suria

40 resepi asli Minang... Ayam goreng bumbu, gulai tunjang antara menu memikat hati di Padang On Wheels

Pelbagai menu menyelerakan di Padang On Wheels. - Foto Instagram @padangonwheels

MASAKAN Padang merupakan salah satu menu istimewa Minangkabau yang cukup terkenal dengan kepelbagaian juadah dan kelazatannya malah ia cukup popular dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun untuk mencari restoran yang benar-benar menghidangkan juadah asli Padang cukup sukar apatah lagi yang mengekalkan resepi asli dan autentik.

ARTIKEL BERKAITAN: Lempiaskan kerinduan ke Bali... nikmati rasa menyengat pedas masam 'KFC Balinese Crunch'

Kesempatan merasai air tangan tiga anak muda iaitu Abjda Zulkifli, Sukinah Zulkifli dan Farrah Adeeba Mohamed Ashraf yang juga pemilik restoran Padang On Wheels yang menyediakan pelbagai menu Padang mengubat kerinduan serta selera terhadap juadah Indonesia itu.



Di Padang On Wheels terdapat lebih 40 menu asli dan autentik Padang.

Apatah lagi, dua pemiliknya, Abjda dan Sukinah adalah keturunan Minang dan kebanyakan menu di restoran itu adalah resepi asal daripada Allahyarham nenek mereka yang berasal dari Sungai Limau, Pariaman, Padang sebelum berhijrah ke negara ini puluhan tahun lalu.

Menu Ayam Goreng Bumbu, Daging Berlado, Bergedil, Paru Goreng, Gulai Pucuk Ubi, Udang Berlado membuatkan makan tengah hari menjadi lengkap dan tersandar kekenyangan.

Rasanya yang asli membuatkan setiap suapan sangat menyelerakan dan kesemua hidangan itu tak lengkap tanpa Sambal Hijau dan Sambal Merah yang menjadi kemestian sebagai pembuka selera dan membuatkan sesiapa sahaja menambah nasi!

Malah Abjda memberitahu, kedua-dua sambal itu dimasak segar setiap hari dan akan sold out kerana permintaannya yang cukup tinggi.



Menyelerakan... Dendeng Berlado antara yang menjadi kegemaran pelanggan.

"Melihat kepada populariti kedua-dua sambal itu, pihak kami sedang dalam proses R&D bagi menghasilkan sambal itu secara komersial tidak lama lagi," katanya kepada mStar.

Menariknya, Padang On Wheels menyajikan lebih daripada 40 menu asli Padang serta lebih daripada 30 kuih muih tradisional dan kontemporari setiap hari.

Antara menu “best seller” restoran ini termasuk Gulai Tunjang (Gulai Urat), Rendang Minang, Gulai Ayam Kalio, Daging Dendengan (versi ranggup), Daging Balado (versi lembut), Bakso, Soto, Lontong dan sebagainya.

Padang On Wheels sejak 2016

Berkongsi mengenai penubuhan restoran itu, Abjda memberitahu ia bermula pada 2016 secara kecil-kecilan dengan jualan dibuat menerusi perkhidmatan trak makanan.

Melihat kepada permintaan tinggi daripada pelanggan, Abjda menjelaskan, mereka kemudiannya membuat keputusan untuk membuka dua lagi cawangan restoran itu di Seksyen 13 Shah Alam dan Subang Bestari.



Makanan dibungkus rapi bagi yang memesan menggunakan Grab Food atau Food Panda.

"Cawangan Subang Bestari dibuka melalui sistem francais dan ia adalah langkah pertama Padang On Wheels melebarkan sayap dalam mengembangkan jenama itu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Menariknya kedua-dua restoran itu mempunyai keluasan hampir 4,000 kaki persegi dan boleh dijadikan sebagai lokasi untuk mengadakan majlis berskala kecil kecil ulang tahun perkahwinan, hari keluarga, sambutan hari jadi atau resepsi jamuan pernikahan dan boleh membuatkan 200 tetamu," katanya.

Sejajar dengan Fasa Satu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh di Malaysia dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini, Padang On Wheels beroperasi dari pukul 8.30 pagi hingga 8 malam dan pelanggan sekitar Shah Alam dan Subang Bestari boleh menempah makanan melalui Grab Food atau Food Panda.

Manakala pelanggan dari kawasan luar radius restoran boleh menghubungi terus cawangan Padang On Wheels untuk tempahan penghantaran makanan ke rumah.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain