suria

Biar betul? Bufet minum petang di Grand Campbell Hotel hanya RM10

Bufet Jom Minum Petang di Grand Campbell Hotel hanya berharga RM10.

SEHARIAN berjalan di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Dang Wangi bagi mencuci mata melihat pelbagai barangan yang dijual serta melihat ragam manusia memang boleh membuatkan perut lapar.

Keputusan singgah di Kompleks Campbell nampaknya memang tepat apabila melihat menu minum petang di Grand Campbell Hotel yang terletak dalam bangunan sama menawarkan harga menarik!

ARTIKEL BERKAITAN: Gabungan daging brisket salai - sos barbeku gula Melaka di Burnin Pit beri pengalaman makan menakjubkan

Biasanya harga dikenakan pihak hotel untuk menu bufet hanya 'mampu tengok' sehingga ramai memilih untuk menikmati makan tengah hari atau minum petang di gerai atau restoran biasa.

Soto ayam, goreng pisang serta bubur pulut hitam antara menu wajib di Campbell Cafe. 

Tapi berbeza di Campbell Cafe yang hanya mengenakan caj RM10 untuk bufet Jom Minum Petang yang barangkali lebih murah berbanding makan di kedai mamak atau restoran.

Ya RM10! Kafe yang terletak di tingkat satu hotel itu bukan sekadar menawarkan sepinggan mi goreng dan air sirap tetapi pelbagai menu tempatan dan antarabangsa yang pasti memikat hati anda.

Penulis memang berpuas hati dengan makanan yang disediakan di kafe itu malah merasakan tidak sepatutnya pihak hotel mengenakan bayaran hanya RM10.

Bruschetta antara seleksi antarabangsa.

Sudah tentu makanan pertama yang penulis nampak di atas meja bufet adalah pisang goreng yang masih panas dan rangup. Keenakannya lebih terasa apabila dicicah bersama sambal kicap.

Tidak cukup dengan itu, terdapat pelbagai seleksi finger food seperti nasi impit dan kuah kacang serta bruschetta disediakan yang tanpa disedari habis sepinggan.

Bagi yang sukakan makanan berat, bufet di situ turut menyediakan soto ayam yang tidak kurang enaknya.

Kek pandan sebagai pencuci mulut.

Menurut Cef Eksekutif Campbell Cafe, Mohd Zahir Abdullah, 40, hidangan Jom Minum Petang biasanya akan bertukar sebagai memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan.

"Macam hari ini kita sediakan soto ayam manakala esok dan lusa mungkin laksa ataupun mi kari. Itu tidak termasuk finger food dan menu yang lain turut akan bertukar," katanya.

Tambah Mohd Zahir, walaupun harga yang ditawarkan sangat berpatutan namun pihak hotel tetap menitikberatkan soal kualiti dan rasa makanan untuk kepuasan pelanggan.

Mohd Zahir memberitahu setiap hari menu Jom Minum Petang akan bertukar.

Sambil berbual dengan cef yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang kulinari itu, penulis tidak terlepas daripada menghirup bubur pulut hitam yang cukup beraroma dan enak dihirup pada waktu petang.

Selain bubur, terdapat juga pencuci mulut yang lain seperti pelbagai jenis puding serta kek bagi melengkapkan minum petang anda.

Oh, bufet RM10 itu turut termasuk segelas teh tarik bagi penghilang dahaga.

Bufet Jom Minum Petang di Grand Campbell Hotel beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 3 petang hingga 7 malam.

Artikel Lain