suria

Piala Malaysia: Harimau Kumbang tewas di laman sendiri, akur gagal ke suku akhir

Pemain pasukan Pahang Saddil Ramdani cuba menjaringkan gol pada perlawanan Piala Malaysia menentang pasukan Pulau Pinang di Stadium Bandaraya malam ini. Foto: Bernama

PULAU Pinang terpaksa akur apabila gagal ke peringkat suku akhir dalam saingan Piala Malaysia 2019 setelah tewas di laman sendiri kepada pasukan Pahang 0-2 dalam perlawanan bagi Kumpulan C.

Ketua jurulatih Pulau Pinang Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata biarpun tewas, anak didiknya telah mempamerkan kesungguhan yang tinggi semasa perlawanan serta memperoleh pengalaman lebih baik kerana skuad Harimau Kumbang itu dibarisi pemain muda berbakat.

“Kita mencipta banyak peluang tetapi tidak berjaya menjaringkan gol, kita dihukum oleh pasukan Pahang yang cukup berpengalaman...bagaimanapun, saya cukup berpuas hati dengan prestasi pasukan...peningkatan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan cukup memberangsangkan.

“Cuma bila sampai di peringkat pertandingan Piala Malaysia, bertemu dengan pasukan-pasukan yang lebih hebat, dari segi pengalaman kita agak tertinggal di situ...maka saya dapat kenal pasti kelemahan ini dan akan perbaikinya untuk musim hadapan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu di Stadium Bandaraya Rabu malam.

Pada perlawanan itu, gol pasukan Pahang dijaringkan oleh penyerangnya Herold Mark Golden pada minit kedua manakala gol kedua adalah hasil jaringan gol sendiri oleh pemain pertahanan Pulau Pinang Segar Arumugam pada minit ke-57.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh berharap skuad kendaliannya akan terus mempamerkan kecemerlangan dan meraih kemenangan untuk membawa pulang piala idaman.

"Sudah tentu tahun ini kita belum mendapat piala lagi, jadi memang harapan tinggi untuk kita mendapatkan kemenangan, khasnya semasa bermain di tempat lawan,” katanya, sambil menambah pasukan Pahang akan bertemu Melaka pada perlawanan akan datang.- Bernama

Piala Malaysia, Pulau Pinang, Pahang

Artikel Sebelum

Manchester United sedia pujuk Pogba

Artikel Lain