suria

Azan Subuh berkumandang ketika bersahur... bolehkah habiskan makanan di tangan?

Bersahur mempunyai banyak keberkatan.

ADA sebahagian pihak mengatakan, jika azan Subuh berkumandang ketika sedang bersahur, maka kita boleh menghabiskan makanan atau minuman yang masih ada di tangan.

Pandangan ini biasanya disandarkan kepada hadis Nabi, (maksudnya): “Apabila seorang daripada kamu mendengar azan, sedangkan bekas makanan masih berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkan bekas tersebut sehingga dia menyelesaikan hajatnya (menghabiskan makanan) dari bekas tersebut.” [Riwayat Abu Daud]

ARTIKEL BERKAITAN: Puasa qada di hari Syak... adakah dibolehkan dalam Islam?

Namun begitu, kita harus fahami bahawa pandangan ini adalah bercanggah dengan pandangan para ilmuan mazhab Syafie.

Malah kita bukan sahaja dilarang untuk menghabiskan makanan yang masih ada di tangan, bahkan sekiranya azan Subuh telah berkumandang dan masih ada makanan di dalam mulut, kita dilarang untuk menelan makanan tersebut dan wajib mengeluarkannya dari mulut.

Hal ini sebagaimana disebut oleh Imam al-Khatib al-Syirbini dalam buku Mughni al-Muhtaj, (maksudnya): “Jika telah terbit fajar sadiq (masuk waktu Subuh) dan masih ada makanan di dalam mulut orang yang berpuasa, kemudian dia mengeluarkan makanan tersebut dari mulutnya, maka puasanya dikira sah..., (namun) sekiranya dia menelan sedikitpun daripada makanan tersebut dengan sengaja, maka dia dikira orang yang tidak berpuasa (puasanya tidak sah).”

906938

Adakah sah puasa jika seseorang sedang makan atau minum ketika azan Subuh berkumandang?

Hakikatnya, pandangan ini bukanlah pandangan para ilmuan mazhab Syafie sahaja, bahkan ia adalah pandangan majoriti para ilmuan Islam.

Hal ini sebagaimana disebut oleh Imam Ibnu al-Qayyim dalam buku Tahzib al-Sunan, (maksudnya): “Majoriti para ilmuan berpandangan bahawa larangan makan sahur adalah bermula setelah terbit fajar (setelah masuk waktu Subuh), dan pandangan ini adalah pandangan Imam empat mazhab...,”

Selain itu, Imam al-Nawawi juga menyebut dalam buku al-Majmu’, (maksudnya): “Kami telah nyatakan bahawa seseorang yang masih ada makanan di dalam mulutnya ketika terbit fajar (masuk waktu Subuh), maka dia perlu mengeluarkan makanan tersebut dan menyempurnakan puasanya. Sekiranya dia menelan makanan tersebut setelah dia yakin fajar telah terbit (masuk waktu subuh), maka puasanya terbatal. Tidak ada khilaf (perbezaan pendapat) dalam isu ini. Dalil bagi pandangan ini adalah hadis Nabi, (maksudnya): ‘Sesungguhnya Bilal (bin Rabah) melaungkan azan pada malam hari, maka hendaklah kalian makan dan minum sehingga Ibnu Ummi Maktum melaungkan azan.’ [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]”

Apa yang kita perlu ketahui adalah, pada zaman Nabi dahulu, azan pada waktu Subuh dilaungkan sebanyak dua kali.

Azan pertama adalah azan yang dilaungkan oleh Bilal bin Rabah sebelum keluar fajar sadiq (sebelum masuk waktu subuh).

5ea27d20be1a8

Kita wajib menahan diri daripada makan, minum dan semua perkara yang membatalkan puasa sejurus azan Subuh.

Semasa dan selepas azan pertama ini dilaungkan, para sahabat masih boleh makan dan minum. Seterusnya, azan kedua pula akan dilaungkan oleh Ibnu Ummi Maktum semasa terbit fajar sadiq (masuk waktu Subuh).

Sejurus azan kedua dilaungkan, para sahabat dilarang untuk makan dan minum serta melakukan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa.

Pandangan para ilmuan Islam yang mengatakan tidak boleh menghabiskan makanan yang masih ada di tangan setelah azan berkumandang ini juga adalah selaras dengan firman Allah, (maksudnya): “Dan makanlah serta minumlah kalian sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) daripada benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar (Subuh)...” (Surah al-Baqarah, ayat 187)

Adapun hadis Nabi yang membenarkan umatnya menghabiskan makanan yang masih ada di tangan walaupun azan telah dilaungkan, ia merujuk kepada azan pertama yang dilaungkan oleh Bilal bin Rabah, iaitu azan sebelum masuk waktu Subuh (azan ini tidak dilaungkan di kebanyakan tempat kita sekarang).

Hal ini sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Baihaqi dalam buku Sunan al-Kubra, (maksudnya): “Sabdaan Nabi ‘Apabila seorang dalam kalangan kamu mendengar azan sedangkan bekas masih di tangannya...,’ adalah menceritakan azan yang pertama.”

654383

Pemakanan seimbang ketika bersahur penting untuk tenaga anak-anak sepanjang berpuasa.

Realiti yang berlaku di kebanyakan tempat di Malaysia sekarang, azan pada waktu Subuh hanya dilaungkan sebanyak sekali (tanpa menafikan ada sebahagian tempat, azan dilaungkan sebanyak dua kali). Dan azan tersebut adalah azan yang menunjukkan telah masuk waktu Subuh.

Justeru, kita wajib menahan diri daripada makan, minum dan semua perkara yang membatalkan puasa sejurus azan Subuh.

Bahkan, sekiranya masih ada makanan atau minuman di dalam mulut kita sejurus azan berkumandang, maka kita wajib mengeluarkannya dari mulut. Hal ini bagi memastikan kita tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa setelah terbit fajar (masuk waktu Subuh).

Jika tidak mendengar azan Subuh sekalipun, sekiranya telah masuk waktu Subuh di tempat kita berdasarkan takwim yang telah dikeluarkan oleh pihak berautoriti, maka wajib bagi kita untuk menahan diri daripada makan, minum dan melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.

***Mohd Farouq Nukman adalah pensyarah di Jabaran Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Univesiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain