suria

Tanda penghormatan kepada Syafiq Ahmad sekeluarga, bendera JDT dipasang separuh tiang

Bendera JDT diturunkan separuh tiang di Stadium Sultan Ibrahim. - Foto ihsan FB Johor Southern Tigers.

BENDERA Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) diturunkan separuh tiang di Stadium Sultan Ibrahim sebagai tanda penghormatan kepada penyerangnya, Syafiq Ahmad dan keluarga.

Arahan itu dikeluarkan oleh pemilik kelab yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Tunku Ismail telah menghantar Setiausaha Sulit Baginda bersama dengan pegawai agama Jabatan Agama Islam Negeri Johor ke Pulau Pinang untuk membantu pemain Kelab Johor Darul Ta'zim, Syafiq Ahmad yang telah kehilangan ahli keluarga terdekat pada pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyerang JDT Syafiq Ahmad cedera akibat kemalangan, bayi usia 22 hari maut

"Tunku Ismail juga bertitah untuk bendera JDT di Stadium Sultan Ibrahim diturunkan separuh tiang, stadium diterangi dengan lampu putih dan mesej takziah dipaparkan di skrin besar sebagai tanda penghormatan kepada Syafiq sekeluarga. Upacara Tahlil juga akan diadakan selama tiga hari," katanya menerusi hantaran Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Ahad.

Syafiq yang juga pemain skuad Harimau Malaya terbabit dalam kemalangan awal pagi tadi yang mengorbankan bayi lelakinya berusia 22 hari.

Dua lagi yang maut dalam kemalangan kira-kira pukul 5.30 pagi di Kilometer 163 Lebuh Raya Utara Selatan di Sungai Bakap itu ialah ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Dalam kejadian itu, Syafiq dan seorang lagi anak perempuannya dikenal pasti sebagai Aaira Nur Saffiya, 2, cedera ringan, manakala isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, parah. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain