suria

Kekal di PSG atau pilih bersama Real Madrid, Pochettino akui tidak tahu rancangan Mbappe

Kontrak Mbappe bersama PSG bakal berakhir Jun depan.

JURULATIH Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino menegaskan dia tidak tahu menahu mengenai rancangan Kylian Mbappe selepas ini.

Kontrak Mbappe bersama PSG akan berakhir pada 30 Jun depan.

Mbappe dijangka akan mendedahkan rancangannya dalam beberapa hari akan datang, sama ada dia akan menyertai Real Madrid atau menerima tawaran lumayan untuk kekal di PSG.

"Saya tidak tahu apa keputusannya. Saya fikir ia adalah perkara peribadi untuk Kylian dan untuk kelab," kata Pochettino pada sidang media menjelang perlawanan dengan Metz.

"Terdapat banyak khabar angin tetapi pemain adalah orang yang perlu bercakap mengenai perkara ini.

"Sekiranya saya tahu keputusannya, saya bukan orang yang akan bercakap mengenainya," katanya lagi.

Mbappe, yang menyertai PSG dari Monaco pada 2017, minggu lalu merangkul gelaran Pemain Terbaik Ligue 1 dan memasuki hujung minggu terakhir musim ini sebagai penjaring terbanyak dengan 25 gol.

Khabar angin bertiup kencang di Perancis dan Sepanyol mengenai masa depan bintang berusia 23 tahun itu. - Thesundaily

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain