Malaysian Warrior cipta sejarah, julang Piala Global di Jepun - Sukan | mStar

Malaysian Warrior cipta sejarah, julang Piala Global di Jepun

Barisan pemain Malaysian Warrior ada peluang sertai skuad Harimau Malaya.

PEMAIN cilik negara, Malaysian Warrior mengejutkan ramai apabila merangkul kejuaraan pada kejohanan Piala Global yang berlangsung di Pusat Latihan Bola Sepak Kebangsaan Jepun J Green di Osaka, Jepun.

Saingan yang menghimpunkan 24 pasukan bawah 12 tahun (B-12) itu menyaksikan wakil Malaysia mara ke final dan menundukkan Ventforet Kofu dari Jepun dengan jaringan 2-0 pada Isnin.

Selain pasukan dari Malaysia, terdapat tiga lagi negara yang menyertai kejohanan berkenaan iaitu Thailand, Jepun dan India.

Setiap negara disertai kelab-kelab ternama antaranya Buriram FC (Thailand), Cerezo Osaka (Jepun), Vissel Kobe (Jepun), Fagiano Okayama (Jepun) dan Tokushima Voltis (Jepun).

Laporan Kosmo menyebut jurulatihnya, Mohd Reszuan Mustapai mengakui, anak didiknya terpaksa bergelut pada awal permainan sebelum mendapat rentak bagi mencipta kemenangan.

“Aksi final memang sengit kerana pemain dilihat sedikit bergelut pada babak pertama perlawanan, sebelum berjaya menyerap tekanan dan seterusnya mampu menjaringkan gol kemenangan.

“Bagi saya kesemua 11 pemain telah menunjukkan yang terbaik. Mungkin ada sebahagian akan ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan saya harap pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu.

“Mungkin Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh buat sesuatu untuk pasukan ini, kerana kita datang ke sini bertemu pasukan yang hebat dan ada nama,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, dua gol yang dijaringkan masing-masing oleh Ahmad Zamil Zaqwan Samsulkama dan Muhamad Amir Asyraf Yusnizam memadai untuk menjulang nama Malaysia di Jepun selepas satu lagi wakil negara iaitu Malaysian Tiger menamatkan saingan pada tempat ke-13.

Kejayaan tersebut lebih manis apabila Muhamad Azmer Masri Ahmad yang merupakan pelatih Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan.

Sebagai rekod, program ini merupakan kesinambungan dari Kejohanan Bola Sepak Yakult Global Cup yang di anjurkan oleh Yakult Malaysia Sdn. Bhd. bulan lalu di mana juara bagi kejohanan tersebut dan tujuh pemain terbaik kejohanan di pilih dan di taja bagi menyertai kejohanan di Jepun.

Malaysian Warrior , Piala Global , Jepun

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

Artikel Lain