Lepas rindu masakan Thailand sambil nikmati urutan bahu nyata puas hati... semuanya di KL je! - Selera | mStar

Lepas rindu masakan Thailand sambil nikmati urutan bahu nyata puas hati... semuanya di KL je!

Pelbagai jenis sajian seperti tom yam goong, tom kha gai (sup ayam berkrim), ikan ala Thai dan banyak lagi disajikan sempena promosi bufet Thailicious di Vasco's Hilton Kuala Lumpur.

SEBUT sahaja tom yam, pasti terbayang sajian dari negara gajah putih yang penuh dengan makanan laut, daging, cendawan dan sayur-sayuran yang dimasak dengan rencah khas berperasa masam-masam pedas.

Dek kerana rasanya yang sesuai dengan lidah orang Malaysia, maka tidak hairanlah restoran yang menyajikan masakan dari Thailand ini ibarat cendawan tumbuh selepas hujan.

Namun pastinya tidak semua restoran atau kedai- kedai makan yang pernah anda kunjungi sebelum ini mampu menandingi keaslian dan keenakan resepi yang disajikan sendiri oleh chef negara berkenaan, seperti yang terdapat di Hotel Hilton Kuala Lumpur ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Menu makanan laut harga berbaloi, sos ‘signature’ Ombak Kitchen menjilat jari...rasa sekali pasti nak datang lagi! 

ARTIKEL BERKAITAN: Maru Kafe tawar cita rasa Jepun di kedai serbaneka MyNEWS 

Sehingga akhir Oktober ini, Hilton Kuala Lumpur membawakan Thailicious, promosi bufet yang didatangkan khas bagi mengubati rindu penggemar masakan daripada negara jiran itu.

Promosi yang bermula pada 10 Oktober sehingga 31 Oktober ini merupakan kolaborasi antara Hilton Kuala Lumpur dengan hotel bertaraf lima bintang, Millennium Hilton Bangkok.

Dua orang chef diterbangkan khas dari Bangkok iaitu Chef Nauwarat Worabutr (kiri) dan Chef Veerayod Tabkaew sempena promosi bufet di Vasco's, Hilton Kuala Lumpur.

Dua chef diterbangkan khas dari Bangkok bagi mempamerkan bakat seni kulinari mereka di stesen masakan secara langsung (live station), iaitu Chef Nauwarat Worabutr yang dibantu oleh Chef Veerayod Tabkaew.

Pelbagai jenis sajian seperti tom yam goong, tom kha gai (sup ayam berkrim), ikan ala Thai, kari ikan hijau dengan terung, daging lembu cincang daun selasih, kari merah dengan itik panggang dan banyak lagi.

Tidak lupa juga bagi yang menggemari sajian street food Thailand, menu seperti som tam atau kerabu betik muda dan pulut mangga turut tidak terkecuali dihidangkan di dalam promosi bufet.

Penggemar street food Thailand pasti tidak akan melepaskan peluang merasai keenakan rasa lemak manis pulut mangga.

Apa yang menariknya, promosi bufet ini turut didatangkan bersama pakej urutan bahu selama 10 minit dari The Spa, Hilton Kuala Lumpur, sesuai bagi mereka yang ingin merasai nikmat urutan ala Thai.

Setiap pelanggan bufet juga akan mendapat sekeping baucer diskaun 30 peratus untuk digunakan di The Spa.

Promosi terhad bufet Thailicious ini boleh didapati untuk makan tengah hari (RM148nett dewasa / RM68nett kanak-kanak) dan makan malam (RM188nett dewasa / RM68nett kanak-kanak), manakala mereka yang menginap di Hilton Kuala Lumpur akan menikmati diskaun 15 peratus untuk makan tengah pada hari bekerja dan 20 peratus untuk makan malam dan hujung minggu.

Daging cincang daun selasih, cukup enak dipadankan bersama kuah tom yam.

Jadi, apa tunggu lagi penggemar makanan Thailand? Ayuh berkunjung ke Hilton Kuala Lumpur dan lepaskan ‘gian’ anda puas-puas.

Bagi yang ingin mencuba keenakan masakan Thailand dan melihat secara dekat cara penyediaannya, bolehlah berkunjung ke Vasco’s, Hilton Kuala Lumpur. 

Vasco's , Hilton Kuala Lumpur , Thailand , tom yam