suria

Selain serai, 5 tumbuhan ini mampu halau nyamuk di rumah anda

Basil, lavender dan Catnip (Kucing Galak) antara pokok mempunyai aroma yang tidak disukai oleh nyamuk.

NYAMUK mungkin serangga kecil tetapi ia sangat berbahaya kerana mampu menyebabkan pelbagai penyakit seperti malaria dan denggi.

Malah pada tahun ini sahaja, jumlah kes demam denggi di Malaysia menunjukkan peningkatan lebih 86 peratus kepada 71,151 kes dalam tempoh enam bulan.

Negeri Selangor pula mencatatkan jumlah tertinggi dengan 45,423 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 9,168 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahu cantik secara semulajadi? Amalkan 8 makanan ini untuk kulit kekal sihat dan menawan

Selain menjaga kebersihan di kawasan rumah seperti tidak membiarkan air bertakung, menggunakan penyembur nyamuk terdapat beberapa cara lain untuk menghalau serangga pembunuh ini termasuk menaman lima tumbuhan ini di rumah anda.

1. Basil

Tidak hanya digunakan untuk tujuan memasak, daun basil juga mampu melindungi anda daripada gigitan nyamuk. Ini kerana aroma daunnya yang menyengat membuatkan nyamuk tidak berani untuk mendekatinya.

Malah terdapat kajian oleh Malaria Journal pada 2011 mendapati, minyak yang diperbuat daripada daun basil memberikan perlindungan nyamuk sehingga 100 peratus.

2. Lemon Balm

Tanaman ini berasal daripada keluarga pokok pudina namun mempunyai aroma lemon yang segar. Tidak seperti manusia, nyamuk cukup tidak suka dengan baunya.

Atas sebab itu, adalah sangat baik jika anda tanam pokok ini di halaman rumah anda.

3. Catnip

Pokok Catnip sangat digemari oleh kucing namun ditakuti oleh nyamuk. Menurut kajian, pokok ini menghasilkan minyak yang dipanggil nepetalactone yang dikatakan lebih efektif daripada racun serangga.

4. Serai

Dalam banyak-banyak pokok yang disenaraikan, serai paling mudah didapati malah ia antara bahan kegunaan seharian dalam masakan.

Tidak hanya itu, pelbagai produk berasaskan serai juga banyak dihasilkan termasuk sebagai penghalau nyamuk.

Kajian dilakukan oleh sekumpulan pengkaji di Universiti of New Mexico, Amerika Syarikat mendapati serai bukan sahaja dapat menghalau nyamuk malah membunuh larva nyamuk.

5. Lavender

Mungkin agak sukar untuk menanam pokok lavender di negara seperti Malaysia namun baunya cukup tidak digemari oleh nyamuk.

Pokok ini mengandungi dua zat iaitu linalool dan lynalyl asetat yang sudah cukup membuatkan nyamuk lari. Atas sebab itu ramai yang meletakkan pokok ini di tingkap atau pintu bagi menghalang nyamuk masuk ke dalam rumah.

Lemon Balm, Serai, Lavender, Nyamuk, Denggi

Artikel Lain