suria

Hat Yai destinasi warisan budaya pilihan tepat bagi penggembara solo... Makanan pun sedap!

Pasar Kim Yong di Hat Yai antara lokasi yang mesti dikunjungi pengembara.

ANTARA perkara menakjubkan tentang Hat Yai, Thailand ialah suasananya yang begitu mengalu-alukan pengembara solo.

Disebabkan berjiran dengan Malaysia, ia menjadi pilihan rakyat negara ini untuk melancong terutama pada musim cuti sekolah dan pada hari cuti umum.

Sebab itu pada hari Krismas dan cuti sekolah pada Disember lalu, dianggarkan seramai 20,000 orang memasuki Hat Yai yang seterusnya menyumbang kira-kira 2 bilion bath dalam masa dua minggu sebelum munculnya tahun baharu 2024.

Ada sebab kenapa Hat Yai merupakan destinasi popular bagi rakyat Malaysia.

Ini kerana negara Gajah Putih itu mesra pelancong selain terdapat persamaan budaya antara orang Malaysia dan Melayu Thailand serta banyak makanan halal.

Boleh dikatakan, ramai juga peniaga di Hat Yai terdiri daripada orang Melayu yang berasal dari selatan negara itu boleh bercakap Melayu.

Dengan gabungan elemen kehidupan bandar yang sibuk serta kekayaan budaya pelbagai etnik, tentu sekali Hat Yai menjanjikan keseronokan yang pasti sukar dilupakan.

Justeru, tidak menjadi masalah jika kita memilih untuk bercuti ke Hat Yai secara solo.

Bagi mencipta kenangan, berikut beberapa lokasi wajib dilawati setiap pengembara jika kita memilih Hat Yai sebagai destinasi percutian.

Selain boleh memasuki Hat Yai melalui kenderaan dipandu sendiri, kita juga mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan kereta api dan juga melalui udara.

1. Pasar Kim Yong dan Plaza Hat Yai

Pasar Kim Yong memberi gambaran tentang kehidupan tempatan dengan lorong-lorongnya yang sibuk dipenuhi peniaga yang menjual pelbagai makanan jalanan yang lazat selain pelbagai barangan lain.

Bersebelahan dengannya ialah Hat Yai Plaza di mana pengunjung boleh membeli snek ringan Thailand secara lambak dengan harga yang murah untuk dibawa pulang.

Di situ juga terdapat pelbagai gerai makanan pada waktu tengahari dengan hidangan asli Selatan Thailand seperti khao mok gai (Thai biryani), khao yum (salad nasi), dan makanan laut yang menggoda.

1

Kawasan Plaza Hat Yai yang sentiasa sesak dengan kehadiran pengunjung.

2. Wat Hat Yai Nai

Lawatan ke Hat Yai pasti tidak lengkap tanpa meneroka sisi budaya keagamaan penganut Buddha. Wat Hat Yai Nai merupakan rumah kepada salah satu patung Buddha berbaring terbesar di Thailand.

Monumen hasil buatan tangan berukuran 35 meter panjang ini menjadikan ia satu pemandangan menakjubkan untuk para pengunjung.

3

Patung Buddha Berbaring yang sangat ikonik di Hat Yai.

3. Masjid Pusat Songkhla

Reka bentuk Masjid Pusat Songkhla adalah gabungan elemen seni bina Islam dan Thai yang menarik, mewujudkan struktur menawan secara visual dan kaya dengan budaya.

Masjid ini secara harmoni menggabungkan unsur-unsur seni bina Islam tradisional dengan ciri-ciri reka bentuk Thai yang tersendiri. Ia mempunyai kubah emas yang besar, ciri khas bagi kebanyakkan masjid.

Masjid ini juga digelar Taj Mahal Thailand oleh kerana kolam air pancuran panjang yang terdapat di hadapan masjid berkenaan.

4

Masjid ini telah dibina pada awal abad ke-18 semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Shah, menjadikannya salah satu masjid tertua di Thailand.

