suria

Tips Percutian Musim Sejuk Untuk Pesakit Asma

Seorang individu di Quebec, Kanada masih sempat mengambil gambar selfie dalam suhu sejuk (Gambar hiasan). -fotoAFP

PERCUTIAN musim sejuk anda mungkin terganggu jika anda adalah pesakit asma.

Tidak seperti rakan-rakan lain yang mungkin hanya terpaksa menahan kesejukan yang bukan menjadi kebiasaan, anda pula mungkin berdepan masalah pernafasan seperti nafas berbunyi, sesak nafas, ketat dada, bersin serta mengalami batuk yang sakit dan berkahak.

Cuaca sejuk boleh menjadikan gejala asma yang turut dipanggil lelah ini semakin teruk, menjadikan anda tidak selesa, seterusnya menyebabkan percutian anda tidak menyeronokkan.

Asma juga boleh membuatkan anda lebih mudah terdedah kepada sebarang virus selesema, seterusnya membuatkan anda lebih mudah terjejas untuk mengalami jangkitan dada.

-fotoGetty

Ketika cuaca terlalu sejuk, anda mungkin akan berfikir satu-satunya cara untuk melarikan diri dari mimpi buruk yang tidak dapat dielakkan ini adalah dengan membungkus diri dalam selimut di hotel atau di ruang tertentu.

Tetapi percutian anda sebenarnya tidak perlu menjadi seperti ini!

Anda juga boleh menikmati percutian musim sejuk seperti orang lain asalkan anda tahu cara terbaik untuk menguruskan diri dan situasi semasa.

Orang ramai masih mampu memenuhi jalan-jalan di New York walaupun cuaca sejuk. -fotoREUTERS

Di UK sahaja, terdapat seramai 5,400,000 yang menderita asma yang mana saluran udara mereka sangat sensitif.

Pakar perunding pernafasan yang berpusat di Hospital William Harvey di Ashford, Kent, Dr BV Prathibha memberitahu Metro.co.uk: "Perubahan suhu, terutama suhu sejuk, merengsakan saluran pernafasan dan disebabkan penghidap asma mempunyai saluran udara yang sangat sensitif, ia akan mengakibatkan mereka batuk atau mengalami kekejangan dada.

"Sesetengah spora kulat (seperti aspergillus) juga berada di atmosfera, yang turut menjengkelkan saluran pernafasan."

"Selain itu, dengan semua virus flu dan selesema yang tersebar, anda lebih mudah terdedah, terutamanya apabila virus ini mempunyai kecenderungan untuk berubah menjadi jangkitan dada yang menyebabkan anda batuk berkahak sepanjang hari sehingga mengganggu sambutan Krismas anda.

"Walaupun anda mengelak dari persekitaran luar, anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pencemaran udara dalaman seperti kotoran habuk dan asap dari produk pembersih di rumah. Dekorasi Krismas juga boleh membuatkan gejala anda lebih teruk."

Berita baiknya ialah terdapat beberapa langkah untuk memastikan anda dapat melindungi diri anda pada musim sejuk!

-fotoGetty

Pertama sekali, Dr Prathibha menjelaskan bahawa anda harus mengambil inhaler seperti yang disarankan oleh doktor atau jururawat asma anda.

"Sangat penting untuk mengurangkan sebarang reaksi dengan memastikan ubat-ubatan termasuklah inhaler anda, terutamanya inhaler pencegah diambil secara teratur dan seperti yang dinasihatkan.

"Pengambilannya yang kerap mengurangkan sensitiviti saluran pernafasan dan cara ia bertindak balas terhadap perubahan suhu atau sejuk. Anda juga harus menyimpan inhaler ‘reliever’, supaya jika anda mengalami sebarang gejala daripada cuaca sejuk, anda boleh menggunakannya sebagai alat bantuan."

Dia juga mencadangkan beberapa nasihat umum, seperti sentiasa pastikan tubuh anda dilindungi dari kesejukan dan memastikan anda mengambil vaksin selesema untuk meminimumkan kerengsaan.

Berikut 6 tips yang boleh diamalkan penghidap asma ketika bercuti pada musim sejuk.


-fotoAFP

- Jangan lupakan ubat-ubatan! Sebelum bercuti, dapatkan nasihat doktor jika anda tidak pasti apa, bila, bagaimana dan berapa kali yang sepatutnya anda ambil. Anda mungkin mempunyai satu inhaler reliever, biasanya Ventolin, yang perlu anda ambil mengikut saranan doktor. Anda juga akan mempunyai inhaler pencegah, yang harus anda ambil secara tetap, contohnya Symbicort.

- Pastikan diri anda kekal kering dan suam! Jangan lupa memakai sarung tangan, selendang dan topi dan sentiasalah bawa payung.

- Bernafas melalui hidung, bukan mulut! Hidung anda menghangatkan udara semasa anda menghirupnya!

- Jika anda ingin bersenam, anda masih boleh melakukannya, tetapi lakukannya di tempat tertutup seperti di bilik hotel.

- Sentiasa semak ramalan cuaca. Jika ia benar-benar sejuk, sekurang-kurangnya anda sudah membuat persediaan yang sepatutnya.

- Sekiranya gejala asma anda terjadi disebabkan perubahan suhu mendadak, ini adalah tip untuk anda yang sudah keluar dari rumah/hotel dan berada di jalan yang sangat sejuk. Cuba balut/lindungi hidung dan mulut anda dengan selendang secara longgar, ini akan segera menghangatkan udara di sekeliling.

musim sejuk, pesakit asma, inhaler, semput

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain