Roslee pada masa sama turut mengingatkan bahawa duduk di rumah bukanlah bermaksud hanya berkurung di dalam rumah kerana tindakan itu katanya dibimbangi turut berisiko menjejaskan kesihatan.

“Perlu juga untuk keluar ke kawasan sekitar rumah bagi mendapatkan vitamin D yang cukup dari matahari antara pukul 9 hingga 11 pagi kerana ia penting untuk tulang yang sihat.

“Perbanyakkan aktiviti untuk melawan kebosanan duduk di rumah tanpa bergantung hanya kepada makanan atau menonton televisyen.

"Manfaatkan peluang dengan membaca, memasak menu sihat, bermain board game, bersukan, aktiviti kerohanian dan kesenian serta membuat video dan mengajar anak-anak serta sentiasalah berhubung dengan ahli keluarga dan rakan sekerja.

“Pengurusan tekanan termasuk mendapat tidur yang cukup juga penting lebih-lebih lagi bagi menangani tahap kerisauan melampau segelintir individu berhubung penularan Covid-19. Pastikan waktu makan, tidur dan bangun sama seperti hari bekerja bagi mengelak kelesuan atau ‘kejutan’ pada kesihatan tubuh badan,” katanya.

Artikel Lain