SIAKAP stim merupakan makanan dari Thailand yang popular di Malaysia. Namun, tidak semua kedai atau premis mampu menyediakan hidangan ini dengan rasa sama atau asli seperti yang disediakan tukang masak di negara asalnya. Begitulah luahan Asa Isme yang merindui ikan siakap stim limau atau Pla Kapong Neung Manao yang dimakannya setiap malam di kedai cek mek Kelantan-Thailand ketika bercuti di Krabi, Thailand. Katanya, selepas pulang, kunjungan ke beberapa kedai yang menjual ikan siakap stim halia atau limau begitu mengecewakan apabila masakan tersebut langsung tidak sama rasanya dengan apa yang dinikmati di Krabi. Tetapi akhirnya wanita ini menjumpai resipi hidangan ini untuk dibuat sendiri di rumah yang sudi dikongsikan oleh rakannya yang berasal dari Thailand. Masakan ikan siakap stim merupakan menu popular di Thailand. Bahan-bahan: 1. Ikan siakap 2. 2 batang serai 3. 8 hingga 10 ulas bawang putih 4. 8 hingga 10 tangkai cili api 5. 2 tangkai lada besar 6. 3 batang ketumbar (cincang) 7. 3 sudu sos ikan 8. 1 sudu gula putih 9. 1/4 mangkuk kecil jus limau nipis 10. Stok ayam 11. Secubit garam dan perasa Perahan limau boleh menambahkan kesedapan masakan siakap stim. Cara penyediaan: 1. Campur kesemua bahan dalam satu bekas dan kacau sebati 2. Rebus atau kukus ikan selama 5 hingga 10 minit dalam periuk atau alatan khas pengukus. 3. Masukkan semua bahan yang dicampur tadi ke atas ikan rebus atau kukus 4. Masak selama lima minit lagi sebelum dihidangkan panas-panas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube