suria

Kepok Opah Tarikan Bazar Cross Street Taiping

Sharul Nizam Hashim menggunakan kayu dan bakul untuk membawa kuih Kepok Opah yang diniagakan di Bazar Cross Street.— fotoBERNAMA

TAIPING: Kepok Opah iaitu sejenis makanan ringan daripada ubi kayu merupakan antara tarikan Bazar Cross Street di Jalan Lim Tee Hooi di sini yang bermula sejak 25 hingga 31 Disember ini.

Peniaga Kepok Opah, Shahrul Nizam hashim, 41, berkata dia berniaga makanan tradisional itu sejak 25 Disember lalu di bazar berkenaan.

Ketika menceritakan mengenai keistimewaan makanan itu, Shahrul berkata ia diperbuat daripada ubi kayu yang direbus kemudian digelek nipis sebelum dijadikan kepok berbentuk bulat.

"Selepas itu ia dijemur selama dua hari untuk membolehkan ubi yang digelek itu menjadi kering berbentuk bulat sebelum ia digoreng dalam kuali panas.

"Untuk menggoreng ia tidak perlu terlalu lama dan ia boleh dimakan dalam tempoh beberapa minit dengan menggunakan pencicah kuah kacang," katanya ketika ditemui di sini.

Shahrul Nizam berkata dia dibantu isterinya Norazniza Zainal Abidin, 35 menjalankan perniagaan makanan ringan tersebut yang jarang ditemui di mana-mana bazar.

"Saya belajar membuat makanan ringan ini daripada orang tua dahulu dalam usaha memperkenalkan makanan tradisional ini kepada orang ramai.

"Sambutan dalam kalangan orang ramai amat menggalakkan dan saya boleh menambah pendapatan saya kerana makanan ringan ini sukar diperolehi," katanya.

Bazar Cross Street itu dibuka sejak 25 Disember hingga 31 Disember ini sempena program pelancongan 7 hari 7 Acara bertemakan Larut British Malaya di Bandar Warisan Taiping di sini. -Bernama

Kepok Opah, Bazar Cross Street

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain