suria

Makan, Bayar Ikut Suka Di Kafe Ikhwan

Pelanggan ditawarkan pelbagai lauk-pauk untuk menjamu selera di Kafe Ikhwan. - Sinar Harian

SEBUAH  kedai makan di Bandar Utama, Segamat mengamalkan konsep ‘makan ikut suka, bayar ikut rasa’ kepada setiap pelanggan yang datang ke kedai makan tersebut setiap Jumaat. Jangan pula yang ada tersilap hari nanti.

Penyelia Kafe Ikhwan, Razak Othman, 49, berkata, konsep itu diperkenalkan sejak kafe tersebut memulakan operasinya pada 12 Mac lalu dan mendapat sambutan hangat daripada pelanggan.

“Ini bermakna, pada setiap Jumaat pelanggan yang akan tentukan sendiri harga makanan dan minuman yang mereka ambil, bukannya kami. Pada awalnya, rata-rata pelanggan tak tahu konsep ini.

“Kebanyakannya terkejut sewaktu nak bayar makanan dan apa yang kami lakukan ini hanya untuk ambil keberkatan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari selain membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya.

Menurutnya, kafe yang beroperasi dari awal pagi hingga ke malam itu juga turut menerima bayaran RM1 daripada pelanggan yang datang, asalkan ia seikhlas hati.

Katanya, antara hidangan yang ditawarkan di kafe tersebut selain pelbagai menu sarapan pagi seperti nasi lemak, ialah aneka masakan ayam, asam pedas, sayur-sayur kampung dan pelbagai lagi.

“Kami juga tidak mengenakan sebarang bayaran kepada orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pesakit kronik yang makan di kafe ini setiap Jumaat kerana kami percaya rezeki itu datang dalam pelbagai cara termasuk doa-doa daripada mereka ini,” katanya. - Sinar Harian

Kafe Ikhwan

Artikel Lain