4. Pasar Terapung Khlong Hae

Pasar terapung di Hat Yai adalah pasar yang meriah dan sibuk. Ia mempunyai persamaan dengan pasar terapung tradisional Thai yang terdapat di bahagian lain dalam Thailand. Tidak seperti pasar terapung yang terkenal di Bangkok seperti Damnoen Saduak atau Amphawa, pasar terapung Hat Yai adalah tambahan baharu yang memenuhi keperluan penduduk tempatan dan pelancong yang melawat wilayah selatan Thailand.

5

Pasar Terapung Khlong Hae yang dipenuhi pengunjung untuk merasakan masakan asli Thailand.

5. Bandar lama Songkhla

Bandar Lama Songkhla dengan gabungan sejarah dan budaya tempatan merupakan permata yang menawan di selatan Thailand.

Penuh dengan warisan sejarah, daerah ini merupakan syurga bagi pengembara yang mencari gambaran tulen tentang masa lalu. Suasananya meriah berbeza dengan kehidupan bandar yang sibuk.

Aroma makanan tempatan dari kedai makan di tepi jalan, mampu menggoda orang ramai dengan hidangan seperti 'khao yam' (salad nasi Thai Selatan) dan makanan laut segar.

Kafe dan galeri seni yang terletak di antara jalan menawarkan perjalanan yang tenang, sesuai untuk menikmati secawan kopi tradisional Thai.

Pantai Samila dengan suasana tenang dan patung Golden Mermaid yang ikonik, adalah tempat menarik untuk berehat dan berendam sambil menikmati keindahan pantai.

6

Bandar Lama Songkhla yang sangat artistik bersama foto monumen di Pantai Samila.

6. Pasar Malam Greenway dan Greenway Food Station

Pasar Malam Greenway, juga dikenali sebagai Pasar Greenway, ialah pasar malam popular. Ia merupakan pasar yang meriah dan sibuk, merupakan nadi Hat Yai pada waktu malam buat penduduk tempatan dan pelancong kerana terdapat pelbagai barangan yang dijual, hiburan dan hidangan makanan.

Ia menawarkan pelbagai jenis produk termasuk pakaian, aksesori, cenderahati, hasil kraftangan, barangan elektronik dan mainan. Ia lokasi yang sesuai untuk membeli-belah kerana barangan dijual pada harga agak murah. Pengunjung juga berpeluang mencari barangan unik yang hanya dihasilkan di Thailand.

7

Gerai-gerai di Greenway Food Station yang penuh dengan pilihan makanan asli Thailand.

Salah satu sorotan utama Pasar Malam Greenway ialah Greenway Food Station dengan pelbagai pilihan gerai makanan. Pengunjung boleh menikmati pelbagai jenis makanan jalanan Thai, daripada hidangan lazat seperti Pad Thai, daging panggang dan makanan laut kepada hidangan manis seperti pulut mangga, ais krim kelapa dan pencuci mulut yang benar-benar dapat memenuhi selera.

mangga

Jurujual sedang menyediakan pulut mangga buat pembeli.

7. Masakan tempatan dan pasar malam

Meneroka pemandangan gastronomi Hat Yai adalah satu pengalaman tersendiri. Pasar malam, terutamanya Asean Night Bazaar menawarkan kaleidoskop perisa dan hidangan tempatan.

Daya tarikan Hat Yai bukan sahaja terletak pada tarikannya tetapi juga pada suasana yang meriah dan kemesraan rakyatnya.

Gabungan pesona dunia lama dan tarikan kontemporari di bandar ini menjadikan destinasi ke Hat Yai memenuhi pelbagai citarasa dan pilihan bagi pengembara solo.

Sama ada anda mencari 'rendaman' budaya, keajaiban semula jadi, atau membeli-belah, Hat Yai menjemput anda untuk mengalami dan merasai sendiri sesuatu yang menakjubkan!

Jadi, pilihlah Hat Yai sebagai destinasi percutian anda bersama keluarga.

***Perjalanan travel solo ini ditaja oleh Agoda. Untuk sebarang tempahan bilik dan penginapan anda boleh kunjungi https://www.agoda.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain