suria

Jangan ambil mudah bahaya jerebu, ikuti 10 tip ini elak masalah kesihatan

Kualiti udara yang teruk boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada manusia.

SEJAK awal minggu ini keadaan jerebu di negara ini agak membimbangkan, malah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di enam kawasan di Selangor menunjukkan tahap tidak sihat setakat pukul 7 pagi Rabu.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di Shah Alam adalah 133, Klang (121), Banting (120), Johan Setia, Klang (158), Petaling Jaya (135) dan Kuala Selangor (106).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Keadaan ini dijangka mungkin berterusan memandangkan masih terdapat bilangan titik panas (hotspot) di Indonesia seperti dipaparkan di laman web Asean Specialised Meterorological Centre (ASMC).

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya peka dengan tahap kualiti udara di kawasan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan termasuk;

1. Elakkan aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

2. Oleh itu selari dengan saranan di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, penganjuran melibatkan aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihatkan supaya ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100.

3. Banyakkan berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

4. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

6. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan

7. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya lapan gelas sehari).

8. Jika mampu pasanglah alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar, dan

9. Sentiasa awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana mereka lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

10. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.

Artikel Lain