suria

Atlet menembak Sarawak meninggal dunia akibat strok

Stephanie Sim Shu Ming meninggal dunia pada usia 19 tahun akibat strok.

SARAWAK kehilangan seorang penembak senior, Stephanie Sim Shu Ming yang meninggal dunia secara mengejut akibat strok.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang melahirkan rasa terkejut dengan kematian Stephanie berkata, atlet muda tersebut merupakan prospek pingat pada temasya Sukma akan datang.

"Ini berita yang sangat mengejutkan. Saya tidak pernah menyangka seorang atlet muda pada usia 19 tahun (meninggal dunia). Dia adalah prospek pingat kami dalam acara menembak," katanya selepas melancarkan Pesta Muzik Suku Borneo (BTMF).

Abdul Karim berkata, punca kematian Stephanie adalah akibat strok.

Mendiang meninggal dunia pada 19 Jun lalu di Hospital Umum Sarawak.

"Saya benar-benar terkejut tetapi Tuhan lebih menyayanginya. Pemergiannya merupakan satu perkara yang sangat tragis dan menyedihkan bagi kami di kementerian yang kehilangan seorang atlet yang berwibawa," tambahnya.

Abdul Karim berkata mendiang Stephanie telah pun disenaraikan dalam acara Sukma akan datang bagi kategori 10m pistol udara individu, berpasukan dan berpasukan campuran dan 25m pistol wanita individu, berpasukan dan berpasukan campuran untuk pasukan Sukma negeri.

Tambahnya, mendiang juga cemerlang dalam pelajaran kerana baharu sahaja diterima masuk ke universiti.

"Dia sudah pun berada dalam skuad dan kami menjangkakan dia akan menyumbang pingat. Saya ingin merakamkan rasa simpati dan takziah kepada keluarganya," katanya.

Stephanie disemadikan di Taman Peringatan Nirvana di Bau pada Jumaat (24 Jun). - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain