suria

Ubat rindu masakan klasik Melayu dengan Qatar Airways... Cef Wan saji menu istimewa, ayam percik pun ada!

Qatar Airways akan menghidangkan menu istimewa daripada Cef Wan.

JIKA ada yang bakal terbang bersama Qatar Airways dari Kuala Lumpur ke Doha, jangan terkejut jika anda bakal disajikan dengan hidangan menu tempatan yang disediakan khas oleh ikon cef selebriti terkenal iaitu Datuk Cef Wan.

Cef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat penerbangan itu dengan menyediakan sajian tempatan istimewa untuk penumpang kelas perniagaan bermula 1 Julai ini.

Kerjasama itu juga sebagai menyambut ulangtahun ke-25 Qatar Airways tahun ini dalam usaha mempelbagaikan menu di dalam penerbangan termasuk kolaborasi bersama cef selebriti di seluruh dunia.

Image 3 - Chef Wan conducts a cooking demonstration of his heritage nyonya curry laksa recipe

Cef Wan turut memasak secara langsung untuk tetamu pada sesi pengenalan menu kelas perniagaan Qatar Airways baru-baru ini.

Cef Wan ketika ditemui berkata, beliau sangat teruja dan rasa berbangga dapat bekerjasama dengan Qatar Airways yang juga antara jenama terbaik dunia dalam sektor penerbangan.

Komitmen yang ditunjukkan dalam menghidangkan makanan berkualiti kata Cef Wan tiada bandingan dan membuatkan beliau teruja dijemput untuk menyediakan menu untuk kelas perniagaan penerbangan itu.

"Kami sangat mengambil berat dalam setiap aspek untuk mempersembahkan masakan Malaysia di platform global dan saya berharap hidangan itu nanti akan memberi kenangan berharga dan ingatan berterusan tentang Malaysia.

Image 6 - Charcoal-grilled Fish Fillet with Spicy Portuguese Sauce

Ikan bakar arang dengan sos Portugis pedas yang disajikan bersama nasi lemuni, kacang bendi dan cili padi antara menu istimewa dari Cef Wan.

"Saya cukup berbangga dapat memberi penghormatan kepada masakan tradisional Malaysia dan berkongsi budaya makanan Malaysia yang sangat saya sayangi kepada pengembara antarabangsa melalui syarikat penerbangan terbaik dunia," katanya.

Menu yang ditampilkan juga bukan calang-calang kerana Cef Wan memilih masakan Melayu klasik dengan citarasa tradisional Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum check-in di KLIA, singgah dulu isi perut di tempat makan menarik sekitar Sepang

Antara hidangan istimewa air tangan cef terkenal itu termasuklah ikan bakar arang dengan sos Portugis pedas yang disajikan bersama nasi lemuni, kacang bendi dan cili padi.

Image 8 - Chicken Percik with Lemon Rice Pilaf

Ayam percik bersama nasi lemon pilaf.

Tidak hanya itu, Cef Wan turut menyediakan kuzi kambing yang dihidangkan bersama nasi ala Terengganu, kacang gajus dan acar buah.

Paling istimewa adalah resepi warisan turun-temurun keluarga Cef Wan iaitu laksa kari nyonya.

Bagi pencuci mulut, goreng pisang yang menjadi kegemaran masyarakat Malaysia bakal dihidangkan dalam penerbangan Qatar Airways tetapi dengan sentuhan luar biasanya iaitu pisang goreng karamel.

Image 5 - Nyonya Curry Laksa

Resepi turun temurun keluarga Cef Wan iaitu laksa kari nyonya turut dihidangkan.

Untuk rekod, Qatar Airways telah menjadi salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan di dunia yang kekal beroperasi sejak pandemik Covid-19 bermula pada awal 2020 dan mengekalkan perkhidmatan Kuala Lumpur ke Doha sepanjang tempoh itu.

Malah syarikat itu telah meningkatkan lagi perkongsian strategik dengan Malaysia Airlines pada Mei 2022 untuk melancarkan perkhidmatan tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Doha.

Dengan perkongsian kod ini, kedua-dua syarikat penerbangan ini kini mengendalikan sebanyak 14 penerbangan mingguan antara Kuala Lumpur dan Doha.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Qatar Airways, Cef Wan, selera, resepi,

Artikel Lain