suria

AirAsia X Tawar Tambang Promosi RM199 Ke Jeju

-fotoTHESTAR

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd menyasarkan 80 peratus faktor muatan untuk laluan yang baru dilancarkan, Kuala Lumpur-Jeju.

Ketua Pegawai Eksekutif, Benyamin Ismail berkata, ini berdasarkan jumlah pelancong Malaysia yang melawat pulau tersebut tahun lepas.

"Mengikut imigresen Korea Selatan, pelancong Malaysia adalah yang tertinggi selepas pelawat dari tanah besar China," katanya selepas pelancaran laluan Kuala Lumpur-Jeju di sini, Isnin.

Menurut beliau, ketika ini tidak ada penerbangan terus dari Asia Tenggara ke Jeju.

"Ini adalah masa yang tepat untuk kita pergi ke Jeju. Adalah lebih murah untuk penumpang terbang ke Kuala Lumpur sebelum menyambung penerbangan ke Jeju, berbanding terbang ke lapangan terbang Incheon (Seoul) dan Gimhae (Busan) sebelum terbang ke pulau tersebut,” tambahnya.

Benyamin berkata, laluan baharu itu akan menambah kapasiti penumpang kepada lebih 150,000 setahun.

Menurutnya, ia menjadi perangsang ke arah mengukuhkan hubungan perniagaan dan pelancongan antara Malaysia dan Korea Selatan.

AirAsia X akan terbang empat kali seminggu ke Jeju mulai 12 Disember 2017 dengan tambang promosi termasuk semua RM199 sehala. -Bernama

AirAsia X, Pulau Jeju

Artikel Lain