suria

“Nyaris... selangkah saja lagi” - Ronaldo dedah hampir sertai Arsenal

Ronaldo sering menjadi buruan kelab terkemuka Eropah.

CRISTIANO Ronaldo mendedahkan dia nyaris menyertai Arsenal sebelum memuktamadkan perpindahan ke Old Trafford pada 2003.

Bintang Portugal itu dibawa masuk United dari Sporting pada 2003 dengan bidaan sekitar 12.24 juta pound selepas kedua-dua pasukan bertemu pada aksi persahabatan pra musim.

Namun United bukan pasukan pertama yang berminat terhadap Ronaldo.

Arsenal dikatakan turut cuba mengemukakan bidaan bagi mendapatkan khidmat pemain sensasi itu.

Ronaldo mendedahkan dalam temubual bersama ITV bahawa dia nyaris menyertai The Gunners.

"Nyaris... selangkah saja lagi. Namun ia tidak berlaku tetapi saya hargai apa yang Arsenal lakukan terhadap saya terutamanya Arsene Wenger.

"Dalam bola sepak kamu tidak tahu di mana kamu akan beraksi, kehidupan seperti itu. Namun Arsenal adalah sebuah kelab yang menakjubkan," kata Ronaldo.

Ini bukan kali pertama Ronaldo bercakap mengenai kegagalan Arsenal untuk memuktamadkan perpindahannya tetapi dia turut mendedahkan beberapa kelab lain yang mencuba nasib mendapatkan khidmatnya.

"Saya bertemu dengan Arsene Wenger dan nyaris menyertai Arsenal. Saya berunding dengan Barcelona, Real Madrid dan juga Inter.

"Tetapi selepas aksi persahabatan menentang Manchester United, minat kelab itu semakin memuncak dan mereka berunding dengan Sporting untuk memuktamadkan perpindahan saya," katanya. - Metro.co.uk

Cristiano Ronaldo, Arsenal

Artikel Lain