suria

Sedang menangis di padang, Neymar tetap layan anak pemain Croatia walau awalnya dihalang petugas

Petugas menghalang Leo tetapi akhirnya Neymar menghampiri dan memeluknya.

PERJALANAN Brazil pada Piala Dunia 2022 berakhir di peringkat suku akhir apabila disingkirkan Croatia.

Brazil harus akur apabila tewas 2-4 menerusi penentuan penalti di Stadium Education City, Jumaat malam.

Berlaku satu adegan menarik selepas Brazil kalah apabila salah seorang daripada bintang pasukan Samba, Neymar tidak dapat menahan air mata melihat negaranya tersingkir daripada perlawanan.

Seorang kanak-kanak dilihat berlari menghampirinya dan cuba menghiburkannya di tengah padang. Budak lelaki itu yang bernama Leo adalah anak kepada pemain Croatia, Ivan Perisic.

Bagi Brazil, kegagalan ini membuatkan mereka terus kempunan meraih gelaran juara Piala Dunia sejak kali terakhir memenanginya pada 2002 atau 20 tahun lalu.

ney

Neymar tidak dapat menahan kesedihan selepas pasukannya tewas kepada Croatia. -foto AP

Begitu juga dengan Neymar yang mana kejohanan kali ini menjadi Piala Dunia ketiga dalam kariernya.

Wartawan Eropah, Fabrizio Romano berkongsi video detik selepas perlawanan antara Brazil dan Croatia.

Video itu menyaksikan anak Perisic berlari ke tengah padang selepas tamat perlawanan.

Leo menuju ke tengah padang di mana Neymar dan rakannya Antony sedang bersedih dan kanak-kanak itu dilihat cuba memujuk Neymar yang sedang menangis.

Dua orang petugas sempat menghalang Leo tetapi akhirnya Neymar yang berada di situ menghampiri dan memeluknya sebelum didatangi pemain senior Brazil, Dani Alves.

“Saya menyukai momen seperti itu. Tempat terbaik di sepak bola,” tulis Fabrizio Romano.

Menerusi ruangan komen, ramai memuji tindakan Neymar yang tetap melayan Leo walau sedang bersedih.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain