suria

Sebelum check-in di KLIA, singgah dulu isi perut di tempat makan menarik sekitar Sepang

Pelbagai restoran menarik yang terdapat di Sepang.

KETIKA ini ramai yang ambil peluang bercuti memandangkan banyak pintu sempadan negara dibuka selepas dua tahun ditutup ekoran penularan wabak Covid-19.

Kebiasaannya, ramai yang akan bertolak awal ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi mengelakkan kelewatan.

ARTIKEL BERKAITAN: KFC perkenal polisi tukar ayam, Jimat Siang promosi serendah RM7.99 hargai pelanggan setia

Tetapi alang-alang sudah sampai awal ke daerah Sepang, mengapa tidak isi dahulu perut di beberapa buah restoran yang menghidangkan makanan enak.

Berikut adalah beberapa restoran menarik di Sepang yang boleh anda cuba sebelum ke lapangan terbang!

Restoran Taman Klasik Rumbia

1. Sarapan pagi di Restoran Taman Klasik Rumbia

Restoran Taman Klasik Rumbia menyajikan menu sarapan pagi yang luas bermula pukul 7 pagi. Pelanggan boleh memilih makanan yang dihidangkan seperti nasi goreng, nasi lemak, lauk-pauk, atau bihun sup.

Selain itu roti canai juga ada disediakan, manakala lempeng menjadi menu istimewa pada hari Jumaat.

Alamat: 286, Jalan Haji Jumani, 43900 Sepang, Selangor.

PappaGrill Sepang

2. Makan tengah hari di PappaGrill Sepang

PappaGrill ialah restoran stik paling popular di Kota Warisan Sepang. Ia menawarkan pelbagai jenis masakan barat dan tempatan (Steak, Nachos, Nasi Lemak, Fish & Chips & banyak lagi).

Terdapat juga pilihan lain seperti spaghetti, nasi goreng, dan pelbagai jenis lauk seperti kentang goreng, kentang wedges, sup cendawan, coleslaw, roti bawang putih, dan sebagainya.

Alamat: No.76, Jalan Warisan Sentral 2 KIP Sentral, Kota Warisan, 43900 Sepang, Selangor.

Karyabhara - The Hipster Cafe

3. Minum petang di Karyabhara - The Hipster Cafe

Karyabhara - The Hipster Cafe ialah kedai yang berpusat di Putrajaya. Sarapan, makan tengahari, minum petang, makan malam dan makan lewat malam semuanya tersedia di cafe ini.

Makanan tempatan, masakan barat, spaghetti, kopi, minuman campuran ais, pencuci mulut dan banyak lagi semuanya terdapat dalam menu.

Alamat: LG-05, Menara Shaftsbury Putrajaya, Jalan Alamanda, Presint 1, Putrajaya, Sepang, Selangor.

Utan Cafejpg

4. Makan malam di Utan Cafe

Utan Cafe mempunyai nilai tambah tersendiri kerana ia terletak di antara tiga padang golf yang dikelilingi pepohon hijau dan udara yang sejuk.

Bukan sahaja lokasinya agak mendamaikan untuk makan malam, malah lebih 50 menu masakan kampung disediakan, membuatkan sesiapa sahaja terliur dan rambang mata.

Pilih apa sahaja daripada masak lemak cili api dan asam pedas yang terkenal, Utan Cafe and Range turut menawarkan menu lain seperti ayam, daging salai dan itik, daging cincang, udang galah gergasi dan udang galah.

Itu belum termasuk menu hebat lain seperti sup gearbox kambing, kari kepala ikan, daging pinang masak kicap, tomyam, patin masak tempoyak, ikan siakap masak wap dan sotong bakar chiangrai.

Alamat: Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Sepang, Selangor.

HM Sri Bagan Sepang Satu

5. Supper di HM Sri Bagan Sepang Satu

Makan lewat malam sambil menikmati bayu laut yang sangat menenangkan adalah cara yang ideal untuk mengakhiri hari anda! Bunyi ombak dan angin sejuk serta-merta akan menaikkan semangat anda.

Anda boleh memilih item daripada menu a-la-carte atau daripada kumpulan menu yang banyak! Ikan talapia bakar, ikan siakap kukus, dan sambal udang petai yang sangat dipuji adalah menu wajib cuba!

Alamat: Bagan Lalang, 43950 Tanjong Sepat, Selangor.

Selain daripada tempat yang dinyatakan di atas, Selangor menawarkan banyak lagi restoran dan kafe menarik yang patut anda lawati, terutamanya pada tahun 2022.

Disebabkan Selangor merupakan destinasi pelancongan terkemuka di Malaysia, pemilihan makanan di negeri ini bukan sekadar memenuhi selera anda, tetapi juga untuk memenuhi "Pusing Selangor Dulu!" perjalanan yang pasti menarik dan kenapa tidak bermula di Sepang?

Layari laman web Tourism Selangor untuk mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke Selangor.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain